CSO Platform for Reform, sebuah gabungan lebih daripada 72 organisasi masyarakat sivil yang komited terhadap pembaharuan institusi dan akauntabiliti di Malaysia, amat bimbang dengan pembentangan Rang Undang-undang Perolehan Kerajaan 2025 untuk bacaan pertama di Parlimen.
Walaupun rang undang-undang ini digambarkan sebagai langkah untuk memperkukuh ketelusan dan akauntabiliti dalam perolehan awam, penelitian yang lebih mendalam menunjukkan terdapat peruntukan bermasalah yang boleh menggagalkan objektif tersebut.
Kebimbangan utama yang dibangkitkan oleh pertubuhan masyarakat sivil iaitu kawalan berlebihan oleh menteri.
Rang undang-undang ini memberi kuasa kepada menteri untuk meluluskan kontrak mega tanpa had kewangan, mengetepikan keputusan lembaga perolehan, dan mempengaruhi pelantikan ahli lembaga tersebut.
Ini melemahkan langkah pencegahan konflik kepentingan dan memusatkan kuasa perolehan di pejabat politik.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara (ALIRAN), Maybank a/c 507246118995 or CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Kedua adalah dari segi kekurangan pengawasan bebas di mana tribunal rayuan perolehan kerajaan yang dicadangkan tidak bebas secara struktur kerana semua pelantikan dikawal oleh menteri.
Pengadu juga diwajibkan membuat aduan kepada agensi yang mereka cabar terlebih dahulu, yang menjejaskan kredibiliti proses aduan.
Selain itu, terdapat kelonggaran dan pengecualian di mana rang undang-undang ini membenarkan menteri mengecualikan keseluruhan program daripada peraturan perolehan dan mengeluarkan “sijil kepentingan awam” yang mengetepikan bantahan atau rayuan. Peruntukan ini melemahkan akauntabiliti dan berisiko mengekalkan ketidak telusan.
Pegawai perbendaharaan juga boleh diberi kuasa penyiasatan yang meluas, termasuk penggeledahan dan rampasan tanpa waran, dengan kawalan minimum. Pemusatan kuasa ini menimbulkan risiko penyalahgunaan dan penguatkuasaan terpilih.
Perolehan aset pertahanan, salah satu bidang perbelanjaan awam yang paling terdedah kepada rasuah, turut termasuk dalam rang undang-undang ini.
Tanpa kawal dan imbang yang berkesan, perolehan ini mungkin terus terselindung daripada penelitian, sekali gus menjejaskan integriti negara dan akauntabiliti kewangan.
Pendapat kami
Perolehan awam merupakan salah satu saluran perbelanjaan terbesar kerajaan dan sektor yang paling terdedah kepada rasuah.
Sebarang undang-undang yang mengawalnya bukan sahaja perlu memastikan kecekapan, tetapi juga menjamin akauntabiliti institusi, ketelusan dan kepercayaan awam.
Draf semasa rang undang-undang ini masih gagal memenuhi piawaian tersebut. Daripada meluluskannya secara tergesa-gesa di Parlimen, kami menggesa kerajaan untuk:
- Memperkenalkan langkah perlindungan struktur untuk mengehadkan budi bicara menteri, menjamin kebebasan tribunal rayuan, dan menutup kelompongan yang membolehkan pengecualian daripada peraturan perolehan
- Memperkukuh keperluan ketelusan dan pendedahan, terutamanya dalam bidang berisiko tinggi seperti perolehan pertahanan, bagi mengelakkan penyalahgunaan dana awam melalui dasar tender terbuka
- Rang undang-undang ini wajar ditangguhkan bagi memperbaiki kelemahan yang dinyatakan di atas sebelum bacaan kedua. Antara isu yang perlu diberi perhatian termasuk kuasa berlebihan menteri, ketiadaan mekanisme kawal dan imbang, pemberian kuasa siasatan kepada Perbendaharaan, serta memastikan ketelusan dalam proses penganugerahan perolehan
Malaysia memerlukan undang-undang perolehan yang mencerminkan amalan terbaik dari segi integriti dan akauntabiliti.
Pembaharuan institusi memerlukan Parlimen, masyarakat sivil dan orang awam memainkan peranan yang penting dalam merangka undang-undang sebegini.
CSO Platform for Reform menggesa Ahli Parlimen memastikan rang undang-undang ini melalui proses penelitian yang telus dan mendalam oleh jawatankuasa pilihan sebelum diluluskan. – CSO Platform for Reform
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme











