Home Civil Society Voices Respons kerajaan terhadap persoalan campur tangan kehakiman amat mengecewakan

Respons kerajaan terhadap persoalan campur tangan kehakiman amat mengecewakan

Follow us on our Malay and English WhatsApp, Telegram, Instagram, Tiktok and Youtube channels.

Respons kerajaan terhadap persoalan campur tangan kehakiman amat mengecewakan dan jauh daripada yang memadai 

Pusat Memerangi Korupsi dan Kronisme (C4 Center)menzahirkan kebimbangan serius terhadap pendekatan lemah kerajaan berhubung isu-isu yang kini dikatakan mengenai badan kehakiman, termasuklah:

  • Kelewatan dalam pelantikan pengganti kepada hakim-hakim mahkamah atasan yang akan bersara, khususnya bagi jawatan ketua hakim negara Mahkamah Persekutuan dan presiden Mahkamah Rayuan
  • Calon-calon bagi jawatan tersebut yang telah dihantar oleh Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (SPK) didakwa tidak diberikan pertimbangan sewajarnya atau tidak diambil sebarang tindakan
  • Mesyuarat terkini SPK didakwa telah dipanggil tanpa notis 10 hari seperti yang diperuntukkan di bawah Akta SPK 2009
  • Dakwaan salah laku terhadap seorang hakim Mahkamah Persekutuan yang sedang berkhidmat

Pada 10 Julai 2025, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang di bawah Jabatan Perdana Menteri telah mengeluarkan kenyataan berhubung perbincangan yang telah diadakan antara menteri di Jabatan Perdana Menteri (undang-undang dan reformasi institusi), Azalina Othman Said, Senator Rita Sarimah dan Ahli Parlimen Selayang William Leong.

Perbincangan tersebut telah mencapai persetujuan bahawa suatu “kajian perbandingan awal” akan dilaksanakan untuk meneliti pendekatan dalam sistem pelantikan kehakiman merentasi pelbagai bidang kuasa.

Walaupun kajian adalah aspek penting dalam proses reformasi, ini merupakan komitmen jangka panjang yang tidak memadai untuk menangani situasi semasa yang semakin mendesak.

Kerajaan dilihat bersikap sambil lewa sehingga hampir mengabaikan tanggungjawab untuk memastikan peralihan kepimpinan badan kehakiman berjalan dengan lancar.

Kegagalan ini menjadi lebih memalukan apabila mempertimbangkan bahawa kerajaan sememangnya mempunyai pengetahuan penuh mengenai tarikh persaraan para hakim Mahkamah Persekutuan.

Lebih membimbangkan, kerajaan gagal menangani dakwaan isu campur tangan kehakiman yang sedang hangat diperkatakan, khususnya dakwaan bahawa seorang hakim Mahkamah Persekutuan telah membuat percubaan untuk mempengaruhi proses prosiding mahkamah secara tidak wajar.

READ MORE:  Malaysia's chief justice appointment becomes constitutional drama

Jabatan Peguam Negara telah memperkecilkan isu ini dengan hanya menyatakan bahawa prosiding SPK adalah sulit.

Namun, respons yang bersifat acuh tak acuh ini hanya memburukkan lagi ketidakpuasan dan keresahan dalam kalangan masyarakat.

Berkaitan dengan reformasi proses pelantikan kehakiman pula, mantan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat sendiri pernah menyeru secara terbuka agar perdana menteri dikecualikan daripada penglibatannya dalam proses pemilihan bagi mengukuhkan unsur tidak berat sebelah dan untuk memastikan pelantikan kehakiman bebas daripada sebarang tanggapan pengaruh politik.

Namun, tiada maklum balas yang jelas diberikan oleh pihak kerajaan terhadap gesaan tersebut.

Situasi semasa ini menggamit semula kontroversi-kontroversi lama yang melibatkan badan kehakiman, termasuk skandal VK Lingam pada tahun 2007, serta afidavit yang didedahkan oleh pemberi maklumat dan bekas Hakim Mahkamah Rayuan Hamid Sultan pada tahun 2019.

Masalah sistemik campur tangan eksekutif yang melangkaui isu kehakiman semasa perlu ditangani dengan segera demi memelihara asas utama demokrasi negara.

Sehubungan itu, C4 Center menyokong gesaan sedia ada yang telah disuarakan oleh pelbagai pihak, termasuk Majlis Peguam Malaysia, yang menegaskan agar kerajaan:

  • Menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja bagi menyiasat semua dakwaan berkaitan salah laku prosedur dan kehakiman
  • Memperkasakan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi untuk menjalankan siasatan dengan kuasa penuh yang diperuntukkan oleh undang-undang, termasuk menghendaki penjelasan daripada perdana menteri
  • Mengisi kekosongan jawatan kehakiman semasa mengikut saranan terdahulu daripada SPK, serta menangguhkan sebarang pelantikan baharu sehingga dakwaan-dakwaan tersebut diselesaikan secara tuntas.

 – C4 Center

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support our work by making a donation. Tap to download the QR code below and scan this QR code from Gallery by using TnG e-wallet or most banking apps:
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Newest
Oldest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments

Most Read

0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x