Kami, kumpulan masyarakat sivil (CSO) dan individu yang bertandatangan di bawah, menghargai usaha kerajaan ‘Madani’ di bawah pimpinan Anwar Ibrahim, yang berjaya memperkemaskan penyata Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Pindaan Perlembagaan berkaitan Pengasingan Peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya bagi perkukuh agenda reformasi institusi negara.
Kami menyeru perdana menteri mengaturkan untuk rang undang-undang pindaan perlembagaan tersebut dibentang di sesi parlimen minggu ini dan semua ahli Parlimen, senator dan parti politik untuk menyokong reformasi institusi yang akan menguntungkan rakyat dan semua kerajaan persekutuan akan datang.
Keyakinan kami sebahagiannya berasaskan cadangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said untuk menambahbaik klausa 18 perkara baharu 145A berkenaan peranan Parlimen dalam pemilihan pendakwa raya.
Kami ingin menyatakan bahawa perdana menteri, ahli jemaah menteri – khususnya Azalina dan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, serta AP daripada pelbagai parti di dalam jawatankuasa pilihan khas telah menjalankan tanggungjawab dengan baik untuk memastikan rang undang-undang ini disemak dan diteliti oleh pelbagai pihak dalam proses libat urus yang bermakna, dan menerima maklum balas menyeluruh berbentuk syor-syor penambahbaikan rang undang-undang.
Walaupun tidak semua cadangan diambil, jawatankuasa pilihan khas bersetuju agar akta pemberi kuasa digubal segera untuk menetapkan dengan jelas proses pelantikan, tugas, kewajipan dan mekanisme akauntabiliti pendakwa raya kepada Parlimen.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara (ALIRAN), Maybank a/c 507246118995 or CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Justeru, kami berpandangan tiada lagi alasan untuk rang undang-undang ini ditangguhkan di Dewan Rakyat.
Kini, tanggungjawab terpikul di bahu perdana menteri sebagai ketua majlis Dewan Rakyat untuk memastikan rang undang-undang ini diteruskan perbahasannya.
Semua parti politik yang memikul mandat rakyat sama ada daripada Barisan Nasional, Perikatan Nasional, Pakatan Harapan, Gabungan Rakyat Sabah, Gabungan Parti Sarawak, Muda dan parti-parti lain wajib membuktikan bahawa kepentingan negara wajib mengatasi sebarang percaturan politik.
Kelemahan struktur yang selama ini membuka ruang kepada campur tangan politik, konflik kepentingan dan keraguan terhadap kebebasan institusi pendakwaan tidak boleh dibiarkan terus berakar.
Setiap parti politik di Malaysia pernah menjadi sebahagian daripada kerajaan. Sama ada secara sengaja atau tidak, mereka tidak mengambil langkah sebelum ini untuk memastikan perkhidmatan pendakwaan awam kita beroperasi secara bebas, telus dan dengan penuh akauntabiliti.
Oleh itu, di bahu setiap AP dan setiap parti politik terletak tanggungjawab terhadap rakyat untuk memperbetulkan kesilapan masa lalu mereka – iaitu untuk memastikan tiada sebarang pihak, termasuk diri mereka sendiri, yang boleh mencampuri atau memanipulasi sistem pendakwaan dan undang-undang di Malaysia, serta pada masa yang sama memastikan pendakwa raya bertanggungjawab kepada rakyat melalui Parlimen.
Sejarah tidak akan menghakimi mereka berdasarkan janji dan teori, tetapi keberanian ahli-ahli Parlimen membuat keputusan penting ini apabila peluang reformasi sebenar kini berada di hadapan mata.
Selaku masyarakat sivil, kami telah bersuara, menolak sebarang kemungkinan yang melemahkan semangat pindaan dan mencairkan prinsip reformasi, pindaan bersifat formaliti tanpa mekanisme pelaksanaan yang berkesan, mahupun usaha mengekalkan saluran campur tangan politik atau sebarang pengaruh, secara langsung atau tidak langsung, dalam proses pelantikan pendakwa raya.
Proses yang dicadangkan khususnya melalui perkara 145A klausa 1 dan klausa 18, telah mematuhi kehendak Perlembagaan dan mekanisme semak dan imbang yang sah.
Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman dan Pendakwaan (SPKP) hendaklah mengemukakan nama calon-calon untuk dilantik sebagai pendakwa raya kepada yang di-pertua Dewan Rakyat untuk diteliti oleh jawatankuasa pilihan Dewan Rakyat sebelum syor dikembalikan kepada SPKP. Hanya nama yang disyorkan oleh Dewan Rakyat akan dipersembahkan kepada Agong untuk dilantik.
Proses ini memperkukuh akauntabiliti demokratik tanpa menjejaskan kebebasan pendakwa raya dan mengukuhkan lagi institusi raja berperlembagaan. Dakwaan bahawa reformasi ini melemahkan mana-mana institusi tidak berasaskan fakta dan tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menghalang perubahan yang diperlukan.
Pindaan ini bukan kemenangan mana-mana parti politik, bukan milik kerajaan mahupun pembangkang. Pindaan adalah kemenangan kepada prinsip kedaulatan undang-undang.
Sokongan terhadap rang undang-undang adalah ukuran sebenar keikhlasan semua pihak dalam menjayakan agenda reformasi institusi negara. Sebarang usaha melemahkan intipati, semangat dan hasrat reformasi penting ini harus dielakkan.
Semua parti politik dan setiap AP kini berdepan satu pilihan yang jelas: berdiri bersama reformasi institusi demi rakyat, atau mempertahankan kelemahan sistem yang telah sekian lama menghakis keyakinan terhadap keadilan negara.
Detik ini akan menjadi ukuran kepada legasi setiap wakil rakyat. Masa untuk bertindak ialah sekarang.
Dikeluarkan oleh:
1. Bersih
2. C4 Center
3. Ideas
4. Ikram
5. Projek Sama
6. Rasuah Busters
7. Maha Balakrishnan
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme











