Merujuk kepada kenyataan Zairil Khir Johari, Persatuan Penduduk Kampung Warisan Nelayan Tanjung Tokong ingin membalas balik beberapa tuduhan yang dilontarkan olehnya.
Kami berpendapat bahawa Zairil telah mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan dan tidak tepat.
Kewujudan nelayan – Sejak pra-kolonial
Pertama sekali, kenyataan beliau yang menyatakan perkampungan nelayan Tanjung Tokong “wujud sejak tahun 2005” seolah-olah memberi tanggapan bahawa penempatan komuniti nelayan hanya wujud dari tahun tersebut.
Seperti mana yang kita tegaskan di sidang media pada 10 April, penduduk nelayan sudah lama menetap di sini. Penempatan kampung nelayan sudah wujud sebelum ketibaan Francis Light.
Tetapi, atas sebab pembangunan yang tidak teratur, nelayan-nelayan Tanjung Tokong terpaksa bertahan banyak projek pembangunan yang sangat menyeksa komuniti nelayan. Mereka sentiasa berpindah akibat daripada pembangunan pesat di sini.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Tiada rancangan dan pelan terperinci yang mengambil kira kesusahan komuniti nelayan sebelum dan sewaktu projek pembangunan dijalankan.
Struktur-struktur yang akan diroboh ada nilai
Daripada terus melabelkan struktur-struktur yang akan diroboh adalah bangunan perniagaan seperti chalet dan homestay, mengapa tidak sebut juga bahawa ia juga adalah milik nelayan sendiri yang menggunakan wang simpanan sendiri untuk menampung hidup mereka ketika penangkapan hasil laut berkurangan?
Dua-belas struktur ini merupakan hasil pelaburan daripada nelayan sendiri untuk menampung kehidupan mereka. Tetapi apa yang tidak dikatakan adalah di situ juga tempat kediaman mereka juga.
Perjanjian bahawa penduduk akan beredar bila disuruh – Tidak benar
Tiada rekod perjumpaan dari kami yang menyatakan bahawa penduduk bersetuju dan berjanji beredar dari kawasan ini apabila diarah oleh kerajaan negeri.
Kenyataan yang sembrono ini tidak mempunyai bukti yang kukuh. Pihak kami ingin tahu perwakilan mana yang Zairil berjumpa? Di manakah dokumen perjanjian itu? Apakah syarat-syaratnya?
Perjanjian kerajaan negeri dengan pihak swasta – Tidak adil
Kerjasama yang dimaksudkan oleh Zairil adalah perjanjian kerjasama antara Chief Minister Incorporated (CMI), sebagai agensi pelaksanaan Ukrainian negeri, dengan Lasallian Asia Partnership for International Schools Pte Ltd (Lapis) yang ditandatangani pada 15 September 2017.
Ini amat mengejutkan kerana komuniti nelayan pada awalnya pernah memohon permohonan pendudukan sementara (TOL) sebanyak tiga kali iaitu pada tahun 2012, 2013 dan 2014. Ketiga-tiga permohonan ditolak oleh kerajaan negeri sendiri.
Bagaimana pihak kerajaan negeri boleh terlepas pandang hampir 10 tahun mengenai permohonan TOL penduduk nelayan disini sehingga boleh melakukan perjanjian lain bersama pihak swasta?
Adakah lebih menguntungkan pihak kerajaan dengan bekerjasama menuruti segala permintaan pihak swasta ini?
Zairil berbincang dengan pihak swasta tanpa kami
Perundingan antara Zairil dengan pihak sekolah swasta tanpa penglibatan komuniti disini adalah tidak betul. Adakah perjumpaan ini rahsia?
Sejak bila persatuan penduduk melantik Zairil untuk menjadi jururunding dengan Lapis dan Stonyhurst International School Penang? Sekurang-kurangnya, Zairil kena bertemu dengan kami dahulu sebelum berunding dengan pihak pemaju.
Pembinaan fasiliti sekolah swasta untuk aktiviti kesukanan air – Risiko tinggi
Adakah pihak kerajaan negeri sudah melakukan kajian terperinci tentang kesesuaian lokasi ini untuk dijadikan kawasan aktiviti sukan air sedangkan kawasan ini merupakan lokasi nelayan menangkap ikan (labuh/tarik pukat)?
Penduduk di sini sampai sekarang belum lagi mendapat informasi terperinci mengenai jenis aktiviti kesukanan air.
Tawaran rumah kos sederhana rendah dan ex-gratia – Tak mahu
Kami ingin menegaskan bahawa penduduk-penduduk di sini tidak mahu rumah kos sederhana rendah dan ex-gratia. Kami perlukan tapak di pantai ini supaya akses untuk menjalani hidup seharian kami boleh diteruskan serta pengendalian dan penjagaan aset kami (bot, pukat, dll).
Sekolah swasta Stonyhurst memberi pekerjaan – Satu penghinaan
Kesemua penduduk di sini sudah mempunyai perniagaan dan pendapatan yang cukup baik.
Tidak wajar untuk pihak Stonyhurst merampas kawasan dan tempat cari makan kami dan seterusnya menawarkan kami pekerjaan pula. Ini satu penghinaan.
Sekolah Stonyhurst sepatutnya mencari jalan tengah untuk bekerjasama dengan bot operator dan nelayan yang sedia ada dalam pengendalian aktiviti kesukanan air, bukan dengan menghalau komuniti di sini.
Pembangunan yang memihak kepada siapa?
Kami juga kesal dengan kenyataan media Zairil yang nampaknya lebih berpihak kepada sekolah swasta Stonyhurst.
Jika rakyat yang cuba membina perubahan dan kemajuan dalam sosial ekonomi mereka boleh dikatakan “komersil” (dakwaan Zairil), bagaimana pula dengan nilai perjanjian dilakukan bersama pihak swasta, sekolah Stonyhurst? Berapa keuntungannya? Adakah rakyat setempat boleh dapat manfaat daripadanya?
Zairil kena datang lihat sendiri benda-benda yang telah dilakukan oleh penduduk Kampung Warisan Nelayan Tanjung Tokong. Contohnya, program homestay nelayan, projek pertanian bandar, pasar nelayan dan banyak lagi.
Kesemuanya inisiatif-inisiatif yang sudah boleh memberi manfaat yang banyak seperti peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat, memberi ilmu dan pendedahan kepada pengunjung mengenai alam semula jadi dan kesedaran mengenai isu keselamatan makanan.
Kami mahu kerajaan negeri kekalkan penempatan kami di sini dan membuka jalan untuk bekerjasama dengan pihak sekolah Stonyhurst.
Persatuan Penduduk Kampung Warisan Nelayan Tanjung Tokong
11 April 2022
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme