Home Civil Society Voices Seruan untuk Majlis Media Malaysia yang bebas serta tumpukan kepentingan awam

Seruan untuk Majlis Media Malaysia yang bebas serta tumpukan kepentingan awam

GERALT/PIXABAY

Follow us on our Malay and English WhatsApp, Telegram, Instagram, Tiktok and Youtube channels.

CIJ dan Geramm memuji dan mengucapkan tahniah atas pelantikan rasmi ahli lembaga pengasas Majlis Media Malaysia (MMM).

Perkara ini adalah perkembangan penting dalam mencapai ekosistem media yang bebas, pengawalseliaan dari pelbagai pemegang taruh dan penerapan akauntabiliti.
Dalam proses penubuhan institusi ini, kami berharap agar usaha ini menjadi langkah awal dalam mencapai ekosistem media yang berpaksikan kepentingan awam.

Landskap media Malaysia telah berhadapan dengan isu-isu seperti penapisan kendiri, penyebaran maklumat palsu, ucapan kebencian, pelaporan yang dipengaruhi perkauman, ketaasuban, misoginis atau xenofobia, serta penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan teknologi baharu dalam
memaksimumkan keuntungan dan kelangsungan ekonomi.

Untuk meningkatkan keyakinan terhadap media dan mengukuhkan ekosistem maklumat dan kebebasan bersuara, MMM seharusnya menumpukan perkara di atas dalam membentuk asas perjuangannya.

Pertama, kami ingin menekankan kepentingan untuk menangani kebimbangan mengenai perwakilan kerajaan dalam ahli lembaga pengarah MMM yang memberikan implikasi ke atas kebebasan badan ini yang mempunyai kawalan kendiri.

Sebelumnya, Menteri Komunikasi telah menyatakan bahawa dua perwakilan kerajaan adalah dalam kalangan individu yang berada dalam industri media atau seseorang yang arif mengenainya.

Sekalipun kami mengalu-alukan jaminan ini sebagai komitmen kerajaan untuk menyokong kebebasan media, penglibatan daripada pihak kerajaan juga memperlihatkan tahap kepedulian kerajaan dalam menubuhkan MMM.

Justeru, CIJ ingin menekankan bahawa MMM harus kekal bebas serta menumpukan khidmat untuk kepentingan awam tanpa dipengaruhi pertimbangan perniagaan atau politik.

Untuk hal yang kedua berkaitan amalan tidak beretika dalam ekosistem media Malaysia, MMM seharusnya mengeluarkan kod etika bersifat autoritatif untuk wartawan yang mempromosi kepatuhan tinggi terhadap standard yang profesional.

Melalui mekanisme aduan dan penyelesaian pertikaian, perkara ini akan memperkasa wartawan dan pengamal media untuk bekerja secara bebas dalam menegakkan integriti kewartawanan.

READ MORE:  Call for independent MMC with public interest at its centre

Oleh itu, MMM sewajarnya menunjukkan kredibiliti sebagai sebuah badan kawal selia yang adil dan berkesan.

Pada masa yang sama, MMM mesti mengutamakan persekitaran yang lestari untuk kebajikan pekerja media. Cabaran ekonomi yang dihadapi industri media tempatan seperti pertambahan jumlah pembuangan kerja dan pengecilan saiz organisasi telah menimbulkan kebimbangan mengenai jaminan pekerjaan, gaji tertunggak serta persekitaran kerja yang tidak menentu.

MMM perlu bergerak ke arah memastikan pemilik media bertanggungjawab terhadap amalan penggajian yang adil dan melindungi hak-hak wartawan supaya mereka boleh menjalankan tugas tanpa perasaan takut dalam membuat pelaporan awam.

Sebagai penutup, dalam memastikan kerja-kerja MMM tidak bersifat simbolik yang berusaha memuaskan hati media dan orang awam, badan ini mesti merangka sebuah perundangan yang substantif di samping memperjuangkan reformasi institusi.

MMM harus menggesa kerajaan untuk mengulangi komitmen mereka dalam memansuhkan undang- undang yang menekan seperti Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, Akta Hasutan 1948, Akta Rahsia Rasmi 1972, Seksyen 211 dan Seksyen 233 dalam Akta Komunikasi dan Multimedia, Seksyen 114A dalam Akta Keterangan 1950, dan Seksyen 203A, Seksyen 499 dan Seksyen 500 dalam Kanun Keseksaan (fitnah jenayah) di samping meminda akta lain seperti Akta Pemberi Maklumat 2010.

Tanpa reformasi perundangan yang bergerak secara selari serta segera, keberkesanan MMC akan diperlekeh serta menjadi sebuah lagi institusi yang gagal di Malaysia.

Melihat kepada perjuangan CIJ dan Geramm dalam pembentukan MMM, kami akan terus memantau perkembangan badan ini dalam memastikan kejayaannya berdasarkan mandat secara bersama dengan rakan dalam organisasi masyarakat sivil yang lain.

Kami berharap MMM akan terus bekerjasama dengan kami melalui proses komunikasi jangka panjang dan rundingan yang tersusun.

READ MORE:  Malaysia’s media council: Strengthening democracy through independent journalism

Sebagai penyokong MMM, kami turut menggesa semua organisasi media untuk menyertai MMM dan pemegang taruh yang terdiri daripada pembuat dasar, masyarakat sivil dan orang awam untuk berganding bahu dalam memelihara integriti media sebagai kuasa keempat dalam demokrasi. – CIJ/Geramm

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support our work by making a donation. Tap to download the QR code below and scan this QR code from Gallery by using TnG e-wallet or most banking apps:
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Newest
Oldest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments

Most Read

0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x