Sekretariat Pendidikan Percuma yang terdiri daripada gabungan gerakan mahasiswa menyambut baik beberapa langkah yang diumumkan oleh kerajaan “Madani” dalam pembentangan Belanjawan 2026.
Usaha untuk meringankan beban kewangan sebahagian mahasiswa, khususnya peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), merupakan satu langkah awal yang perlu diiktiraf.
Namun begitu, kami berpandangan bahawa inisiatif tersebut belum menyentuh akar permasalahan struktur pendidikan tinggi negara yang sejak sekian lama dibina atas premis hutang dan komersialisasi pendidikan.
Dalam Belanjawan 2026, kerajaan telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM3.3bn kepada PTPTN.
Antara insentif yang diperkenalkan termasuk potongan bayaran antara 5% hingga 15% bergantung kepada kaedah bayaran balik, serta penangguhan bayaran sehingga enam bulan bagi graduan yang belum memperoleh pekerjaan.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara (ALIRAN), Maybank a/c 507246118995 or CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Sekalipun langkah ini dilihat membantu sebahagian golongan, realitinya jutaan anak muda di Malaysia terus dibelenggu hutang pendidikan mencecah puluhan ribu ringgit, termasuk dalam kalangan pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah.
Ini menimbulkan persoalan asas: sampai bila pendidikan tinggi di Malaysia akan kekal sebagai beban kewangan kepada rakyat?
Kami berpandangan bahawa sudah tiba masanya kerajaan mengambil langkah yang lebih berani dan menyeluruh untuk merombak sistem pembiayaan pendidikan tinggi.
Kami menegaskan bahawa pendidikan tinggi adalah hak asasi manusia. Sistem yang bergantung kepada pinjaman tidak lagi relevan dalam konteks ekonomi masa kini, apatah lagi dalam usaha Malaysia melonjak ke arah negara berpendapatan tinggi dan ekonomi berasaskan pengetahuan.
Sehubungan itu, kami menuntut agar:
- Kementerian Pendidikan Tinggi mengadakan satu sesi libat urus rasmi bersama Sekretariat Pendidikan Percuma dalam masa terdekat
- Adalah penting agar suara mahasiswa sebagai antara pemegang taruh utama dalam sistem pendidikan negara diangkat dan diberi ruang dalam proses penggubalan dasar
- Satu pelan tindakan jangka panjang dirangka melalui blueprint pendidikan percuma nasional yang mesti disiapkan sebelum perangkaan Belanjawan 2027
Blueprint ini perlu menyentuh secara terperinci aspek peralihan daripada sistem pembiayaan berasaskan hutang kepada pembiayaan awam sepenuhnya secara progresif, termasuk pemansuhan hutang PTPTN secara berperingkat, pengukuhan dana kepada universiti awam, serta perluasan akses kepada pendidikan tinggi tanpa diskriminasi kelas sosioekonomi.
Sekretariat Pendidikan Percuma menegaskan komitmen kami untuk terus memperjuangkan hak kepada pendidikan tanpa hutang, sebagai asas kepada masyarakat yang lebih saksama dan demokratik. – Sekretariat Pendidikan Percuma
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme

