Sekretariat Solidariti Rakyat (SSR) melahirkan kebimbangan terhadap situasi semasa di negara kita hari ini.
Krisis politik, kesihatan dan ekonomi yang melanda khususnya dampak pandemik
Covid telah mengakibatkan rakyat berhadapan keperitan hidup.
SSR turut menzahirkan rasa tidak senang dengan situasi politik di negara kita pada masa ini.
Dalam keadaan rakyat dihimpit pelbagai kesusahan, permainan sebahagian besar para politikus di atas sana tidak menggambarkan bahawa isu rakyat menjadi keutamaan mereka. Hari demi hari, rakyat seringkali dipertontonkan dengan gelagat orang politik bercakaran sesama sendiri demi kuasa dan laba.
Rakyat kehilangan kerja pada masa ini. Anak-anak berhadapan kesukaran mengikuti proses pembelajaran dalam talian. Risiko jangkitan Covid yang masih belum turun. Ahli keluarga terpisah lama kerana penutupan sempadan.
Tetapi apa yang kita dengar dari pihak atasan adalah tentang orang politik yang masih sibuk mengagihkan harta negara dengan mewujudkan jawatan-jawatan tidak perlu dalam pentadbiran, yang gajinya bukan sedikit sedang masih ramai yang mengais pagi dan petang mencari kerja.
Sudah jatuh ditimpa tangga, begitulah nasib rakyat. Menyaksikan pula kenaikan demi kenaikan harga barangan yang luar biasa. Daripada bahan-bahan binaan membawa ke barang makanan, semuanya naik harga. Sekiranya ini berterusan, survival rakyat pasti akan menemui jalan buntu bahkan Malaysia akan menuju menjadi sebuah negara gagal.
Melihat semua situasi ini, SSR sebagai sebuah entiti gerakan massa berpandangan bahawa suara rakyat bawahan yang terbanyak mesti diangkat untuk memberikan amaran kepada penguasa agar berhenti berpolitik dan segera mendengar keluhan rakyat.
SSR mendesak kerajaan pimpinan Ismail Sabri Yaakob mengambil langkah menyelamatkan rakyat dengan menurunkan harga barang makanan sebagai langkah pemula yang paling segera.
SSR ingin mengingatkan, kami tidak akan teragak-agak untuk sekali lagi menggembleng tenaga
dan suara rakyat untuk turun ke jalan sebagai manifestasi hak bersuara selari dengan
prinsip-prinsip asas demokrasi.
Justeru, SSR memberi amaran, sekiranya kerajaan tidak menstabilkan harga barang dengan segera, kami bersedia untuk sekali lagi turun ke jalanraya sebagai tanda protes terhadap kegagalan kerajaan ini. – SSR
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.