Home Civil Society Voices Tiadanya pengiktirafan terhadap tanah adat Orang Asli tidak wajar

Tiadanya pengiktirafan terhadap tanah adat Orang Asli tidak wajar

Orang Asli protecting their land - File photo: Peka Malaysia Facebook

Follow us on our Malay and English WhatsApp, Telegram, Instagram, Tiktok and Youtube channels.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mendapati bahawa komen Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu berhubung hak tanah adat Orang Asli dan tiadanya pengiktirafan terhadapnya sebagai tidak wajar, menyinggung dan tidak menghormati Orang Asli, yang mana hak mereka termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan melalui undang-undang seperti Akta Orang Asli 1954 dan juga Perisytiharan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Hak Orang Asli (UNDRIP) yang disokong oleh Malaysia pada 2007.

Hak tanah adat dilindungi di bawah Kanun Tanah Negara setiap negeri berdasarkan penggazetan; namun demikian penggazetan ini tidak menyeluruh dan banyak kawasan yang masih belum diiktiraf sebagai tanah adat Orang Asli.

Pengiktirafan Tanah Adat mestilah berdasarkan pada pendudukan tradisional selama beberapa generasi sebelum konsep moden geran tanah dan amalan kebudayaan seperti kawasan rayau tanah seperti yang dinyatakan dalam kes-kes penting seperti Adong bin Kuwau & Ors v Kerajaan Negeri Johor & Anor 1998 dan Sagong bin Tasi &. Ors v Kerajaan Negeri Selangor 2002.

Ketiadaan pengiktirafan oleh kerajaan negeri, pihak berkuasa dan syarikat swasta mempengaruhi secara langsung kepada peningkatan pengambilan tanah secara haram dan pencerobohan tanah adat Orang Asli.

Walaupun dengan adanya keputusan Mahkamah Tinggi di Ipoh yang berpihak kepada hak Orang Asli terhadap peninggalan nenek moyang mereka, kelihatannya kegiatan tersebut akan tetap berterusan.

Sikap tidak ambil peduli terhadap Orang Asli terutamanya oleh mereka yang mempunyai kuasa bukan merupakan perkara baharu.

Penangkapan tiga Orang Asli Temiar oleh pihak polis kerana terlibat dalam halangan di Gerik menimbulkan persoalan mengenai penghormatan hak-hak Orang Asli yang mempunyai akses yang terhad terhadap keadilan.

Walaupun tindakan kerajaan persekutuan untuk menyaman kerajaan negeri Kelantan mengenai pencerobohan tanah Orang Asli awal tahun ini dipuji, ia hanya satu langkah dalam sejarah berpanjangan penafian hak Orang Asli.

READ MORE:  Orang Asli land rights - #SavePosLanai

Suhakam kesal dengan pencabulan berterusan hak Orang Asli oleh sektor awam dan swasta yang dibenarkan berlaku oleh kerajaan; ini menggambarkan tindakan tidak bertimbang rasa untuk menafikan hak mereka terhadap mata pencarian dan pergerakan.

Suhakam menggesa agar satu moratorium diletak ke atas projek-projek pembangunan yang melibatkan tanah adat Orang Asli, sementara menunggu pelaksanaan cadangan-cadangan Laporan Inkuiri Nasional mengenai Hak Tanah Orang Asli 2013 termasuk syor untuk menubuhkan suruhanjaya kebangsaan mengenai Orang Asli bagi menasihati kerajaan tentang undang-undang dan dasar; mencadangkan dan memantau program-program pembangunan lestari mengenai Orang Asli; mempromosi penyertaan Orang Asli di kesemua peringkat; dan menjalankan kajian tentang isu-isu berkaitan kesejahteraan Orang Asli.

Suhakam juga ingin mengingatkan kerajaan akan komitmennya di bawah Janji 38 manifesto Pakatan Harapan untuk memperjuangkan kepentingan Orang Asli di Semenanjung Malaysia termasuk melaksanakan cadangan-cadangan daripada inkuiri nasional Suhakam, memastikan agar hak tanah Orang Asli dilindungi dengan lebih baik dan menjalankan kajian menyeluruh bagi mengenal pasti secara tepat sempadan tanah adat.

Suhakam telah bertemu dengan Menteri Besar Negeri Perak pada 20 September 2018 bagi menangani isu hak tanah Orang Asli dan isu-isu hak asasi manusia lain berkaitan dengan mereka.

Menteri Besar telah memaklumkan Suruhanjaya bahawa kerajaan negeri akan berjumpa dengan komuniti Orang Asli bagi membincangkan isu-isu yang telah dibangkitkan.

Suhakam kini sedang memohon agar satu mesyuarat susulan dapat diadakan.

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support our work by making a donation. Tap to download the QR code below and scan this QR code from Gallery by using TnG e-wallet or most banking apps:
Subscribe
Notify of
guest
1 Comment
Newest
Oldest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments
None
None
17 May 2024 11.41pm

BODOHKAN!!!?? ORANG ASLI TANAH INI TERPAKSA MENJADI SEPERTI PENDATANG DI BUMI NENEK MOYANG SENDIRI.!

1
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x