Kami, yang terdiri daripada kumpulan-kumpulan pesawah padi, pekebun sayur, nelayan, penternak ikan, penternak lembu dan kambing mahu kerajaan bertindak tegas untuk mengenalpasti dan menghentikan usaha-usaha yang menjejaskan pengeluaran padi, sayur-sayuran, ikan, susu, dan daging lembu dan kambing tempatan akibat pelbagai tindakan terhadap para pengeluar.
Walaupun kami pernah, secara berasingan, membawa isu-isu ini ke perhatian kerajaan negeri dan agensi-agensi kerajaan berkenaan, tetapi sampai sekarang rayuan kami untuk polisi yang menyeluruh dan mampan tidak diambil kira.
Krisis kos dan bekalan makanan yang melanda dunia sekarang adalah satu peringatan kepada kita bahawa kedaulatan makanan adalah amat penting untuk keselamatan dan kesejahteraan sesebuah negara.
Setakat ini, import makanan Malaysia hampir mencecah RM65bn setahun, iaitu, lebih kurang 50% perbelanjaan negara atas barangan makanan. Sebahagian besar daripada barangan makanan yang diimport adalah makanan asas seperti bijirin (beras, gandum, jagung), sayur-sayuran, ikan dan susu.
Itulah sebabnya kami, dari empat sektor pengeluar makanan tempatan, telah mengambil keputusan untuk bersama-sama mengutarakan masalah kami kepada perdana menteri selaku pengerusi jawatankuasa kabinet mengenai dasar sekuriti makanan negara untuk bertindak segera, membentuk polisi dan menggubal undang-undang bagi menyelamatkan sektor-sektor pengeluaran makanan daripada dimusnahkan oleh langkah dan projek ‘pembangunan’ yang diamalkan oleh kerajaan negeri dan agensi mereka, sepertimana yang diperjelaskan di bawah.
Permohonan pesawah padi
- Tukar semua subsidi-subsidi input untuk pengeluaran padi kepada bentuk tunai atau voucher
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Kenaikan kos pengeluaran padi akan memberi kesan kepada pendapatan pesawah. Kenaikan kos pengeluaran biasanya disebabkan oleh kenaikan harga input pertanian, buruh, sewaan, jentera dan juga manipulasi harga pasaran.
Ketika ini, untuk mengekalkan harga runcit beras tempatan pada RM2.60 sekilogram, kerajaan memberikan subsidi seperti skim baja padi kerajaan persekutuan (SBPKP), skim insentif pengeluaran padi (SIPP), insentif pengeluaran benih padi sah dan insentif harga padi.
Semua subsidi ini (kecuali insentif harga padi) tidak diberikan terus kepada pesawah sebaliknya kepada syarikat-syarikat terpilih.
Tetapi perkhidmatan kebanyakan syarikat-syarikat atau vendor yang dipertanggungjawabkan untuk menyampaikan baja, benih dan input-input pertanian ini kepada pesawah kurang memuaskan – barangan yang dihantar berkualiti rendah ataupun tidak sesuai untuk semua jenis sawah malah sering dihantar lewat dan sebagainya.
Pesawah menyarankan peruntukan yang sama disampaikan melalui tunai atau voucher supaya para pesawah dapat memilih barangan yang terbaik dan sesuai dengan kaedah pertanian dan tanah sawah mereka.
Kuota pengeluar benih juga perlu dihapuskan dan pasaran dibuka untuk menggalakkan persaingan.
Sistem subsidi baja, racun dan input pertanian yang lain juga perlu diselaraskan sama seperti cadangan sistem benih supaya petani memiliki lebih banyak pilihan dan harga input pertanian dapat distabilkan melalui persaingan.
- Tingkatkan insentif harga padi kepada 80 sen sekilogram dan bayaran wang sara hidup sementara menunggu hasil dituai dikembalikan segera
Beras adalah barangan makanan asas dan oleh itu harganya dikawal oleh kerajaan – padi dibeli oleh kilang padi dengan harga minimum terjamin (GMP) RM1.20 sekilogram dan beras tempatan dijual di kedai runcit dengan harga kawalan RM2.60 sekilogram yang tidak berubah sejak belasan tahun lalu.
Untuk membantu pesawah, kerajaan sedang membayar insentif harga padi sebanyak 36 sen sekilogram padi kepada pesawah – bermakna pesawah mendapat RM1.56 setiap kilogram padi yang dijual kepada kilang padi.
Harga minimum terjamin padi kali terakhir dinaikkan pada tahun 2014 dan insentif harga padi kali terakhir ditambah hanya sebanyak 6 sen sekilogram pada tahun 2018.
Sejak tahun 2020 kenaikan kos bertani naik berlipat ganda dengan mendadak, manakala tambahan jumlah skim insentif pengeluaran padi sebanyak RM100 hanyalah untuk tempoh setahun iaitu tahun 2021 yang lepas.
Oleh itu, sudah tiba masanya insentif harga padi ditambah sebanyak 44 sen sekilogram menjadikan ia berjumlah 80 sen sekilogram. Sementara itu, wang bantuan sara hidup sebanyak RM200 sebulan sementara menunggu padi dituai yang pernah diterima sebelum ini oleh pesawah harus dikembalikan semula.
Dengan adanya bantuan ini, petani dapat menyediakan keperluan rumah dan keluarga tanpa perlu berhutang sementara menunggu wang jualan padi dalam tempoh sekitar enam bulan. Bayaran seumpama ini juga ada diterima oleh nelayan dan penoreh getah ketika musim tengkujuh.
- Selesaikan isu pemerasan pesawah yang berlangsung di peringkat kilang
Kilang yang membeli padi biasanya memotong beberapa peratus daripada berat padi untuk mendapatkan beras bersih tanpa wap air dan benda asing. Ketika ini, purata potongan pemutuan padi adalah sekitar 20% – 30%.
Dua puluh-lima tahun lalu, purata potongan pemutuan yang dikenakan adalah sekitar 17%. Sedangkan pada waktu tersebut, varieti benih dan teknologi pertanian tidaklah sehebat pada masa kini. Pada masa itu wujud lebih banyak kilang beras dan oleh itu pesawah dapat menjual hasil mereka ke kilang yang melakukan pemutuan secara adil.
Tetapi sejak Lembaga Padi dan Beras Negara diswastakan kepada Bernas, ia telah menguasai pasaran beras dan seterusnya kilang melalui syarikat-syarikat perkongsian. Jumlah kilang padi berkurangan dan oligopoli yang diwujudkan telah menyebabkan potongan pemutuan meningkat.
Untuk menangani hal ini, pesawah mengesyorkan:
- Lembaga Padi dan Beras Negara dihidupkan kembali dan tanggungjawab menguruskan sektor padi-beras dikembalikan kepada lembaga ini
- Lebih banyak kilang memproses padi digalak dan diberi lesen operasi
- Wujudkan had pembelian padi setiap bulan untuk kilang-kilang besar mengikut breakeven masing-masing supaya kilang-kilang kecil juga mendapat bekalan padi untuk diproses.
- Hentikan promosi projek estet berskala besar (Smart SBB), sebaliknya sokongilah dan ramaikan usahawan-usahawan petani individu dan syarikat lokal
Konsep pertanian berkelompok untuk berkongsi modal dan mengurangkan kos melalui koperasi (sedia maklum bilangan ahli minimum koperasi sekarang adalah 20 orang sahaja iaitu satu angka yang dianggap boleh diurus dengan mudah kerana tidak terlalu besar) atau persatuan lokal adalah alternatif terbaik kepada Smart SBB.
Ketika ini terdapat ramai usahawan-usahawan petani dan syarikat lokal yang sudahpun mengusahakan banyak sawah-sawah terbiar atau yang tidak diusahakan oleh tuan tanah.
Ini akan membina kapasiti pengusaha petani tempatan untuk masa hadapan. Lazimnya syarikat atau korporat lebih berorientasikan keuntungan. Lantas jika berlaku kerugian, mereka akan meninggalkan perusahaan berbanding dengan petani yang akan bertahan lama walau dicabar dengan risiko pengeluaran.
Menyerahkan semua masalah untuk diselesaikan oleh syarikat korporat bukanlah satu langkah yang bijak kerana ia hanya akan meningkatkan monopoli swasta dalam urusan keselamatan negara dalam konteks jaminan bekalan makanan.
- Iktirafkan pesawah padi sebagai pegawai keselamatan makanan dan menawarkan pencen warga emas kepada pesawah
Pesawah padi tidak boleh menukar status tanah mereka untuk aktiviti pertanian lain ataupun penternakan tanpa izin daripada kerajaan negeri. Pesawah juga tidak boleh menukar kegunaan tanah daripada pertanian ke industri atau perumahan.
Polisi ini telah dikuatkuasakan sejak zaman British kerana kerajaan sedar bahawa bekalan beras adalah amat penting untuk seluruh rakyat. Dan jangan lupa, harga beras dikawal supaya orang awam tidak dibebani kos makanan ruji yang tinggi.
Jadi, adalah amat munasabah untuk menawarkan pencen warga emas sebanyak RM500 sebulan untuk setiap pesawah yang mencapai umur 60 kerana mereka telah berkorban untuk membekalkan kita semua satu barangan makanan asas dengan harga terkawal.Â
Permohonan pekebun sayur
- Kekalkan kawasan tanaman sayur sebagai kawasan pengeluaran makanan
Pada masa ini, 75% daripada pengeluaran sayur-sayuran di Semenanjung Malaysia adalah diusahakan di atas tanah kerajaan yang terbiar.
Ramai daripada pekebun sayur merupakan generasi ketiga. Datuk-nenek mereka telah menerokai kebun-kebun mereka sebelum Perang Dunia Kedua.
Sekarang walaupun penanaman sayur hanya mengambil 4% jumlah tanah pertanian di Malaysia, pekebun sayur sedang diancam pengusiran secara besar-besaran oleh pemaju projek-projek perumahan dan perindustrian. Pada masa ini, di daerah Kinta dan Batang Padang, Perak sahaja, 12 kelompok petani sedang diusir.
- Siasat kerajaan negeri Perak: Pentadbiran tanah pertanian dicurigai
Tubuhkan suruhanjaya diraja di peringkat negeri Perak untuk menyiasat sama ada tanah negeri Perak diuruskan secara beramanah dan mengutamakan pengeluaran makanan harian ataupun dikendalikan oleh pihak berkuasa negeri untuk dapat keuntungan jangka masa pendek dari pelupusan tanah.
Suatu surat rayuan berkaitan permohonan ini telahpun dihantar oleh Gabungan Petani Perak kepada Sultan Perak pada 15 Mei 2022.
- Ambil balik tanah kebun yang telahpun dilupuskan kepada pihak swasta dan kembalikannya kepada pekebun yang mengusahakannya
Kawasan tanaman sayur yang telah dilupuskan kepada pemaju tetapi masih diusahakan oleh pekebun, harus diambil balik oleh kerajaan dan pekebun dibenarkan meneruskan dengan penanaman sayur. Tanah gantian boleh diberi kepada pemaju.
Kawasan penanaman sayur harus diberi pajak tempoh 10-20 tahun kepada para petani dengan syarat-syarat:
- Tidak boleh menukar ke tanaman kelapa sawit ataupun getah
- Tidak boleh membuat projek perumahan atau perindustrian. Mesti tanam sayur
- Jika terbiar untuk lebih daripada satu tahun, boleh diambil balik oleh kerajaan dan dipajak kepada pekebun lain
- Wujudkan mekanisme kawal imbang untuk memastikan pelupusan tanah kerajaan diperlakukan untuk kebaikan rakyat negeri Perak
Sistem undang-undang tanah negara kita memberi terlalu banyak kelonggaran kepada menteri besar negeri untuk melupuskan tanah kepada sesiapa beliau mahu. Tiada mekanisme kawal imbang (checks and balances) dalam Kanun Tanah Negara.
Ini membuka ruang untuk salahguna kuasa oleh golongan elit politik di peringkat negeri.
Gabungan Petani telah menghantar memorandum kepada menteri besar Perak berkaitan mekanisme kawal imbang ini pada bulan September 2021 tetapi belum menerima sebarang maklumbalas.
Pengalaman dan kemahiran para pekebun kecil dalam bidang menanam sayur-sayuran harus dipandang sebagai satu aset pada negara kita dalam usaha menjamin makanan untuk rakyat kita. Jangan menghancurkan aset ini.
Keluhan nelayan Pulai Pinang
Perairan laut dari Pulau Pinang selatan hinggalah ke Lumut, Perak merupakan zon penghasilan laut seperti ikan, udang, ketam dan kerang yang antara terpenting di Malaysia.
Nelayan tradisional dari kawasan Pulau Pinang selatan menghasilkan 350 tan ikan yang bernilai RM5 juta setiap tahun. Ada beberapa kelompok nelayan tradisional yang sama di pantai Seberang Perai dan Perak.
Selain daripada nelayan tradisional, wujud juga kumpulan penternak ikan yang mengusahakan sangkar di laut untuk menternak ikan. Kelompok penternak ikan Sungai Udang, Nibong Tebal umpamanya mengendalikan 19,000 buah sangkar dan menghasilkan 13,000–20,000 tan ikan setiap pusingan (enam hingga 12 bulan, bergantung kepada jenis ikan). Enam puluh peratus daripada hasil mereka adalah dijual di pasar-pasar tempatan.
Cadangan kerajaan kegeri Pulau Pinang untuk membina tiga buah pulau buatan (artificial islands) di kawasan selatan Pulau Pinang amat membimbangkan nelayan di Pulau Pinang dan Perak.
Para nelayan khuatir bahawa pengorekan pasir laut akan menyebabkan penghancuran ekosistem pantai dan pembiakan ikan, udang dan sotong akan tergendala dalam skala yang besar.
Pengorekan selut di dasar laut juga akan membebaskan banyak bahan organik ke dalam air laut, dan ini boleh membawa kepada pengurangan paras oksigen di air laut. Ikan akan mati kerana tiada oksigen yang mencukupi dalam air laut.
Tambahannya pula, prosedur penilaian impak alam seketar (environmental impact assessment) yang diamalkan di negara kita mempunyai kelemahan serius. Mengikut undang-undang dan prosedur yang sedia ada, kajian impak kepada impak sekeliling dilakukan oleh syarikat yang dipilih dan diupah oleh penggerak projek.
Memang ada pertindihan kepentingan. Syarikat kajian impak kepada alam sekeliling yang melakukan tugasnya secara amanah tidak akan dapat business dan terpaksa menggulung tikar! Hanya syarikat yang pandai menjaga kepentingan penggerak projek akan kekal dalam bidang ini.
Permohonan nelayan:
- Jabatan Alam Sekitar harus menubuhkan satu taskforce yang bebas untuk melakukan kajian impak kepada alam sekeliling
Adalah amat penting taskforce ini adalah bebas daripada pemaju dan kerajaan negeri. Ahli akademik yang berkaliber tinggi harus dilantik ke taskforce ini oleh kerajaan pusat dan bukan oleh penggerak projek. Kerajaan pusat boleh membiayai kos kajian impak ini daripada dana yang dikumpul dari penggerak projek.
Pengalaman komuniti nelayan di Tanjung Tokong harus dikaji. Impak penambakan laut di Tanjong Tokong terhadap penghasilan ikan dari Tanjung Tokong, Tanjung Bungah dan Batu Ferringhi harus dikaji.
Rekod penghasilan ikan dari kelompok penternak ikan semasa Jambatan Pulau Pinang Kedua dibina juga harus dikaji. Pengacauan selut lantai laut dalam pembinaan jambatan jauh lebih kecil berbanding pengorekan pasir untuk penambakan laut; tetapi jika skala kecil ini juga membawa kesan negatif, kita ada asas untuk membuat anggaran berkaitan projek penambakan Pulau Pinang selatan.
Peranan kawasan lautan ini dalam menjamin bekalan makanan untuk rakyat kita seharusnya diambilkira dalam kajian impak sosial.
- Batalkan projek penambakan laut Pulau Pinang selatan
Projek penambakan laut Pulau Pinang selatan mesti dibatalkan kerana pembangunan ini membawa kesan negatif berkekalan ke atas ekosistem marin dan pantai serta menggugat jaminan bekalan makanan. Laporan penilaian impak alam sekitar untuk projek ini harus dibatalkan.
Jika kekurangan dana untuk melaksanakan pelan membangunkan sistem pengangkutan di Pulau Pinang adalah faktor besar yang mendorong kerajaan negeri Pulau Pinang untuk melancarkan projek penambakan laut, kerajaan pusat harus membantu mencari dana untuk pelan pengangkutan negeri Pulau Pinang yang diubahsuai, seperti yang disarankan oleh NGO.
Jangan memusnahkan alam sekitar dan menjejaskan jaminan makanan negara oleh kerana mahu mencari dana untuk sistem pengangkutan.
Permohonan penternak lembu
- Hentikan usaha mengusir penternak dari ladang-ladang Sime Darby
Sejak empat tahun dahulu, majikan Sime Darby berusaha untuk mengusir keluar penternak lembu yang mengguna ladang-ladang Sime Darby sebagai kawasan ragut untuk lembu yang dibela.
Penternak ini merupakan pekerja ladang semasa, bekas pekerja ladang dan keluarga bekas pekerja ladang yang pada satu masa dahulu digalak oleh pihak majikan ladang untuk menternak lembu sebagai kerja sambilan. Kini kumpulan ini telah menjadi satu sumber utama bekalan susu dan daging lembu di negara kita.
- Kerajaan harus menganjurkan dialog di antara Sime Darby dan penternak lembu yang terlibat
Tujuan dialog ini adalah untuk:
- mendapat tahu sebab-sebab sebenar di belakang keputusan Sime Darby untuk menghalau penternak lembu
- mendapat tahu sama ada polisi mengusir penternak lembu ada kaitan dengan syarat-syarat kemampanan (RSPO = Roundtable on Sustainable Palm Oil) bagi industri penanaman kelapa sawit
- menggubal persetujuan antara Sime Darby dan penternak di mana tanggungjawab para penternak diperjelaskan serta mekanisme mengendalikan ketidakpatuhan (non-compliance) peraturan yang dipersetujui.
- Tindak dengan adil dalam mengawalselia harga jualan susu dan daging lembu
Pada musim perayaan, harga daging lembu dikawal. Tetapi harga dedak ternakan tidak dikawal dan telah meningkat 200% dalam 10 tahun yang lalu. Kadangkala pasaran tempatan dibanjiri dengan daging lembu yang diimport dan daging tempatan susah dijual.
Syor penternak adalah:
- Harga siling daging harus ditetapkan dengan munasabah selepas mengambil kira kos ternakan yang sentiasa meningkat
- Jika kerajaan mahu mengawalselia harga daging lembu dengan ketat, subsidi harus ditawar kepada penternak untuk menampung kos dedak lembu yang semakin mahal
- Amalkan sistem kuota import bagi daging lembu untuk memastikan daging tempatan dapat dijual juga
Taraf sara diri (self-sufficiency level) berkaitan susu cair dan daging lembu hanya di paras 62% dan 20% masing-masing pada masa ini. Oleh itu adalah penting kita menggalak penternak lembu tempatan mempertingkatkan penghasilan produk-produk tersebut.
Untuk menjayakan hasrat ini kerajaan harus:
- Memastikan harga siling yang ditetapkan tidak mengurangkan penghasilan tempatan
- Membolehkan para perternak mengguna tanah ladang (yang kini meliputi 17% daripada jumlah keluasan bumi Malaysia) sebagai kawasan ragut. Strategi ini jauh lebih baik untuk alam sekitar negara kita berbanding opsyen menebang hutan untuk mewujudkan padang ragut baru. Syarikat perladangan besar seperti Sime Darby harus menyelesaikan isu ini selaras dengan tanggungjawab sosialnya (corporate social responsibility)
Kedaulatan makanan negara
Konsep kedaulatan makanan adalah lebih luas berbanding hasrat membekalkan barangan makanan kepada para pengguna dengan harga rendah.
Pemansuhan sekatan import terhadap barangan makanan umpamanya, mungkin boleh mengurangkan harga barangan makanan buat masa ini.
Tetapi tindakan sebegini boleh menjejas pengeluar tempatan sehingga sebahagian antara mereka gulung tikar. Ini akan menghancurkan kapasiti negara kita menghasilkan makanan tersebut.
Selepas itu, jika bekalan bahan makanan itu di pasaran antarabangsa berkurangan akibat perang ataupun perubahan iklim, ataupun jika nilai mata wang kita menyusut, negara kita akan menghadapi kekurangan dalam bekalan makanan tersebut dan rakyat akan susah.
Oleh itu, polisi makanan negara harus mengutamakan kapasiti negara kita menghasilkan barangan makanan dan mengelak dari polisi jangka masa pendek yang bertumpu pada mengurangkan harga barangan makanan tetapi mencederakan kapasiti penghasilan makanan tempatan.
Inilah sebabnya kita harus menolak Comprehensive and Progressive Trans-Pacific Partnership (CPTPP) yang akan menyebabkan:
- Kenaikan kos kepada petani – Bab harta intelek dalam teks perjanjian ini memperuntukkan hak eksklusif pasaran selama 10 tahun kepada pengeluar asal bahan kimia dan campuran bahan organik pertanian walaupun ia tidak dipatenkan kerana pihak kerajaan tidak boleh meluluskan penghasilan, import dan penjualan bahan kimia dan organik generik selama tempoh 10 tahun. Ini akan meningkatkan harga input pertanian kepada petani. Perlindungan harta intelek yang lebih kuat dalam teks CPTPP akan juga membolehkan lebih banyak ubat-ubatan veterinar dipatenkan dan dijual pada harga monopoli yang lebih tinggi untuk jangka masa yang lebih lama. ini akan menjejaskan penternak
- Kewajipan menyertai International Union for the Protection of New Varieties of Plants (UPOV) 1991 – Penyertaan ke dalam sistem UPOV memerlukan kerajaan membubarkan Akta Perlindungan Varieti Baru Tumbuhan 2004. Antara kesan utamanya, ia menghalang petani kecil dan individu daripada menyimpan, berkongsi serta menjual benih yang berdaftar keluar daripada kawasan kampung masing-masing. Petani berisiko disaman oleh syarikat membekal benih. UPOV juga membolehkan syarikat benih membentuk monopoli pasaran selama 20 tahun untuk sesuatu benih dan 25 tahun untuk pokok berkayu; ini menafikan hak tradisi petani dan juga akan meningkatkan harga benih
- Penghapusan subsidi – Walaupun CPTPP tidak mewajibkan negara anggota untuk menghapuskan keseluruhan subsidi domestik dalam industri pertanian, ia mewajibkan penghapusan segala bentuk subsidi eksport produk-produk pertanian. Ini bermakna, program-program bantuan kerajaan kepada petani untuk mengeksport produk pertanian ke negara-negara anggota CPTPP tidak akan dapat dilaksanakan. Teks CPTPP juga melarang subsidi diberikan kepada tangkapan spesis ikan tertentu. Walaupun larangan ini adalah bertujuan untuk melindungi jumlah spesis ikan tertentu yang semakin berkurangan, punca kekurangan jumlah ikan adalah disebabkan oleh kemusnahan habitat ikan oleh aktiviti pembangunan di Malaysia. Larangan ini tidak praktikal malah bersifat tidak adil kepada nelayan pantai
- Lambakan import – Jika Malaysia meratifikasi CPTPP, kita diwajibkan untuk menghapus 100% tarif pada barangan import termasuk produk pertanian (dengan beberapa tempoh peralihan dan kuota kadar tarif untuk ayam dan telur serta pengecualian terhadap monopoli import beras). Maka, Malaysia akan menghadapi peningkatan import produk pertanian daripada negara anggota CPTPP. Tarif import merupakan salah satu bentuk perlindungan kepada petani, penternak dan nelayan tempatan selain menjadi sumber pendapatan negara. Ini akan menjejaskan harga dan pendapatan petani serta penternak tempatan.
Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri begitu ghairah untuk meratifikasi perjanjian perdagangan CPTPP kerana terlalu terpengaruh dengan pandangan pakar-pakar ekonomi neoliberal Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dan Bank Dunia. Mereka yang menasihati kementerian ini bahawa penyertaan Malaysia dalam CPTPP adalah terbaik untuk perkembangan ekonomi negara.
Rayuan kepada perdana menteri
Kami berharap perdana menteri akan mengambil tindakan-tindakan yang berikut:
- Bentangkan suatu usul gempar dalam sesi Parlimen yang sedang bersidang sekarang untuk mengingatkan kerajaan-kerajaan negeri dan juga agensi-agensi kerajaan bahawa kapasiti menghasil makanan tempatan harus dipelihara dan sebarang polisi, projek atau tindakan yang mengancam kedaulatan makanan negara harus dikenalpasti dan dihentikan
- Kekalkan tanah-tanah dan kawasan-kawasan yang digunakan untuk pengeluaran makanan – Adalah penting tanah-tanah atau kawasan-kawasan yang mengeluarkan makanan pada masa kini diiktiraf sebagai kawasan sensitif untuk melindungi kedaulatan makanan serta sekuriti makanan. Maka, di bawah rancangan fizikal negara, adalah perlu dan penting untuk mengelaskan kawasan-kawasan tersebut sebagai kawasan sensitif makanan, sama sebagaimana kawasan sensitif alam sekitar diberi perhatian. Dengan ini, Majlis Fizikal Negara serta Majlis Tanah Negara harus memberi pengiktirafan serta perlindungan kepada kawasan sensitif makanan supaya kawasan-kawasan tersebut tidak ditukarguna dengan sewenang-wenangnya untuk lain-lain kegunaan atau tujuan
- Jemput kerajaan negeri Perak dan Pulau Pinang ke mesyuarat jawatankuasa kabinet mengenai dasar sekuriti makanan negara supaya pendekatan mereka yang sedang (atau bakal) menjejaskan jaminan bekalan makanan kita dari segi penghasilan sayur dan ikan dapat dibincang, dikajisemula dan diubahsuai
- Anjurkan perbincangan di Majlis Tanah Negara supaya Kanun Tanah Negara dapat diubahsuai demi mewujudkan mekanisme kawal imbang untuk proses pelupusan tanah oleh pemimpin politik negeri
- Arahkan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan menyediakan respons kepada permohonan 1, 2 dan 3 daripada pihak pesawah dan permohonan 1 dan 2 daripada penternak lembu dan bentangkan respons ini di mesyuarat jawatankuasa kabinet mengenai dasar sekuriti makanan negara dalam tempoh masa satu bulan
- Jangan meratifikasi CPTPP kerana impaknya terhadap kedaulatan makanan negara dan kebajikan petani adalah amat serius
Kami berharap perdana menteri akan bertindak segera untuk memastikan kedaulatan makanan negara dilindungi dan keselamatan rakyat kita dijamin. Pihak kami sentiasa sedia berkerjasama dalam usaha ini.
Inilah kandungan memorandum yang ditujukan kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, selaku pengerusi jawatankuasa sekuriti makanan negara, dan Menteri Pertanian dan Industri Makanan Dr Ronald Kiandee dari Jaringan Pengeluar Makanan pada 26 Julai 2022.
Disokong oleh organisasi/NGO yang berikut:
- North South Initiative (NSI)
- Majlis Tindakan Ekonomi Melayu
- Saya Anak Bangsa Malaysia (SABM)
- Kuala Lumpur and Selangor Chinese Assembly Hall youth
- Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH)
- Idris Association
- Forum Kedaulatan Makanan Malaysia
- Sustainable Development Network, Malaysia (Susden Malaysia)
- Freedom Film Network
- Petani dan penternak Kuala Kampar, Perak
- Petani dan penternak Mambang Diawan, Perak
- Pekebun sawit dan buahan Bidor, Perak
- Pekebun kecil Kuala Bikam, Sungkai Perak
- Petani dan penternak ikan, Pusing Perak
- Pekebun kecil, Langkap Perak
- Suaram
- Persatuan Sahabat Wanita Selangor
- Jawatankuasa penternak ladang Sime Darby Selangor
- Jawatankuasa penternak ladang Sime Darby Negeri Sembilan
- Jawatankuasa penternak ladang Sime darby Melaka
- Jawatankuasa penternak ladang Sime darby Johor
- Treat Every Environment Special Sdn Bhd
- Teras Pengupayaan Melayu
- Gerakan Rakyat Pemerkasaan Jaminan Makanan
- Persatuan Kebajikan dan Pendidikan Melayu
- Consumer’s Association of Penang (CAP)
- Sahabat Alam Malaysia (SAM)
- Aliran
- Persatuan Persaudaraan Muslimah Malaysia
- Blind Spot
- Third World Network
- Agora Society
- Malaysia Muda
- Teoh Beng Hock Foundation
- KLSCAH Women’s division
- Malaysia Women Development Organisation, PJ New Town Branch
- Jedi
- G25
- Penang Forum
- Penang Tolak Tambak
- Parti Muda
- UTM – Malaysia-Japan International Institute of Technology (MJIIT) Voices
- Parti Sosialis Malaysia
- Pemuda Sosialis
- Gabungan Marhaen
- Independent Living and Training Centre Malaysia
- People Like Us Support Ourselves (PLUsos)
- Centre for Independent Journalism (CIJ)
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme