Demikian ulas Zunar dalam satu kenyataan akhbar mengenai pengharaman buku beliau.
Latar belakang:
Setakat kenyataan ini ditulis, saya belum mendapat surat rasmi dari Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengenai pengharaman buku saya.
Berdasarkan laporan Malaysiakini (24 Jun 2010), KDN berkata tiga buku/majalah saya – 1Funny Malaysia, Perak Darul Kartun dan Isu Dalam Kartun telah diharamkan.
“1Funny Malaysia” adalah koleksi karya-karya pilihan kartun saya yang tersiar dalam ruangan Cartoonkini dalam portal web Malaysiakini dari tahun 2005 hingga 2009.
“Perak Darul Kartun” adalah buku terbitan syarikat saya sendiri, Sepakat Efektif Sdn Bhd. “Isu Dalam Kartun (IDK)” adalah majalah bulanan yang mempunyai permit penerbitan dari KDN dan setakat ini tiga edisi IDK telah diterbitkan; vol 1, vol 2 dan vol 3.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Tahun lepas, sebuah lagi majalah saya “Gedung Kartun” telah dirampas dan juga telah diharamkan. Berdasarkan kenyataan KDN ini bererti keenam-enam penerbitan saya dan juga pasukan kartunis saya telah diharamkan.
Dalam laporan Malaysiakini, Ketua setiausaha KDN Mahmood Adam dipetik sebagai berkata buku-buku tersebut diharamkan kerana ia tidak sesuai untuk bacaan umum.
“Ketiga-tiga bahan penerbitan itu dikenakan perintah larangan kerana mengandungi bahan yang boleh mempengaruhi pemikiran rakyat untuk menentang kepimpinan dan dasar kerajaan. Ia tidak sesuai untuk bacaan umum dan sekiranya dibiarkan, ia boleh memudaratkan ketenteraman awam,” kata beliau.
Kenyataan saya:
Kerajaan/KDN menuduh bahawa kartun-kartun saya mengandungi bahan yang boleh mempengaruhi pemikiran rakyat untuk menentang kepimpinan dan dasar kerajaan dan sekiranya dibiarkan, ia boleh memudaratkan ketenteraman awam. Ia adalah satu tuduhan yang serius dan harus ditunjangi dengan alasan perundangan yang kukuh.
Dengan mengharamkan keenam-enam penerbitan ini, ertinya sebanyak 312 karya-karya kartun saya dan pasukan kartunis saya yang terdapat dalamnya diharamkan.
Saya menuntut KDN/kerajaan memberi penjelasan apakah yang dimaksudkan dengan takrif “mempengaruhi pemikiran rakyat untuk menentang kepimpinan dan dasar kerajaan dan sekiranya dibiarkan, ia boleh memudaratkan ketenteraman awam.”
Saya menuntut KDN/kerajaan memberi penjelasan karya yang mana dan pada muka surat yang mana dari 312 kartun tersebut yang dikategorikan sebagai mengancam keselamatan negara dan tidak sesuai untuk bacaan umum.
Saya bertanggungjawab dan sedia mempertahankan karya-karya saya.
Saya sedia menghadapi tindakan undang-undang.
Dari sudut perniagaan, larangan KDN ini sudah pasti membawa kerugian besar kepada syarikat saya. Saya menjangka pengedar-pengedar seluruh Malaysia akan memulangkan naskah yang telah beredar di pasaran dan kerugian sekitar RM50,000 hingga RM80,000.
Tetapi, keuntungan material bukanlah matlamat utama saya. Sebagai kartunis, tanggungjawab sosial adalah keutamaan saya.
Melalui karya kartun, saya akan terus membongkar kezaliman, rasuah dan salah laku kerajaan BN. Saidina Ali berkata, “Bercakap benar kepada pemerintah yang zalim adalah patriot sebenar.”
Kerajaan boleh mengharamkan buku saya, kerajaan boleh mengharamkan majalah saya, tetapi kerajaan tidak boleh mengharamkan minda saya. “Saya akan terus berkartun sehingga ke titisan dakwat terakhir.”
Zunar
(Zulkiflee Anwar Ulhaque)
Kartunis/Editor kartun
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme