Home Coalitions Clean and Fair Elections 10 penyelewengan SPR: Pengundi mesti turun mengundi beramai-ramai untuk mengatasi kesan penipuan

10 penyelewengan SPR: Pengundi mesti turun mengundi beramai-ramai untuk mengatasi kesan penipuan

File graphic

Follow us on our Malay and English WhatsApp, Telegram, Instagram, Tiktok and Youtube channels.

Sebagai satu kumpulan yang memperjuangkan reformasi pilihan raya dan sebuah gerakan rakyat terbesar di Malaysia, Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) telah memantau sistem dan proses pilihan raya sejak penubuhannya pada tahun 2006.

Memandangkan banyak penyelewengan dan manipulasi yang didedahkan sebelum ini, terutamanya melalui Tribunal Rakyat Dalam Pilihan Raya Umum 2013, Bersih 2.0 sangat memberi penekanan terhadap permasalahan yang memberi kesan berterusan kepada pilihan raya umum 2018.

Bersih 2.0 dengan ini mengumumkan laporan dapatan awal berkenaan ketelusan proses dan sistem pilihan raya dalam pilihan raya umum 2018. Laporan ini adalah berdasarkan pemantauan berterusan terhadap sistem pilihan raya sejak tahun 2006 dan juga kempen Pemantau (Pemantau Pilihan Raya) yang memfokuskan berkenaan kesalahan pilihan raya sejak 6 bulan yang lalu.

Bersih 2.0 menyimpulkan bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) telah gagal untuk membawa keyakinan orang ramai dalam menguruskan proses dan sistem pilihan raya di Malaysia terutamanya bagi pilihan raya umum kali ini. Tujuh anggota SPR – Mohd Hashim Abdullah, Othman Mahmood, Md Yusop Mansor, Abdul Aziz Khalidin, Sulaiman Narawi, Bala Singam Karupiah dan Leo Chong Cheong – telah melakukan 10 penyelewengan yang serius terhadap pengundi di Malaysia, dan tindakan tersebut telah menjejaskan integriti pilihana raya umum ini.

Sepuluh penyelewengan tersebut adalah :

Gerrymandering, malapportionment, dan penyalahgunaan proses persempadanan semula

SPR telah menyalahgunakan proses persempadanan semula dengan menetapkan sempadan tidak adil dan menyebelahi parti-parti tertentu. Laopran akhir persempadanan semula yang telah diserahkan kepada Parlimen menambahkan lagi kesan buruk persempadanan tidak adil dan mewujudkan kawasan bersaiz besar dengan memadatkan penyokong pembangkang dalam sesuatu kawasan yang melanggar prinsip “satu orang satu undi”. Pembahagian tidak sekata yang partisan akan mengalihkan hampir 15 kawasan parlimen dan secara tidak langsung membantu Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya.

SPR juga tidak mengambil kira proses yang sewajarnya dengan tergesa-gesa melaksanakan persempadanan semula dalam tempoh masa yang singkat. Ini jelas menunjukkan bahawa SPR, kerajaan dan yang di-pertua Dewan Rakyat bersungguh-sungguh untuk meluluskan laporan persempadanan semula dalam apa jua keadaan sebelum pilihan raya ini. Jabatan Peguam Negara juga bersekongkol untuk menghentikan para pengundi daripada mencabar status persempadanan semula dalam perlembagaan di mahkamah.

Kegagalan untuk membersihkan daftar pemilih dan mencegah pengundi hantu

SPR gagal memastikan daftar pemilih bersih dan tepat. Lebih kurang 15% pengundi (2,123,973 pengundi) dalam daftar pemilih tidak mempunyai alamat yang lengkap atau tiada alamat. Kebanyakan pengundi telah dipindahkan sesuka hati ke kawasan marginal untuk mengubah keputusan, menyebabkan jumlah pengundi yang tinggi didaftarkan menggunakan alamat yang sama atau tidak wujud (anggaran lebih 500,000 pengundi).

READ MORE:  Former Labour leader Jeremy Corbyn's speech as he is re-elected as Islington North MP

Penyelewengan ini berlaku secara berterusan walaupun jawatankuasa pilihan khas Parlimen berkenaan reformasi pilihan raya telah mengesahkan masalah tersebut dan mencadangkan SPR agar membersihkan daftar pemilih.

Sejak tiga minggu lalu, ramai pengundi telah mendapati masalah berkenaan pendaftaran mereka dalam daftar pemilih setelah membuat semakan. Pengundi mendapati nama mereka dikeluarkan atau hilang daripada daftar pemilih, dipindahkan ke kawasan lain tanpa pengetahuan, didaftarkan tanpa kehendak, dan nama mereka yang telah meninggal dunia masih terdapat dalam daftar pemilih.

Masalah dalam daftar pemilih membuka peluang kepada pihak yang tidak bertanggungjawab untuk menghantar pengundi hantu untuk mengundi secara haram semasa hari pengundian. Aduan telah difailkan dan dihantar kepada SPR, tetapi tiada sebarang tindakan untuk menyelesaikan situasi tersebut. SPR dan Pejabat Peguam Negara terus menerus menggunakan seksyen 9A Akta Pilihan Raya 1958 untuk menafikan hak pengundi untuk mempertikaikan ketelusan daftar pemilih di mahkamah.

Pendaftaran pengundi

SPR gagal dalam tugasnya untuk mendaftarkan pengundi yang layak dan menyebabkan penyingkiran pengundi. 3.8 juta rakyat Malaysia dianggarkan (20% daripadanya pengundi yang layak) kekal tidak didaftarkan dan tidak boleh mengundi dalam pilihan raya umum kali ini. SPR merumitkan pengundi untuk mendaftar sejak 2013 dengan tidak membenarkan pegawai pembantu pendaftar daripada parti politik. Namun, SPR menerima pegawai daripada BN dan organisasi mesra kerajaan.

SPR tidak mengambil tindakan untuk menghentikan penyalahgunaan proses bantahan pendaftaran di bawah peraturan 15 (Pendaftaran pemilih) Peraturan Pilihan Raya 2002. Dari satu sudut, bantahan secara rawak dan tanpa sebab yang munasabah oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dibenarkan. Sementara itu, bantahan yang sebenar terhadap pengundi hantu yang dipindahkan secara haram pula tidak dibenarkan.

Menetapkan hari pengundian pada hari Rabu

SPR cuba mengurangkan peratusan turun mengundi dengan menetapkan hari pengundian pada hari Rabu, tanpa menyediakan sebarang penerangan yang bernas terhadap keputusan tersebut dan mengapa tarikh yang memudahkan pengundi tidak dipertimbangkan. Analisis pilihan raya yang lepas telah menunjukkan bahawa peratusan turun mengundi akan rendah sekiranya dijalankan pada hari minggu.

Keputusan yang tidak munasabah dan tidak dijelaskan ini mengakibatkan kesukaran kepada jutaan pengundi yang terpaksa pulang ke kawasan masing-masing untuk mengundi, terutamanya yang bekerja di luar kawasan mahupun luar negara.

Menetapkan tempoh berkempen yang minimum

SPR telah sewenangnya menetapkan hanya 11 hari tempoh berkempen, di mana tempoh paling minimum yang dikendaki dalam perlembagaan. Sekali lagi, tiada penjelasan diberikan.

READ MORE:  UK general election: Labour wins massive majority on low vote share, Gaza costs Starmer

Kami percaya tindakan ini dilakukan untuk mengurangkan kadar ketersampaian kempen kepada pengundi, terutamanya parti politik pembangkang yang mempunyai akses terhad terhadap media arus perdana. Kesannya, pengundi tidak mempunyai masa yang cukup untuk membuat penilaian dan keputusan yang sebaiknya.

Menolak kelayakan calon sewenangnya semasa penamaan calon

SPR telah menafikan hak warganegara untuk dinamakan sebagai calon pilihan raya, dan juga hak pengundi untuk memilih calon yang mereka kehendaki, seperti mana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Pada 28 April 2018, dua individu telah ditolak daripada penamaan calon. Dalam kes Tian Chua, SPR telah bertindak melalui tindakan mahkamah bahawa Tian Chua tidak layak menjadi Ahli Parlimen dan tidak layak bertanding dalam pilihan raya. Dalam kes Streram Sinnasamy, pihak polis dan pegawai pilihan raya telah menghalang beliau secara fizikal daripada memasuki pusat penamaan calon disebabkan isu teknikal yang remeh dan tidak berasaskan undang-undang.

Kegagalan untuk mengambil tindakan terhadap kesalahan pilihan raya

Lebih 400 kesalahan pilihan raya yang melibatkan rasuah dan pembelian undi dan pemberian telah direkodkan sebelum dan semasa tempoh pilihan raya. SPR telah gagal untuk mencegah, menghentikan atau mengambil tindakan terhadap kesalahan pilihan raya seluruh negara. Oleh itu, SPR telah membentuk dan membenarkan budaya pilihan raya yang korup, di mana wang dan pemberian digunakan sebagai sebahagian daripada aktiviti berkempen untuk memenangi undi.

SPR juga telah gagal menetapkan garis panduan yang betul bagi kerajaan sementara walaupun telah didesak beberapa kali oleh masyarakat sivil. Ini menyebabkan kerajaan pusat, kerajan negeri, menteri sementara dan exco sementara untuk menggunakan secara terbuka aset dan jentera kerajaan, kuasa dan sumber kerajaan bagi tujuan kempen mereka.

Menetapkan sewenangnya peraturan pilihan raya yang tidak munasabah

Dalam keadaan perlu memfokuskan kesalahan yang serius, SPR memilih untuk merangka peraturan pilihan raya yang tidak munasabah pada saat akhir tanpa sebarang konsultasi dengan pihak-pihak yang berkaitan.

Lebih lanjut, SPR telah mengekang kebebasan berekspresi parti politik dan calon-calon dengan menetapkan peraturan terhadap bahan kempen yang hanya boleh memaparkan gambar calon, presiden dan timbalan presiden parti sahaja. Peraturan tersebut adalah jelas satu percubaan untuk menghalang pembangkang daripada memperkenalkan calon perdana menteri mereka.

SPR tiada hak untuk mengawal bahan dan aktiviti kempen melainkan mereka hanya menunjukkan niat yang tidak baik. Sepatutnya, tindakan tersebut perlu bersebab dan digunakan ke atas semua calon dan parti politik.

READ MORE:  UK general election: Did Keir Starmer really win?

Penyelewengan dalam undi awal dan undi pos

SPR tidak menghiraukan seruan untuk memansuhkan sistem undi pos dan reformasi sistem undi awal. Ini menyebabkan penyelewengan yang melibatkan kebimbanagn atas ketelusan dan integriti undi awal dan undi pos.

SPR telah membenarkan pendaftaran lebih 3,500 pengundi hantu dalam tiga kem tentera yang perlu diselesaikan. Sejak tiga minggu lalu, ejen pengundian telah mendapati beberapa kes di mana penggandaan kertas undi dikeluarkan untuk pengundi pos yang sama. SPR tidak mengumumkan bilangan pengundi pos dalam negara untuk setiap kawasan walaupun telah diminta beberapa kali untuk berbuat demikian.

Sementara itu, kebanyakan pengundi luar negara mengadu lambat menerima kertas undi menyebabkan mereka tidak sempat menghantar undi mereka tepat pada masanya.

Kegagalan untuk membenarkan pemerhatian pilihan raya

Walaupun SPR mengumumkan 14 negara dan 14 organisasi tempatan sebagai pemerhati, SPR gagal memberi maklumat berkaitan pemerhatian tersebut. Tiada maklumat berkenaan proses dan skop kerja berkaitan pemerhati pilihan raya tersebut.

Sebaliknya, Majlis Belia Malaysia (MBM), salah satu daripada organisasi tempatan yang dilantik sebagai pemerhati, didapati mempromosikan majlis calon BN.

SPR juga telah menolak Suhakam sebagai pemerhati pilihan raya walaupun Suhakam merupakan sebuah badan tempatan yang berpengalaman.

Kesimpulan

Setelah mengambil kira kesemua kegagalan dalam proses dan sistem pilihan raya, Bersih 2.0 terpaksa menyimpulkan bahawa pilihan raya umum kali ini sudah tidak bersih, bebas dan adil.

Bersih 2.0 menuntut agar SPR bertanggungjawab terhadap 10 penyelewengan yang telah dinyatakan kerana mereka merupakan badan yang bertanggungjawab untuk mengurus dan melaksanakan pilihan raya di Malaysia. Bersih 2.0 terpaksa mengetengahkan masalah-masalah yang semakin teruk sekitar pilihan raya umum kali ini.

Oleh itu, Bersih 2.0 menyeru seluruh pengundi di Malaysia:

SPR telah menggagalkan kita dan tidak berpegang kepada integriti dalam pilihan raya. Walaupun pilihan raya umum kali ini tidak akan bersih, bebas atau adil, Bersih 2.0 percaya bahawa anda memainkan peranan penting dalam pilihan raya ini.

Sekarang, terpulang kepada anda. Penipuan dan manipulasi pilihan raya hanya akan dapat dikalahkan jika anda dan seluruh rakyat Malaysia turun mengundi seperti mana yang kita sudah lakukan pada tahun 2008 dan 2013.

Bersih 2.0 dengan ini menyeru semua pengundi untuk mengundi seterusnya mengatasi penipuan dan manipulasi pada 9 Mei 2018.

Jawatankuasa pemandu Bersih 2.0

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support our work by making a donation. Tap to download the QR code below and scan this QR code from Gallery by using TnG e-wallet or most banking apps:
Subscribe
Notify of
guest
2 Comments
Newest
Oldest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments
Taring Tebrau
9 May 2018 12.47pm

Please VOTE WISELY ! REJECT SAMSENG, CORRUPTION, RACIAL, RELIGIOUS POLITICS !!! Let US Rebuild MALAYSIA DARUL HARAPAN !

Arul Selvan Jeyaraj
9 May 2018 12.38pm

Out with #BN
Out with #Najib…!!!

2
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x