Home Coalitions Clean and Fair Elections Adakah demokrasi berparlimen penyebab peningkatan wabak Covid?

Adakah demokrasi berparlimen penyebab peningkatan wabak Covid?

Berkemungkinan alasan sebenar untuk pengisytiharan darurat ini adalah bagi menangguhkan demokrasi berparlimen dan menafikan pemantauan Parlimen terhadap kerajaan

Follow us on our Malay and English WhatsApp, Telegram, Instagram, Tiktok and Youtube channels.

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0), Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Pertubuhan Ikram Malaysia, Dewan Perhimpunan China Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) dan Gabungan Bertindak Malaysia (GBM) terkejut dengan pengumuman oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin [kelmarin] bahawa beliau telah menasihati Yang di-Pertuan Agong  untuk mengisytiharkan darurat bagi seluruh negara bagi membendung lonjakan kes Covid-19 di negara ini.

Kami sangat bimbang kesan perisytiharan darurat ini terhadap usaha memulihkan situasi ekonomi kita yang semakin parah.

Muhyiddin menyatakan bahawa ianya bukanlah satu bentuk rampasan kuasa tentera dan perintah berkurung tidak akan dilaksanakan di mana aktiviti ekonomi akan beroperasi seperti biasa.

Prosedur operasi standard dan sekatan di bawah perintah kawalan pergerakan seperti yang diumumkan [dua hari lalu] masih terpakai. Beliau juga menyatakan bahawa tujuan utama darurat adalah untuk membendung wabak Covid yang telah mengalami peningkatan kes secara mendadak selama beberapa bulan yang lalu.

Namun kesan utama darurat ini adalah tergantungnya sidang Parlimen dan dewan undangan negeri serta semua bentuk pilihan raya sehingga keadaan Covid terkawal atau pulih.

Sebuah jawatankuasa khas bebas akan ditubuhkan untuk memberi nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong mengenai penamatan atau penerusan darurat. Meskipun telah dinyatakan bahawa tempoh darurat adalah sehingga 1 Ogos 2021 namun tempoh darurat boleh ditamatkan lebih awal jika keadaan semakin baik atau dapat dilanjutkan jika perlu.

Kami mempersoalkan keperluan penggantungan Parlimen dan pilihan raya apabila semua aktiviti yang lain berfungsi seperti biasa di bawah syarat darurat ini. Kami berpandangan bahawa pilihan raya yang wajib seperti pilihan raya umum, pilihan raya negeri yang dijadualkan setelah penggal penuh atau pilihan raya kecil bagi mengisi kekosongan perlu dijalankan.

Pilihan raya ini boleh dan perlu diadakan dengan prosedur operasi standard yang ketat serta pelaksanaan penggunaan kaedah pengundian jarak jauh ataupun secara digital untuk mengurangkan risiko jangkitan.

Walau bagaimanapun, seruan pelaksanaan pilihan raya tidak wajib atau pilihan raya separuh penggal harus dielakkan memandangkan wabak ini masih melanda.

Kehilangan majoriti kerajaan tidak bermaksud secara automatik akan mencetuskan pilihan raya kerana perkara tersebut merupakan budi bicara Yang di-Pertuan Agong atau yang di-pertua negeri sama ada perlu mengadakan pilihan raya atau membenarkan wakil rakyat yang lain untuk membentuk kerajaan.

Kebijaksanaan seperti itu harus dilaksanakan oleh Yang di-Pertuan Agong dan tidak ada ahli politik yang boleh merampas budi bicara ini dari Seri Paduka Baginda.

Selain itu, pilihan raya wajib dapat dijalankan dengan selamat seperti yang telah ditunjukkan oleh banyak, negara dan Agong mempunyai budi bicara untuk tidak membubarkan Parlimen pada separuh penggal.

Hal ini menjadikan penangguhan pilihan raya dengan perisytiharkan darurat adalah tidak wajar sama sekali. Sekiranya ini benar-benar untuk mengelakkan pilihan raya, maka kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk menolak permintaan pembubaran daripada perdana menteri telah tergugur.

Tambahan pula, undang-undang tidak menetapkan kerajaan minoriti tidak boleh terus berfungsi. Kerajaan sentiasa boleh memeterai perjanjian keyakinan dan pembekalan dengan pembangkang agar dapat meneruskan pentadbiran sehingga pilihan raya umum akan datang.

Penyusunan multi-partisan seperti itu akan menjadi teladan baik bagi politik di negara ini selain daripada keputusan belanjawan, parlimen dan reformasi politik lain boleh dipersetujui.

Justeru, berkemungkinan alasan sebenar untuk pengisytiharan darurat ini adalah bagi menangguhkan demokrasi berparlimen dan menafikan pemantauan Parlimen terhadap kerajaan, ataupun merupakan usaha untuk mengelakkan kejatuhan pemerintahan Muhyiddin disebabkan oleh perpecahan yang sedang berlaku di dalam Perikatan Nasional apabila Umno sedang mengugut untuk menarik diri dari gabungan tersebut.

Sekiranya ini adalah alasannya, perisytiharan darurat bukan sahaja berlebihan tetapi merupakan penyalahgunaan kuasa eksekutif yang meletakkan negara ini dalam kancah bahaya di tengah-tengah krisis kesihatan dan ekonomi terburuk yang pernah dihadapi negara ini.

Kami juga ingin mempersoalkan kemampuan pentadbiran Muhyiddin dalam menangani pandemik dan krisis ekonomi ketika keabsahan mereka sebagai kerajaan pemerintah sedang dicabar hampir setiap hari, tidak hanya dari pihak pembangkang malah dari parti komponen kerajaan itu sendiri. Setakat ini mereka telah menunjukkan ketidakmampuan untuk menguruskan keadaan Covid berbanding dengan negara-negara lain di rantau ini.

Kami menyeru semua parti politik untuk mengutamakan kepentingan nasional pada saat kritikal ini dan mengetepikan segala komplot politik untuk merampas kuasa.

Semua usaha harus dilakukan untuk memerangi Covid, memulihkan ekonomi dan melakukan reformasi politik yang utama bagi mengembalikan kestabilan yang mapan dan meratakan padang permainan kepada semua pihak.

Bersih 2.0, Abim, Ikram, KLSCAH dan GBM

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support our work by making a donation. Tap to download the QR code below and scan this QR code from Gallery by using TnG e-wallet or most banking apps:
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Newest
Oldest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x