Home Coalitions Clean and Fair Elections Bersih 2.0: Kejanggalan dalam daftar pemilih – Apa kesudahan RCI Sabah?

Bersih 2.0: Kejanggalan dalam daftar pemilih – Apa kesudahan RCI Sabah?

Follow us on our Malay and English WhatsApp, Telegram, Instagram, Tiktok and Youtube channels.

Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) dengan kerjasama Malaysian Electoral Roll Analysis Project (Merap) sedang menjalankan audit daftar pemilih di beberapa lokasi strategik di seluruh negara, dan sedang memberi tumpuan khas kepada daftar pemilih di negeri Sabah.

Berdasarkan data yang kami terima, wujud beberapa kejanggalan terutamanya yang melibatkan nombor kad pengenalan pemilih serta kewujudan pemegang kad pengenalan yang meragukan sepertimana yang disahkan oleh Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai pendatang tanpa izin di Sabah (RCIIIS).

Satu contoh kejanggalan ini dapat dilihat dalam satu kes di Sandakan, di mana kami telah mendapati seorang pemilih bernama Mainah binti Takait yang didaftarkan dua kali dengan nama dan alamat yang sama dan didaftarkan pada hari yang sama oleh unit bergerak SPR, namun mempunyai angka ekor Kad Pengenalan yang berbeza (lihat gambar di atas).

Laporan RCIIIS dalam mukasurat 306 menyatakan bahawa “terdapat bukti yang mencukupi untuk menunjukkan bahawa pendatang yang bukan rakyat Malaysia telah diberikan Kad Pengenalan biru secara haram oleh sindiket dan/atau individu tertentu, dan dengan itu, telah mendaftarkan diri mereka sebagai pengundi dalam Daftar Pemilih dengan Kad Pengenalan mereka”.

Bersih 2.0 juga ingin menekankan bahawa siasatan dan tindakan berdasarkan laporan RCIIIS hendaklah dimulakan dengan segera.

Dalam prosiding RCI pada 16 Januari 2013, Ruslan Bin Alias, Penolong Ketua Unit Bahagian Kad Pengenalan Sabah/Sarawak, telah mendedahkan kewujudan sebanyak 130,549 kad pengenalan yang dikeluarkan tanpa mengikut prosedur. Justeru kebanyakan daripada kad-kad pengenalan ini adalah tidak sah.

Merap juga telah berjaya mendapati kejanggalan pada 49,159 pengundi di Sabah dalam daftar pemilih suku keempat 2012, di mana meskipun KadazanDusun merupakan etnik terbesar di Sabah, 80 peratus pengundi RCI terdiri daripada keturunan Bugis, Bajau, Melayu dan Suluk. Adakah daftar pemilih ini telah dibersihkan?

Merap turut mendapati beberapa daerah mengundi yang dibanjiri pengundi warga asing yang diragui kewarganegaraannya contohnya di Sepanggar dan Putatan. Kawasan-kawasan tersebut didapati mempunyai populasi pengundi berbangsa Indonesia, Filipina, Pakistan dan Suluk yang luarbiasa.

Malah, pengundi-pengundi ini juga didapati tidak mempunyai alamat lengkap di dalam daftar pemilih.

Bersih 2.0 mempersoalkan apakah kesudahan jawatankuasa yang khabarnya dibentuk pasca pelancaran Laporan RCIIIS hujung tahun lalu bagi mengambil tindakan berdasarkan penemuan laporan tersebut.

Bersih 2.0 turut mengambil maklum keterujaan Dr Jeffrey Kitingan yang ketika mengulas tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat Sijil Anak Negeri palsu di Sabah, telah menggesa supaya siasatan turut dibuat ke atas kad pengenalan palsu yang katanya masih tiada tindakan walaupun banyak aduan telah dibuat.

Bersih 2.0 melahirkan rasa bimbang terhadap integriti Jabatan Pendaftaran Negara sebagai badan utama yang menyelenggarakan pengeluaran kad pengenalan, serta perkaitannya dengan ‘Projek IC’ seperti yang terdapat dalam laporan RCIIIS.

Oleh yang demikian, kami membuat gesaan tegas supaya laporan RCIIIS tidak sia-sia dan tindakan selanjutnya mesti diambil sebelum lebih banyak kejanggalan dalam daftar pemilih didedahkan hasil kecuaian atau niat jahat pihak-pihak tertentu yang mungkin mempunyai kaitan dengan kedua-dua pihak SPR dan juga JPN.

Kami juga akan menjalankan audit lapangan di kawasan-kawasan strategik dengan melawat pengundi-pengundi yang didaftarkan dengan alamat-alamat ganjil serta pengundi-pengundi yang telah dipindahkan tanpa sebab munasabah.

Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0,

yang terdiri daripada:

Pengerusi: Maria Chin Abdullah; Timbalan Pengerusi: Sarajun Hoda Abdul Hassan; Bendahari: Masjaliza Hamzah; wakil kebangsaan: Prof Madya Dr Abdul Halim bin Yusof, Farhana binti Abdul Halim, Fadiah Nadwa Fikri dan New Sin Yew; naib pengerusi: Jannie Lasimbang (Sabah), Ahmad b. Awang Ali (Sarawak), Abd Halim b. Wan Ismail (Semenanjung Timur), Thomas Fann (Semenanjung Selatan), Simon Lee Ying Wai (Semenanjung Tengah) dan Dato’ Dr Toh Kin Woon (Semenanjung Utara).

1 Julai 2015

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support our work by making a donation. Tap to download the QR code below and scan this QR code from Gallery by using TnG e-wallet or most banking apps:
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Newest
Oldest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x