Home Coalitions Clean and Fair Elections Bersih 4 undi tidak percaya rakyat terhadap Najib, sistem politik Malaysia

Bersih 4 undi tidak percaya rakyat terhadap Najib, sistem politik Malaysia

Follow us on our Malay and English WhatsApp, Telegram, Instagram, Tiktok and Youtube channels.

Pada 29-30 Ogos, rakyat Malaysia akan berkumpul dan menyuarakan aspirasi kita untuk kemerdekaan yang benar, ujar Maria Chin Abdullah.

Bersih! Bersih! Bersih!

Saudara-saudari sekalian, kita berada di sini dengan hati yang berat kerana negara sudah telahpun sampai ke saat genting.

Sudahpun rakyat sudah menderita kerana GST, kini nilai ringgit turut jatuh sehingga mencecah tahap 4 Ringgit untuk 1 dolar Amerika Syarikat.

Pada masa yang sama, kita lihat pegawai-pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Pejabat Peguam Negara dan Bank Negara disiasat polis. Seorang demi seorang pegawai tinggi menyatakan ketakutan mereka ditangkap polis.

Rasuah jadi dermaan. Pejuang demokrasi dituduh “menjejaskan demokrasi berparlimen”.

Penyiasat jenayah disiasat. Pelapor jenayah disiasat. Suspek jenayah arahkan siasatan.

Saudara-saudari sekalian, rasuah sedang membinasa ekonomi dan negara.

Rakyat mesti bangkit. Bangkit bukan untuk menggulingkan kerajaan dengan kekerasan atau paksaan. Bangkit untuk menolak pemimpin yang rasuah, dan sistem politik yang menghasilkan pemimpin yang rasuah – semakin kuat makan rasuah, maka semakin besarlah kuasanya.

Ini adalah sebabnya kita berada di sini malam ini dan akan berada di jalan raya Kuala Lumpur, Kuching dan Kota Kinabalu dalam masa 15 hari lagi.

Bersih 4 – perhimpunan aman selama 34 jam, pertama sekali dalam sejarah Malaysia – akan menjadi “undi tidak percaya” kepada Perdana Menteri Najib Razak dan juga sistem politik kita.

Bersih 4 tuntut bukan saja Perdana Menteri dan kerajaan yang bersih, tetapi lebih penting lagi, sistem politik yang memaksa perdana menteri dan kerajaan bersih.

Undi tidak percaya terhadap Najib

Ada yang menuduh Bersih sebagai “tidak berkecuali” atau “partisan” kerana menuntut Najib undur. Ada yang mendakwa tuntutan Bersih itu “menjejaskan demokrasi berparlimen” untuk menakutkan orang ramai dengan Seksyen 124B Kanun Keseksaan.

Izinkan saya menjelaskan kedua-dua tuduhan dan dakwaan ini.

Pada 20 Jun, Bersih 2.0 menuntut PM Najib Razak menafikan laporan Wall Street Journal bahawa wang 1MDB telah digunakan oleh Najib untuk memenangi PRU ke-13. Ini adalah tuduhan yang cukup serious dan cukup menghancurkan keabsahan atau legitimacy Najib untuk terus memegang jawatan PM. Bersih menuntut PM menafikan laporan itu atau meletak jawatan.

Saudara-saudari sekalian, munasabahkah tuntutan Bersih?

Pada 6 Julai, selepas pendedahan lanjutan bahawa dana sebanyak RM2.6bn dimasukkan ke dalam akaun peribadi Najib, Bersih menuntut Najib supaya mengambil cuti dan tiga langkah lain untuk memastikan penyiasatan yang bebas dan boleh dipercayai dapat dilakukan. Kami juga mengemukakan tuntutan untuk 10 penambahbaikan institusi untuk menghapuskan rasuah bertaraf perdana menteri. Najib diberi masa sebulan sehingga 5 Ogos untuk menjawab.

READ MORE:  Tahanan rumah untuk kleptokrat? Garisan merah yang tidak boleh dilanggar

Saudara-saudari sekalian, munasabahkah tuntutan Bersih?

Pada 27 dan 28 Julai, Najib menjawab Bersih dengan tiga tindakan:

  1. melumpuhkan pasukan petugas khas 1MDB dengan memecat peguam Negara,
  2. melumpuhkan jawatankuasa kira-kira negara parlimen (PAC) dengan melantik pengerusinya dan tiga orang lagi ahli sebagai Menteri dan timbalan menteri; dan
  3. melantik pengarah baru untuk Cawangan Khas Polis.

Ini bermakna Najib bukan saja tidak akan mengambil cuti, malah akan menghalang penyiasatan 1MDB dengan sedaya upaya.

Pada 29 Julai, Bersih mengumumkan rancangan adakan Bersih 4 untuk menuntut pengunduran Najib dan juga penambahbaikan institusi.

Saudara-saudari sekalian, munasabahkah tuntutan Bersih untuk Najib undur?

Undur! Undur! Undur Najib!

Bersih tidak hilang kekecualiannya kerana menuntut Najib undur. Sebaliknya mana-mana pihak tidak boleh mendakwa diri mereka berkekecuali jika mereka menyokong Najib untuk turut berkuasa dengan skandal yang begitu serious itu.

Bersih juga tidak menjejaskan demokrasi berparlimen dengan tuntutan “undur Najib”. Demokrasi berparlimen berdasarkan “kepercayaan”.

Perdana Menteri berkuasa dengan mengekalkan “kepercayaan” kebanyakan ahli-ahli parlimen. Ahli-ahli parlimen pula harus menjaga “kepercayaan” rakyat.

Hari ini, rakyat sudah hilang “keyakinan” kepada Najib tetapi Parlimen masih belum mengadakan mesyuarat tergempa untuk menentukan sama ada Najib masih menerima “kepercayaan” kebanyakan ahli parlimen.

Parlimen kita sudah gagal, di bawah seorang speaker yang tidak dipilih rakyat.

Bersih 4 akan menjadi manifestasi “undi tidak percaya” ke atas Najib.

Kita harap Najib ada rasa segan silu untuk meletak jawatan selepas mendengar suara rakyat. Jika tidak, maka Parlimen harus meluluskan usul tidak percaya ke atas Najib.

Maka, suara rakyat menuntut Najib undur adalah absah sekali. Suara keramat ini akan memperkukuhkan demokrasi berparlimen kita dan bukan menjejaskannya. Sebaliknya, sesiapa yang cuba menghalang rakyat menyatakan ketidakpercayaan mereka terhadap Najib, merekalah yang menjejaskan demokrasi parlimen dan bersalah di bawah Seksyen 124B Kanun Keseksaan.

Undi tidak percaya kepada sistem politik yang hasilkan rasuah

Bersih 4 bukanlah menolak Najib seorang saja, tetapi sebaliknya menolak sistem yang menghasilkan rasuah ala Najib dan sebelumnya rasuah ala Mahathir. Jangan kita cuma kenal skandal 1MDB bawah Najib yang bernilai RM42bn dan lupakan skandal PKFZ (Port Klang Free Zone) bawah Mahathir yang bernilai RM12bn.

READ MORE:  House arrest for kleptocrats? A red line we must not cross

Maka, tukar perdana menteri sahaja tidak akan menyelesaikan masalah. Kalau sistem politik kita tidak ubah, maka perdana menteri baru akan mencipta skandal rasuah baru. Tak kira siapa pengganti Najib, Muhyiddin atau Zahid atau orang lain, pengganti 1MDB dan PKFZ akan muncul.

Perdana Menteri dan menteri-menteri tidak rasuah semata-mata kerana mereka tamak haloba.

Pemimpin negara rasuah kerana kesudahan pilihanraya boleh ditentukan dan mereka tidak takutkan kemarahan rakyat.

Pemimpin negara rasuah kerana mereka dapat melumpuhkan atau melemahkan fungsi parlimen, peguam negara, SPRM dan agensi lain untuk menyemak dan mengimbang (check and balance).

Pemimpin negara rasuah kerana rakyat tidak berani membantah dibelunggu oleh Seksyen 124B, Akta Hasutan, Sosma, Akta Komunikasi dan Multimedia dan sebagainya dan takut dengan keganasan polis.

Oleh itu, Bersih 4 dianjurkan dengan lima tuntutan:

  • Pilihanraya bersih
  • Kerajaan bersih
  • Hak membantah
  • Kukuhkan parlimen berdemokrasi
  • Selamatkan ekonomi kita

Kerajaan peralihan dan 10 penambahbaikan institusi

Ada yang tanya apakah berlaku selepas Bersih 4?

Dengan kehadiran raksasa, Bersih 4 akan menghantar pesanan jelas kepada semua parti yang membuat pengaturan menggantikan Najib bahawa Malaysia perlukan 10 penambahbaikan institusi yang dikemukakan oleh Bersih pada 6 Julai:

  • Penambahbaikan sistem dan proses pilihanraya
  • Penambahbaikan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR)
  • Pemisahan jawatan perdana menteri dan menteri kewangan
  • Penambahbaikan Parlimen
  • Pemisahan fungsi peguam negara dan pendakwaraya
  • Penambahbaikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)
  • Undang-undang kebebasan maklumat
  • Pengumuman aset untuk menteri dan pegawai kanan
  • Pemansuhan/pemindaan undang-undang zalim
  • Penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC)

Kita menuntut supaya sebuah kerajaan peralihan dibentuk setelah pengunduran Najib untuk membawa 10 penambahbaikan ini dalam masa 18 bulan. Hanya ini dapat menjamin PRU ke-14 akan dijalani dengan bersih, adil dan bebas dan menghasilkan kerajaan baru yang absah dan bersih.

Kejayaan Bersih yang lepas

  • Kejayaan Bersih adalah membangkitkan rakyat.
  • Bersih 1 pada 2007 telah membawa tsunami pada 2008.
  • Bersih 2 pada 2011 telah memecahkan tembok kesangsian antara rakyat pelbagai kaum, agama dan budaya apabila rakyat saling bantu-membantu menhadapi keganasan polis.
  • Bersih 3 pada 2012 memobilisasikan puluh-ribuan rakyat untuk membersihkan PRU ke-13. BN hilang majoriti dengan 47 peratus undi tetapi masih kekal berkuasa kerana persempadanan yang tidak adil. Minggu lepas, Mahkamah Rayuan baru memberikan SPR kuasa untuk menghadkan maklumat kepada orang awam dalam proses persempadanan.
READ MORE:  Najib's 1MDB apology: Should we accept or reject it?

Bersih 4 akan membawa sekali lagi suara keramat – tuntutan untuk demokrasi yang mendalam supaya rasuah dihapuskan dan ekonomi kita diselamatkan.

Dengan suara yang lantang, maka penambahbaikan institusi terpaksa berlaku. Sesiapa yang menggantikan Najib tidak dapat elakkan hakiki bahawa rakyat telah bersuara. Kalau pengganti Najib berdegil, maka kita akan adakan Bersih 5.

Pelbagai propaganda dilontarkan ke atas Bersih 4:

  • Ada yang kata ini Musim Bunga Arab
  • Ada yang kata kita tidak berani kerana cuma 34 jam
  • Ada yang kata kita tidak berkecuali kerana menuntut Najib undur
  • Ada yang kata Bersih ini disokong oleh kuasa asing

Mereka harap Bersih 4 akan gagal kerana terlalu kecil bilangan rakyat yang hadir.

Satu-satu caranya Bersih 4 akan mengatasi segala cabaran ini adalah dengan penyertaan anda, setiap orang daripada kita di sini dan rakyat Malaysia lain yang cintakan Malaysia, cintakan demokrasi dan sayangkan ringgit.

58 tahun yang lepas, Malaya melepaskan diri daripada cengkaman penjajah luaran British. 52 tahun yang lepas, Sabah dan Sarawak melepaskan diri daripada cengkaman penjajah luaran British.

Tetapi kita masih tetap hidup dijajah dari dalam. Kita masih hidup terbelunggu oleh penjajahan dalaman oleh rasuah, penyalahgunaan kuasa, pemecahan rakyat dengan isu kaum dan agama, dan pemerintahan authoritarian.

Pada 29-30 Ogos, ratus-ribuan rakyat Malaysia yang berkumpul di jalan raya Kuala Lumpur, Kuching, Kota Kinabalu serta berpuluh-puluh bandar di luar Malaysia akan menyuarakan aspirasi kita untuk kemerdekaan yang benar, daripada cengkaman luar dan dalam.

Hidup! Hidup! Hidup Bersih!

Merdeka! Merdeka! Merdeka! Merdeka! Merdeka! Merdeka! Merdeka!

Dalam masa 15 hari lagi, jumpa lagi di Dataran Merdeka Kuala Lumpur, Padang Merdeka Kuching dan Kota Kinabalu!

Maria Chin ialah pengerusi Gabungan untuk Pilihanraya Bersih dan Adil 2.0 (Bersih 2.0)

Ucapan ini dibuat pada majlis pelancaran Bersih 4, pada jam 10 malam, 14 Ogos 2015, di Auditorium Dewan Sivik MBPJ, Petaling Jaya.

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support our work by making a donation. Tap to download the QR code below and scan this QR code from Gallery by using TnG e-wallet or most banking apps:
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Newest
Oldest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x