Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) telah menilai prestasi dua tahun “kerajaan perpaduan” yang dipimpin oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Laporan bertajuk “Defisit reformasi: Laporan penilaian pertengahan penggal kerajaan perpaduan” mendokumenkan kemajuan dalam tiga bidang utama: reformasi pilihan raya, reformasi institusi dan kebebasan sivil.
Bersih juga telah membandingkan prestasi dengan perdana menteri sebelumnya.
Bersih memberikan gred D, yang bermaksud progress reformasi yang amat minimal kepada kerajaan perpaduan kerana wujudnya jurang besar antara manifesto dan pelaksanaan.
Bersih menggesa agar kerajaan perpaduan di bawah pimpinan Anwar untuk memperuntukkan sumber serta menggariskan garis masa yang jelas bagi melaksanakan reformasi-reformasi utama.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Kerajaan dan pembangkang juga perlu mengurangkan politiking sesama sendiri dan memberi tumpuan untuk menggerakkan agenda reformasi. Negara memerlukan kedua-dua entiti ini, selain daripada masyarakat sivil yang terus memberikan kritikan yang bernas dan substantif untuk memastikan negara berada di landasan yang betul bagi manfaat rakyat.
Berikut adalah secara ringkas penilaian daripada Bersih.
Reformasi pilihan raya
Tidak ada kemajuan ketara dalam isu seperti ketidakseimbangan kawasan pilihan raya (malapportionment), gerrymandering atau perluasan kategori undi awal.
Pindaan Akta Kesalahan Pilihan Raya dan Akta Pembiayaan Politik masih tertangguh, menunjukkan kurangnya komitmen untuk reformasi pilihan raya yang adil dan telus.
Reformasi institusi
Kerajaan telah meluluskan beberapa langkah seperti Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 serta memperkukuh jawatankuasa pilihan khas parlimen yang boleh dipuji.
Namun, reformasi penting seperti pemisahan kuasa peguam negara dan pendakwa raya serta pengenalan akta perkhidmatan parlimen masih dalam kajian.
Selain itu, kerajaan gagal memperuntukkan perbelanjaan kawasan secara adil kepada semua ahli parlimen, termasuk pembangkang.
Pelantikan jawatan penting seperti peguam negara dan pengerusi institusi utama seperti Suruhanjaya Pilihan Raya dan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia masih dibuat tanpa pengawasan Parlimen, menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap ketelusan kerajaan.
Kebebasan sivil
Kerajaan memulakan langkah positif dengan memansuhkan hukuman mati mandatori menerusi Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023.
Namun, undang-undang represif seperti Akta Hasutan, Akta Komunikasi dan Multimedia dan Sosma masih belum dimansuhkan.
Akta Perhimpunan Aman juga tidak dipinda untuk melindungi hak rakyat berhimpun. Malah, undang-undang ini terus digunakan untuk menyekat kebebasan rakyat, bercanggah dengan janji reformasi kerajaan.
Perbandingan prestasi perdana menteri
Buat masa ini, Anwar ketinggalan di belakang Ismail Sabri Yaakob, yang berjaya mencapai beberapa reformasi substantif dalam tempoh dua tahun, seperti pelaksanaan “Undi 18”, agihan peruntukan pembangunan kawasan kepada pembangkang, dan pindaan undang-undang anti-lompat parti. Tanpa menafikan, ia didorong kekuatan dan kualiti pasukan pembangkang waktu itu.
Anwar juga berada di belakang Dr Mahathir Mohamad semasa Pakatan Harapan 1.0, yang mempunyai kerangka reformasi lebih jelas melalui jawatankuasa reformasi institusi dan jawatankuasa penambahbaikan sistem pilihan raya. Kerajaan perpaduan belum mempunyai kerangka yang menyeluruh dan garis masa yang jelas.
Peranan dan prestasi pembangkang
Bersih menilai pembangkang melalui empat indikator:
- Polisi alternatif dan kabinet bayangan
- Keberkesanan dan penglibatan di Parlimen
- Akauntabiliti dan pengawasan
- Pendekatan terhadap isu sensitif
Prestasi pembangkang secara keseluruhan berada di bawah jangkaan. Mereka masih gagal memberikan dasar alternatif yang berkesan dan sering menggunakan isu polarisasi masyarakat.
Walaupun terdapat ahli parlimen pembangkang yang aktif, ketiadaan agenda bersepadu, belanjawan alternatif dan kabinet bayangan yang berfungsi adalah kelemahan utama di pihak pembangkang.
Kesimpulan
Walaupun pelaksanaan reformasi adalah rumit, kemajuan bermakna dalam tempoh dua tahun mendatang boleh dicapai oleh kerajaan perpaduan.
Laporan ini menjadi peringatan tentang pentingnya peralihan demokrasi dan keperluan semua pihak, termasuk pembangkang, untuk memenuhi peranan masing-masing demi kepercayaan rakyat dan janji kepada negara. – Bersih
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme