Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) telah melancarkan sebuah kajian komprehensif reformasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam acara bersama Rasuah Busters di Karangkraf, Shah Alam pada 18 Julai.
Bersih berpandangan struktur SPRM yang sedia ada mempunyai banyak kelemahan dan kelompangan, terutama apabila institusi ini diuji sewaktu negara dilanda skandal rasuah terbesar 1MDB, prosedur siasatan yang membawa kepada kematian Teoh Beng Hock pada tahun 2009, dan laporan Lalitha Kunaratnam yang mendedahkan pertalian perniagaan dalam kepimpinan SPRM.
Justeru, 15 tahun selepas kematian mendiang Beng Hock dan rentetan hutang 1MDB yang masih dibayar oleh kerajaan dan rakyat Malaysia, Bersih menegaskan sudah tiba masanya untuk ada inisiatif agenda reformasi SPRM bagi memastikan kelompangan-kelompangan yang terzahir dapat ditangani.
Rentetan itu, Bersih telah menggagaskan satu kajian komprehensif reformasi SPRM yang telah disediakan oleh Andrew Yong bagi pihak Bersih, yang melihat SPRM secara meluas dari aspek sejarah badan pencegahan rasuah di Malaysia, kekangan-kekangan yang dihadapi serta cadangan-cadangan reformasi yang diperlukan.
Dalam dokumen tersebut, perkara pokok yang disarankan adalah dengan menubuhkan satu suruhanjaya perkhidmatan pencegahan rasuah/anti-corruption service commission yang bertanggungjawab dalam melantik ketua pesuruhjaya dan pegawai SPRM. Berkaitan perkara ini, suruhanjaya perkhidmatan tersebut bertanggungjawab untuk memberikan nama cadangan kepada Agong.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Dalam masa sama, prosedur melucutkan ketua pesuruhjaya SPRM turut diletakkan di tangan suruhanjaya perkhidmatan ini sekiranya ia terlibat dalam kes salah laku atau hilang upaya dalam menjalankan tugas. Tempoh ketua pesuruhjaya perlu ditetapkan hanya untuk lima tahun.
Bagi mengelakkan kekeliruan antara suruhanjaya perkhidmatan pencegah rasuah dan SPRM, badan pencegahan rasuah SPRM dicadangkan untuk ditukar semula kepada nama asal seperti Badan Pencegah Rasuah.
Suruhanjaya perkhidmatan pencegah rasuah yang dibentuk perlu mempunyai pengerusi, yang dilantik daripada bekas hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Tinggi, dan empat hingga 10 ahli yang lainnya yang dilantik oleh Agong, berdasarkan budi bicara baginda tetapi selepas mempertimbangkannya atas nasihat perdana menteri, bersama ketua pengarah BPR sebagai ahli ex-officio.
Dalam masa sama, suruhanjaya perkhidmatan ini dan badan pencegah rasuah perlu dipantau oleh satu jawatankuasa parlimen dengan lebih berkesan. Bagi tujuan ini, Bersih mencadangkan untuk diwujudkan jawatankuasa bersama parlimen berkenaan hal ehwal rasuah, bagi menggantikan Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah yang bertanggungjawab menyemak laporan dari suruhanjaya perkhidmatan dan badan pencegah rasiah.
Lebih utama, jawatankuasa bersama parlimen ini juga bertanggungjawab untuk menyemak dan mengesahkan cadangan lantikan jawatan kanan badan pencegahan rasuah yang dicadangkan oleh suruhanjaya perkhidmatan kepada Agong, bersama perbincangan dengan perdana menteri. Jawatankuasa ini juga perlu meneliti dan mengesahkan nasihat PM berkenaan lantikan pengerusi dan ahli-ahli suruhanjaya perkhidmatan ini.
Jawatankuasa bersama parlimen berkenaan hal ehwal rasuah yang ditubuhkan perlu terdiri dari keanggotaan yang mencerminkan komposisi kedua-dua Dewan Rakyat dan Dewan Negara dan dipengerusikan oleh ahli parlimen pembangkang.
Keanggotaan jawatankuasa bersama parlimen ini juga terdiri dari antara lapan hingga 12 anggota yang dilantik oleh Agong dengan nasihat bersama presiden Dewan Negara dan yang di-pertua Dewan Rakyat.
Bersih menegaskan, menerusi tiga badan penting yang saling memantau antara satu sama lain – suruhanjaya perkhidmatan pencegah rasuah, jawatankuasa bersama parlimen berkenaan hal ehwal rasuah serta badan pencegah rasuah sendiri – ia akan melindungi kebebasan BPR dalam menjalankan operasi pencegahan rasuah. Ia juga akan menjamin akauntabiliti badan pencegah rasuah sendiri menerusi tindakan pemantauan yang lebih ketat.
Melihat ke hadapan, Bersih akan meluaskan libat urus dengan pelbagai pihak khususnya pihak kerajaan bagi menggerakkan pelaksanaan agenda reformasi SPRM ini sebagai salah satu langkah menambahbaik sistem tatakelola negara serta mengembalikan kepercayaan rakyat kepada usaha kerajaan memerangi rasuah. – Bersih
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme