Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) telah berjumpa Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada tengah hari 28 Februari di pejabat perdana menteri di Putrajaya.
Anwar adalah Perdana Menteri pertama yang berjumpa dengan pimpinan Bersih untuk membolehkan perbincangan dibuat bersama mengenai usaha melunaskan agenda reformasi.
Di dalam pertemuan ini, Bersih berjaya menyerahkan memorandum setebal hampir 30 muka surat dan 10 lampiran kertas-kertas kajian terperinci berkenaan cadangan-cadangan hasil libat urus dan kajian Bersih daripada 2018 untuk memperkukuh transisi demokrasi di Malaysia.
Perbincangan tentang isi kandungan memorandum tersebut telah berjalan selama lebih satu jam.
Memorandum tersebut merujuk kepada perkembangan mutakhir khususnya melibatkan penambahbaikan sistem tadbir urus negara yang masih perlahan.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Antara latar isu yang berlegar yang membawa kepada rasa resah dan curiga rakyat termasuk pemberian DNAA (melepaskan tanpa membebaskan) oleh peguam negara kepada pemimpin politik secara berleluasa merentas parti politik.
Lebih utama, kekhuatiran besar Bersih adalah sekiranya mandat rakyat yang berbaki empat tahun untuk kerajaan sedia ada akan berlalu tanpa sebarang pelaksanaan perubahan struktural yang positif membabitkan aspek pilihan raya, agenda melawan rasuah, serta agenda reformasi institusi yang lain.
Bersih menegaskan kepada perdana menteri, sekiranya rakyat semakin tidak percaya kepada kuasa undi yang dilaungkan sebagai kuasa membuat perubahan, hal ini akan menatijahkan kekecewaan di pihak rakyat yang mengharapkan sesuatu yang segar daripada kerajaan dan perubahan demokrasi, malah kemungkinan sebahagian pengundi akan menjadi sinis yang berpotensi menyebabkan peratusan keluar mengundi menurun pada pilihan raya akan datang.
Atas sebab inilah, Bersih sebagai entiti non-partisan menggerakkan kempen #Reformasi100Peratus untuk mendesak tuntutan agenda reformasi yang diperjuangkan sekian lama.
Demi mengembalikan keyakinan rakyat tentang iltizam politik melaksanakan reformasi, Bersih menegaskan bahawa Malaysia kini sedang meniti tempoh genting proses transisi pendemokrasian yang mewajibkan semua pihak untuk senada merealisasikan agenda #Reformasi100Peratus ini.
Setelah 26 tahun perjuangan reformasi, pentadbiran Anwar ini mempunyai peluang keemasan untuk melaksanakan reformasi institusi yang mampu meninggalkan legasi reformasi yang melangkaui zaman ini.
Berikut adalah 10 reformasi pilihan raya dan reformasi institusi yang dikemukakan oleh Bersih kepada perhatian Anwar:
- Reformasi lantikan ahli-ahli dan pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya
- Menyahklasifikasi laporan pembaikan sistem dan undang-undang pilihan raya
- Reformasi Akta Kesalahan Pilihan Raya
- Reformasi pendanaan politik
- Reformasi persempadanan semula kawasan pilihan raya
- Pemisahan bidang kuasa peguam negara dan pendakwa raya
- Moratorium kepada pemberian DNAA oleh peguam negara dalam kes rasuah
- Memperkasa institusi Parlimen melalui rang undang-undang perkhidmatan parlimen dan meminda peraturan mesyuarat Dewan Rakyat
- Menggubal akta penggal tetap parlimen demi kelangsungan kestabilan politik
- Penggubalan akta peruntukan kawasan
Perdana menteri menyatakan bahawa beliau secara prinsip bersetuju dengan beberapa perkara, namun ada beberapa reformasi yang beliau rasakan perlu ada perbincangan lanjut.
Dalam masa yang sama, demi untuk menjayakan serta mengukuhkan amanah melaksanakan agenda reformasi ini, Bersih akan sentiasa memainkan peranan sebagai agen pendesak mewakili suara rakyat serta rakan dalam pembangunan negara agar matlamat Reformasi 100% ini dapat dilunaskan.
Bersih menegaskan sudah tiba masanya kerajaan Malaysia di bawah kepimpinan Perdana Menteri Anwar bersama dukungan anggota kabinet dan ahli parlimen untuk merintis sebuah legasi besar dengan melunaskan agenda reformasi struktural melibatkan reformasi pilihan raya, reformasi institusi serta menutup ruang rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang akan terus malar segar sebagai pasak baharu negara. – Bersih
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme