Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) mengecam proses undi awal dan undi pos yang tidak telus dan kegagalan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) untuk memberikan maklumat-maklumat yang jelas bagi meyakinkan orang ramai bahawa ia tidak akan dimanipulasikan.
Bersih 2.0 dengan ini menyeru kepada semua calon dalam pilihan raya umum 2018 untuk memastikan pemantauan ketat terhadap proses undi awal dan undi pos.
Untuk rekod, Bersih 2.0 telah menuntut pemansuhan undi pos sejak tahun 2007 lagi.
Untuk proses undi awal, Bersih 2.0 telah menuntut pembaharuan dari segi pengiraan pada hari yang sama.
Ini adalah kerana terdapat banyak keraguan terhadap ketelusan dan proses undi awal dan undi pos, khasnya mengenai keselamatan peti undi, kerahsiaan, dan manipulasi kertas undi.
Walaubagaimanapun, SPR akan meneruskan sistem undi awal dan undi oos dalam pilihan raya umum kali ini. SPR telah mengumumkan bahawa terdapat 300,255 pengundi yang akan mengundi melalui undi awal, manakala jumlah pengundi undi pos masih belum dimuktamadkan (dianggarkan melebihi 250,000 pengundi). (Lampiran di bawah menunjukkan 20 kerusi Parlimen yang mempunyai paling banyak pengundi awal.)
Semua calon yang akan bertanding dalam pilihan raya umum ini perlu memastikan pemantauan ketat dijalankan terhadap proses undi awal dan undi pos. Ini adalah penting kerana manipulasi dan penipuan melalui undi awal dan undi pos akan menentukan keputusan pilihan raya, terutamanya di kerusi-kerusi marginal.
Pada pilihan raya umum yang lepas, terdapat ramai calon yang keliru dan tidak menghantar Paca untuk memerhatikan proses undi awal dan undi pos. Untuk mengatasi masalah ini, Bersih 2.0 telah menerbitkan “Panduan Pemantauan Undi Awal dan Undi Pos” untuk membantu calon-calon memahami proses pemantauan undi awal dan undi pos.
Selain itu, Bersih 2.0 juga menuntut SPR untuk meningkatkan ketelusan proses undi awal dan undi pos. Bersih 2.0 menuntut SPR:
- memberikan senarai pengundi pos kepada setiap calon sebelum hari pengeluaran undi pos;
- membuat pengumuman awam mengenai jumlah pengundi pos dan pengundi awal di setiap bahagian pilihan raya sebelum hari mengundi;
- membuat pengumuman awam seawal mungkin mengenai hari pengeluaran undi pos supaya calon-calon mempunyai masa yang cukup untuk membuat persediaan;
- membuat pengiraan undi pada hari pengundian awal dan Borang 14 diisikan supaya isu keselamatan peti undi boleh dielakkan. Jika tidak, SPR mesti memberi akses bebas 24 jam kepada ejen calon untuk memerhati dan memantau peti undi awal dan peti undi pos; dan
- menjamin akses bebas kepada ejen calon untuk memerhatikan proses undi awal, pengeluaran undi pos, dan pengiraan undi awal dan undi pos.
Jawatankuasa pemandu Bersih 2.0
Lampiran – 20 Kerusi Parlimen dengan Undi Awal Terbanyak
No. | Kod | Nama Parlimen | Jum Pemilih | Biasa | Awal/PTH | % |
1. | 118 | SETIAWANGSA | 72,136 | 54,686 | 17,450 | 24.19% |
2. | 074 | LUMUT | 67,157 | 55,244 | 11,913 | 17.74% |
2. | 136 | TANGGA BATU | 83,213 | 71,450 | 11,763 | 14.14% |
3. | 121 | LEMBAH PANTAI | 80,346 | 70,061 | 10,285 | 12.80% |
4. | 132 | PORT DICKSON | 75,212 | 68,115 | 7,097 | 9.44% |
5. | 085 | PEKAN | 88,899 | 82,061 | 6,838 | 7.69% |
6. | 152 | KLUANG | 96,915 | 90,650 | 6,265 | 6.46% |
7. | 197 | KOTA SAMARAHAN | 46,300 | 40,228 | 6,072 | 13.11% |
8. | 014 | MERBOK | 87,782 | 82,088 | 5,694 | 6.49% |
9. | 124 | BANDAR TUN RAZAK | 83,650 | 78,143 | 5,507 | 6.58% |
10. | 133 | TAMPIN | 60,765 | 55,418 | 5,347 | 8.80% |
11. | 060 | TAIPING | 90,729 | 85,626 | 5,103 | 5.62% |
12. | 063 | TAMBUN | 107,763 | 103,033 | 4,730 | 4.39% |
13. | 196 | STAMPIN | 66,240 | 61,919 | 4,321 | 6.52% |
14. | 026 | KETEREH | 65,238 | 61,187 | 4,051 | 6.21% |
15. | 101 | HULU LANGAT | 102,363 | 98,368 | 3,995 | 3.90% |
16. | 120 | BUKIT BINTANG | 69,526 | 65,737 | 3,789 | 5.45% |
17. | 173 | PUTATAN | 41,312 | 37,567 | 3,745 | 9.07% |
18. | 115 | BATU | 76,328 | 72,693 | 3,635 | 4.76% |
19. | 116 | WANGSA MAJU | 88,482 | 84,836 | 3,646 | 4.12% |
20. | 054 | GERIK | 35,903 | 32,312 | 3,591 | 10.00% |
Our voluntary writers work hard to keep these articles free for all to read. But we do need funds to support our struggle for Justice, Freedom and Solidarity. To maintain our editorial independence, we do not carry any advertisements; nor do we accept funding from dubious sources. If everyone reading this was to make a donation, our fundraising target for the year would be achieved within a week. So please consider making a donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB Bank account number 8004240948.