Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) merujuk kepada kenyataan media Sekretariat Solidariti Rakyat, bahawa tiga orang aktivis telah dipanggil untuk soal siasat di Balai Polis Dang Wangi pada 29 Julai 2021.
Siasatan tersebut adalah di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia. Menurut Sekretariat Solidariti Rakyat, sudah lebih 30 siasatan berasingan dibuat terhadap anak muda yang sekadar menyatakan hak bersuara dan berhimpun.
Bersih 2.0 menganggap siasatan ini adalah melampau dan intimidasi yang keterlaluan terhadap anak muda yang hanya ingin menyatakan tuntutan mereka melalui jalan perhimpunan aman, konvoi dan sebagainya. Taktik gangguan sebegini adalah sangat ketinggalan zaman dan tidak sepatutnya terjadi di negara yang mengamalkan demokrasi.
Sekiranya siasatan ini dijalankan agar tangkapan awal dapat dibuat untuk menghalang dan mengugut agar Sekretariat Solidariti Rakyat tidak berhimpun pada 31 Julai, ianya adalah satu taktik yang hina dan hanya mengundurkan demokrasi negara kita ke belakang.
Bersih 2.0 juga mendapat maklumat bahawa terdapat beberapa doktor dan jururawat yang terlibat dalam #HartalDoktorKontrak turut disoal siasat pada tengah malam. Ini adalah satu tindakan yang melampau serta tidak sewajarnya dilakukan. Apatah lagi Menteri Kesihatan Dr Adham Baba juga telah berjanji dalam sidang Dewan Rakyat bahawa mereka yang berhartal tidak akan dikenakan siasatan.
Bersih 2.0 mengulangi gesaan dan amaran kami bahawa tindakan berlebihan terhadap rakyat yang bersikap kritikal kepada kerajaan adalah simptom-simptom kegagalan demokrasi. Tambahan lagi dengan persoalan proklamasi darurat yang kini belum dirungkai, telah melempar Malaysia ke lembah autoritarianisme. Toleransi yang tipis akibat kebimbangan dan paranoia kerajaan bakal menyebabkan Malaysia terjerumus ke jurang tersebut.
Pihak polis perlu segera menghentikan siasatan dan intimidasi terhadap aktivis anak muda, apatah lagi anak muda yang membawa suara rakyat marhaen yang terdesak. – Bersih 2.0
Our voluntary writers work hard to keep these articles free for all to read. But we do need funds to support our struggle for Justice, Freedom and Solidarity. To maintain our editorial independence, we do not carry any advertisements; nor do we accept funding from dubious sources. If everyone reading this was to make a donation, our fundraising target for the year would be achieved within a week. So please consider making a donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB Bank account number 8004240948.