Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) sedang memantau kempen pilihan raya umum dewan negeri Negeri Sembilan yang sedang berlangsung, dan juga telah memantau pilihan raya Johor sebelum ini.
Bermula di Johor, bibit-bibit kempen secara perkauman sedang mula dituai walaupun cuba berselindung di sebalik serangan kepada parti politik yang dianggap mewakili suatu kaum atau agama.
Bersih menegaskan bahawa sebarang usaha oleh mana-mana pihak untuk membangkitkan sentimen kebencian antara kaum dan agama demi meraih sokongan politik adalah tidak bertanggungjawab serta wajar ditolak dan dikecam oleh seluruh lapisan masyarakat.
Bahkan berkempen menggunakan retorik perkauman dan keagamaan yang berlebihan atau keterlaluan boleh menjadi suatu kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 menerusi seksyen 4A (mengembangkan perasaan jahat atau permusuhan) dan seksyen 9 (pengaruh tidak wajar).
Pilihan raya adalah medan untuk bersaing secara idea dan polisi pembangunan negara atau negeri untuk memberi manfaat kepada rakyat.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara (ALIRAN), Maybank a/c 507246118995 or CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Kempen yang menggunakan retorik tidak sihat seperti tidak mengiktiraf kedudukan suatu kaum di negara ini, mewujudkan naratif seperti gelombang hijau yang merujuk kepada suatu agama, dan akan ada menteri besar bukan daripada kaum Melayu harus dihentikan.
Kempen sebegini boleh mencemarkan proses demokrasi, malah menghakis objektif utama pilihan raya sebagai wadah memperkukuh mandat rakyat.
Lebih membimbangkan, pendekatan sedemikian berisiko memecahbelahkan masyarakat, merosakkan keharmonian antara kaum, serta mencetuskan ketegangan sosial yang tidak diingini.
Bersih mengingatkan semua pihak agar berkempen secara matang, beretika dan bertanggungjawab, serta melihat pentas pilihan raya secara objektif sebagai wadah untuk memilih pemimpin berdasarkan dasar yang ditawarkan, rekod pencapaian, prestasi pembangunan, integriti, dan keupayaan membawa negara ke arah masa depan yang lebih baik. – Bersih
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme











