Home Coalitions Clean and Fair Elections Isu persempadanan semula: Jawapan terhadap pembohongan-pembohongan SPR

Isu persempadanan semula: Jawapan terhadap pembohongan-pembohongan SPR

Sumber: Institut Darul Ehsan

Follow us on our Malay and English WhatsApp, Telegram, Instagram, Tiktok and Youtube channels.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mengeluarkan satu kenyataan media pada 13 Mac 2018 untuk menafikan dakwaan bahawa terdapat manipulasi terhadap persempadanan semula. Ironinya, kenyataan media sepanjang lima muka surat tersebut mempunyai pelbagai kenyataan yang salah dan tidak benar.

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0)
dengan ini menolak dan menjawab persoalan-persoalan yang ditimbulkan oleh SPR dalam kenyataan medianya, seperti berikut:

Perenggan 4: Persoalan terhadap penentuan kalah atau menang mana-mana pihak calon/parti adalah bergantung kepada usaha mereka dalam memenangi hati rakyat serta menarik sokongan pengundi untuk memilih mereka kerana pengundi mempunyai kuasa mutlak untuk menentukan pilihan mereka.

Perenggan 5: Sejarah pilihan raya juga telah membuktikan bahawa persempadanan semula bukanlah faktor penentu kepada kemenangan atau kekalahan mana-mana pihak, sebaliknya ia ditentukan oleh pilihan pengundi sepertimana yang berlaku ke atas Selangor, Pulau Pinang, Kelantan, Kedah, Terengganu dan Perak yang pernah berjaya diperintah oleh pihak parti pembangkang sehingga beberapa penggal pilihan raya walaupun masih menguna pakai formula dan sistem persempadanan yang sama.

Malaysia mengamalkan sistem pilihan raya first-past-the-post (FPTP). Di dalam sistem ini, tatacara pembahagian kawasan-kawasan pilihan raya dan kesamarataan bilangan pengundi di setiap kawasan pilihan raya adalah sangat penting dan akan memberi kesan kepada hak pengundi dan keputusan pilihan raya.

Pada pilihan raya umum yang lalu pada tahun 2013, Barisan Nasional memenangi hanya 47% undi popular, akan tetapi ianya bersamaan dengan kemenangan 60% kerusi parlimen. Jika dianalisa, kawasan-kawasan parlimen yang dimenangi oleh Barisan Nasional mempunyai purata 46,860 pengundi, manakala kawasan-kawasan parlimen yang dimenangi oleh Pakatan Rakyat pula mempunyai purata 79,092 pengundi. (Rujuk gambar rajah di bawah)

 


Sumber: Cheng Eng Aun

Perkara ini berlaku kerana malapportionment (pembahagian tidak sekata) telah dilakukan oleh SPR sejak 50 tahun yang lalu.

SPR menyatakan bahawa “Sejarah pilihan raya juga telah membuktikan bahawa persempadanan semula bukanlah faktor penentu”, tetapi hakikatnya, pelbagai kajian telah menunjukkan bahawa peratusan kemenangan kerusi parlimen Barisan Nasional akan meningkat setiap kali pilihan raya selepas persempadanan semula dijalankan. (Rujuk gambar rajah di bawah)


Sumber: Institut Darul Ehsan

Perenggan 6: Selain itu, persoalan gerrymandering dan malapportionment yang sering dijadikan alasan oleh pihak tersebut bahawa SPR telah melakar sesuatu kawasan pilihan raya bertujuan memberi kemenangan kepada parti tertentu juga adalah tidak benar.

Hakikatnya, cadangan persempadanan semula oleh SPR mengandungi gerrymandering dan malapportionment yang tidak adil walaupun seksyen 2(c) jadual ke-13, Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa “bilangan pemilih di dalam setiap bahagian pilihan raya di dalam sesuatu Negeri patutlah lebih kurang sama banyak” dan seksyen 2(d) jadual ke-13, Perlembagaan Persekutuan memerlukan pemeliharan hubungan tempatan.

Sebagai contoh malapportionment di Selangor, bahagian pilihan raya parlimen terbesar yang dicadangkan oleh SPR ialah P109 Kapar dengan 146,317 pengundi dan yang terkecil ialah P92 Sabak Bernam dengan 37,126 pengundi. Ini adalah perbezaan hampir empat kali ganda, dan kesannya, kuasa/nilai undi pengundi di P109 Kapar adalah empat kali lebih kecil daripada pengundi di P92 Sabak Bernam. Adakah SPR menggangap empat adalah lebih kurang sama banyak dengan satu? Perkara yang sama juga boleh diperhatikan di negeri-negeri yang lain dan di peringkat Parlimen.

Gerrymandering turut berlaku, seperti contoh di Perak. Mengikut cadangan persempadanan semula oleh SPR, kawasan Dun Sitiawan akan dipindah dari kawasan Parlimen Lumut kepada kawasan parlimen Ayer Tawar (yang dahulunya dikenali sebagai Beruas) walaupun kawasan Dun Setiawan mempunyai hubungan tempatan yang lebih kuat dengan Lumut. Sebelum persempadanan, kedua-dua kawasan parlimen Lumut dan Ayer Tawar dimenangi oleh pihak pembangkang, tetapi pemindahan Dun Sitiawan ini akan memenangkan Barisan Nasional di Lumut.

Gejala ini dikenali sebagai packing (penyokong-penyokong dipindah dan dipadatkan di satu kawasan kubu kuat pembangkang, iaitu Ayer Tawar) dan cracking (penyokong-penyokong dipindah dan dipecahkan dari satu kawasan untuk melemahkan pembangkang, iaitu di Lumut).

Masalah malapportionment dan gerrymandering sangat berleluasa di Malaysia, dan ini turut diiktiraf oleh pakar-pakar pilihan raya antarabangsa di dalam kajian terkemuka Electoral Integrity Project, di mana Malaysia menduduki tangga terakhir di antara 161 negara yang dikaji di dalam kategori persempadanan. Adakah SPR dan kerajaan akan menyangkal kajian terkemuka ini dengan mengkategorikannya sebagai “fake news”?

Perenggan 6 (sambungan): Keputusan mahkamah yang memihak kepada SPR jelas membuktikan bahawa ia telah mematuhi semua prinsip-prinsip asas persempadanan semula berdasarkan kepada peruntukan yang digariskan dalam Jadual Ketiga Belas, Perlembagaan Persekutuan.

Kenyataan ini merupakan suatu pembohongan besar. Hampir 15 kes mahkamah telah difailkan terhadap SPR dalam isu persempadanan semula, yang tertumpu kepada masalah malapportionment dan gerrymandering. Dalam kesemua kes, pihak mahkamah tidak membuat sebarang keputusan mengenai persoalan malapportionment dan gerrymandering.

Sebaliknya, mahkamah enggan membenarkan cabaran terhadap isu-isu tersebut kerana berpendapat bahawa keputusan akhir mengenai persempadan adalah di dalam bidang kuasa Parlimen. Sehingga kini, persoalan-persoalan dan bukti malapportionment dan gerrymandering masih belum terjawab oleh SPR ataupun mahkamah.

Ini sekaligus memberi kekebalan (immunity) terhadap SPR untuk mencadangkan apa-apa sahaja walaupun bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan. Di Parlimen pula, perdana menteri dan Barisan Nasional sudah tentu akan memanipulasi dan meluluskan persempadanan semula untuk menjamin kemenangan mereka dalam pilihan raya yang akan datang.

Perenggan 7: SPR juga ingin menjelaskan berhubung formula perbandingan persempadanan tidak sama rata yang sering digunakan oleh pihak tersebut adalah tidak wajar dan berniat untuk mengelirukan rakyat. Contohnya, adalah sangat tidak wajar mereka membandingkan bahagian pilihan raya Parlimen/Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam kategori bandar dengan bahagian pilihan raya Parlimen/DUN dalam kategori luar bandar kerana ianya dalam kategori yang berbeza.

Perenggan 8: Dari sudut geografi dan populasi, walaupun Parlimen/DUN luar bandar mempunyai keluasan yang lebih besar tetapi populasinya adalah lebih kecil. Manakala jenis penempatannya pula adalah secara berselerak. Berbanding pula dengan bahagian pilihan raya Parlimen/DUN dalam kategori bandar, walaupun keluasannya lebih kecil namun kepadatan penduduknya adalah sangat tinggi kadangkala mencecah lebih sejuta orang dan jenis penempatannya pula adalah secara berkelompok/ berpusat.

Perenggan 9: Selain daripada itu kemudahan juga lebih banyak terdapat di bahagian pilihan raya Parlimen/DUN dalam kategori Bandar seperti sekolah, dewan dan sebagainya. Oleh yang demikian sudah pasti terdapat perbezaan ketara di antara kedua-dua jenis kategori bandar dan luar bandar. Sewajarnya perbandingan perlulah dibuat di antara kategori bandar dengan bandar atau luar bandar dengan luar bandar.

Justikasi SPR untuk isu malapportionment adalah salah dan bukan berdasarkan Perlembagaan Persekutuan.

Seksyen 2 (c) jadual Ke-13, Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa “dengan mengambil kira kesulitan yang lebih besar untuk sampai kepada pemilih di dalam daerah desa dan kesukaran lain yang dihadapi oleh bahagian-bahagian pilihan raya di luar bandar, ukuran pewajaran bagi kawasan patutlah diberikan kepada bahagian-bahagian kawasan pilihanraya”. Ini bermaksud saiz sesebuah bahagian pilihan raya boleh dikecilkan jika terdapat kesulitan yang lebih besar untuk sampai kepada pengundi di kawasan luar bandar.

SPR telah menyalahgunakan ukuran pewajaran ini untuk mempertahankan malapportionment. Ukuran pewajaran yang diperuntukkan oleh seksyen 2 (c) jadual Ke-13, Perlembagaan Persekutuan bukan bersifat mutlak dan haruslah berpatutan.

Perbezaan sebanyak empat kali ganda di antara bilangan pengundi di bahagian-bahagian pilihan raya adalah suatu penyalahgunaan. Perlembagaan Persekutuan yang asal mempunyai peruntukan bahawa julat perbezaan bilangan pengundi perlulah di dalam lingkungan +/- 15% dan -33%. Malangnya, peruntukan ini telah dikeluarkan oleh kerajaan Barisan Nasional pada tahun 1973 melalui pindaan Perlembagaan Persekutuan.

Selain itu, negeri-negeri yang maju seperti Selangor dan Pulau Pinang masih menghadapi masalah malapportionment walaupun sudah dilengkapi dengan jaringan komunikasi dan jalan-raya yang baik. Hampir setiap kawasan piihan raya mempunyai pusat bandar atau pekan yang lengkap dengan kemudahan awam. Maka, tidak tertimbulnya kesukaran untuk pengundi-pengundi di Selangor ataupun untuk SPR melaksanakan proses pilihan raya, dan oleh itu ukuran pewajaran tidak boleh digunapakai.

SPR juga menyatakan bahawa pengundi perlu membuat perbandingan antara kategori bandar dengan bandar atau luar bandar dengan luar bandar.

Pertamanya, perkara ini adalah salah kerana ukuran pewajaran di bawah seksyen 2(c) jadual ke-13 adalah berasaskan saiz mukabumi, iaitu untuk kawasan-kawasan yang terlalu luas, dan bukannya berdasarkan kawasan bandar atau luar bandar.

Keduanya, Perlembagaan Persekutuan menjamin kesamarataan hak dan kuasa mengundi setiap rakyat Malaysia tanpa mengira samada mereka adalah pengundi di bandar atau di luar bandar. Adakah SPR sedang menyatakan bahawa kuasa pengundi di luar bandar harus lebih tinggi dan diberi kelebihan berbanding pengundi di bandar? SPR tiada sebarang hak atau kuasa untuk membuat keputusan sedemikian.

Ketiganya, justifikasi salah yang digunakan oleh SPR ini juga tidak dilakukan secara konsisten oleh SPR sendiri, di mana SPR menyatakan bahawa perbandingan harus dibuat antara kawasan luar bandar dengan luar bandar.

Jika mengambil contoh dua kawasan luar bandar bertaraf “majlis perbandaran” di Selangor, kawasan Majlis Daerah Sabak Bernam merangkumi dua kawasan parlimen, iaitu P92 Sabak Bernam dan P93 Sungai Besar dengan jumlah pengundi 37,126 dan 42,658. Pada masa yang sama, kawasan Majlis Daerah Hulu Selangor hanya mempunyai satu kawasan parlimen iaitu P94 Hulu Selangor dengan jumlah pengundi 86,599.

Perbezaan pengundi di antara P94 Hulu Selangor dengan P92 Sabak Bernam dan P93 Sungai Besar adalah sebanyak 2.33 dan 2.03 kali ganda walaupun ketiga-tiga kawasan parlimen adalah bersifat luar bandar.

Tambahan lagi, kawasan P94 Hulu Selangor mempunyai saiz muka bumi yang lebih besar, dan adalah lebih sukar dari segi jaringan perhubungan kerana merupakan kawasan berbukit dan saiz mukabumi lebih luas, berbanding dengan kawasan Sabak Bernam yang bercirikan persisiran pantai. Namun, ukuran pewajaran diberikan kepada kawasan Majlis Daerah Sabak Bernam kerana mempunyai dua kawasan parlimen. Oleh itu, kriteria SPR adalah salah dan tidak konsisten. (Rujuk gambar rajah di bawah)

Source: Wong Chin Huat

Perkara-perkara ini menunjukkan niat jahat SPR untuk mengeluarkan justifikasi-justifikasi palsu untuk mempertahankan malapportionment dan gerrymandering.

Kesimpulan

Bersih 2.0 mengulangi bantahan tegas kami terhadap tindakan SPR dan kerajaan yang tergesa-gesa untuk meluluskan persempadanan semula tanpa menghormati proses dan prinsip-prinsip di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Tindakan SPR dalam mengemukakan laporan akhir kepada perdana menteri adalah tidak sah kerana hampir 200 kumpulan pembantah di Selangor yang merangkum lebih 20,000 pengundi masih belum mendapat hak mereka untuk didengar melalui sesi siasatan tempatan.

Bersih 2.0 dan pengundi-pengundi telah memfailkan tindakan mahkamah untuk isu ini, dan akan terus berusaha untuk menolak dan membantahan manipulasi persempadanan semula.

Penyalahgunaan kuasa SPR dan perdana menteri dalam isu persempadanan semula tidak akan dilupakan. Pengundi-pengundi akan memastikan mereka akan dipertanggungjawabkan atas kesalahan memanipulasi persempadanan pilihan raya di Malaysia.

Bersih 2.0 menyeru kepada rakyat Malaysia untuk keluar mengundi beramai-ramai kerana peratusan mengundi yang tinggi adalah langkah terakhir untuk mengalahkan manipulasi sempadan pilihan raya ini.

Akhir kata, Bersih 2.0 sekali lagi mencabar SPR untuk menjemput pemerhati pilihan raya
bebas dari luar negara untuk memantau pilihan raya umum akan datant dan biarkan pemerhati-pemerhati ini menentukan samada ia adalah bersih, bebas dan adil.

SPR harus ‘bangga’ untuk menunjukkan bertapa ‘telusnya’ pilihan raya umum di Malaysia kepada dunia luar. Tidak ada apa-apa yang harus ditakuti jikalau SPR jikalau tiada manipulasi bakal berlaku pada pilihan raya umum kelak.

Jawatankuasa pemandu Bersih 2.0

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support our work by making a donation. Tap to download the QR code below and scan this QR code from Gallery by using TnG e-wallet or most banking apps:
Subscribe
Notify of
guest
1 Comment
Newest
Oldest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments
Mohammad Azmi Abdul Rahim
14 Mar 2018 9.47pm

Tak hairan kerana kita tahu mereka ikut arahan ! Betul tak?

1
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x