[ENGLISH VERSION BELOW] Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) mengucapkan tahniah kepada kerajaan persekutuan dan Pakatan Harapan atas kelulusan rang undang-undang anti-lompat parti [Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022] hari ini setelah sekian lama tertangguh.
Kelulusan ini adalah batu penanda kepada kejayaan memorandum transformasi dan kestabilan politik (MoU) yang memperlihatkan perbincangan dan kerjasama secara profesional antara ahli politik di pihak yang berbeza untuk duduk sekali berbincang polisi bagi membawa demokrasi negara kita bergerak satu langkah ke hadapan.
Bersih juga ingin mengucapkan setinggi tahniah kepada ahli-ahli Dewan Rakyat yang telah terlibat dalam perbahasan dan 209 ahli yang mengundi untuk meluluskan rang undang-undang tersebut.
Kita juga berharap agar Dewan Negara juga akan dengan sebulat suara meluluskan rang undang-undang ini untuk diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong.
Peranan menteri perundangan Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan ahli-ahli jawatankuasa pilihan khas parlimen untuk rang undang-undang anti-lompat parti yang diketuai beliau amat penting dan harus dipuji. Sebagaimana pepatah Melayu, muafakat membawa berkat.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Advokasi oleh NGO seperti kami dapat direalisasikan kerana diberi penekanan oleh organisasi media, dan kita amat bersyukur atas kerjasama ini yang memperkukuhkan sistem demokrasi kita.
Namun demikian, kelulusan rang undang-undang anti-lompat ini perlu dianggap satu permulaan kepada satu proses untuk memastikan undang-undang yang baru sahaja dipinda dan diluluskan ini lebih progresif, adil dan kukuh untuk menghadapi cabaran-cabaran politik pada masa hadapan. Bersih berpandangan bahawa rang undang-undang yang diluluskan ini masih mempunyai ruang untuk penambahbaikan.
Bersih mengenalpasti masih ada sekurang-kurangnya dua kelemahan dalam rang undang-undang yang diluluskan ini yang perlu diperbaiki pada masa hadapan.
Kelemahan pertama adalah rang undang-undang ini tidak menangani isu-isu berkaitan dengan parti yang bertukar gabungan selepas pilihan raya (coalition hopping). Langkah Sheraton berlaku akibat Bersatu, yang keluar daripada PH dan seterusnya membentuk kerajaan Perikatan Nasional, dengan sokongan gabungan Muafakat Nasional oleh Umno dan Pas.
Kelemahan kedua adalah wakil rakyat yang dipecat parti tidak dimasukkan dalam sebab kekosongan kerusi. Dengan mengecualikan pemecatan daripada takfrifan lompat parti, undang-undang anti-lompat ini akan dilemahkan kerana ahli Dewan Rakyat atau ahli dewan undangan negeri yang berpaling tadah melawan parti tidak akan meletakkan jawatan dan menunggu sehingga dipecat untuk mengekalkan kerusi di dalam Dewan.
Bersih ingin menekankan bahawa mekanisme terbaik untuk menangani gejala lompat parti ini adalah undang-undang prosedur pecat wakil rakyat (recall law) di mana wakil rakyat yang keluar parti atau menukar parti tidak secara automatik dikosongkan kerusi.
Keputusan sama ada wakil rakyat tersebut perlu kekal atau tidak perlu diberikan kepada rakyat semula untuk menentukan melalui prosedur atau petisyen bagi memecat wakil rakyat tersebut. Undang-undang ini akan memperkasakan lagi kuasa rakyat dan memastikan rakyat sentiasa cakna dengan prestasi wakil rakyat mereka kerana asas-asas memecat wakil rakyat tidak hanya terhad kepada pertukaran parti sahaja.
Walaupun adanya undang-undang anti-lompat parti (recall law atau ‘anti-hopping’ law), kami juga sedar bahawa undang-undang ini tidak akan berkesan sepenuhnya sekiranya pengundi masih menganggap wakil rakyat hanya pegawai kebajikan semata-mata kerana peranan sebenar wakil rakyat tidak diperkasakan untuk menggubal dasar dan polisi di Dewan.
Dengan tanggapan sedemikian, pelompat parti akan menang dalam pilihan raya kecil selagi mereka lompat ke arah kerajaan dan mendapat lebih sumber naungan.
Justeru, semua pihak termasuk kerajaan, pembangkang dan semua parti politik perlu dengan serius mempertimbangkan perubahan atau penambahbaikan struktural kepada sistem politik kita dengan melaksanakan pemberian peruntukan wakil rakyat (constituency development funds) yang saksama kepada semua wakil rakyat, had peratusan wakil rakyat yang dilantik menjadi menteri dan timbalan menteri, larangan wakil rakyat persendirian memegang jawatan di dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC), pemerkasaan dan kebebasan Parlimen dan dewan undangan negeri, serta reformasi peguam negara untuk menghentikan pendakwaan terpilih.
Semua pembaharuan dan penambahbaikan ini adalah amat mustahak untuk mengiringi rang undang-undang anti-lompat parti yang diluluskan supaya negara kita lebih stabil, progresif dan demokratik. – Bersih
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme