Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) mengucapkan tahniah kepada rakyat Malaysia kerana berjaya mempertahankan demokrasi negara kita melalui proses pilihan raya.
27 Julai menandakan genap 70 tahun negara kita mengamalkan pilihan raya untuk memilih pemimpin politik bagi menakhodai negara ini sejak pilihan raya pertama di semenanjung pada tahun 1955.
Kita telah melalui 15 kali pilihan raya sejak tahun 1955, dan puluhan malah mungkin ratusan pilihan raya kecil dan negeri
Kedudukan Malaysia pada tahun 2024 menurut Economist Intelligence Unit (EIU) Democracy Index adalah di tangga ke-40 dengan status demokrasi cacat (flawed democracy) – kedudukan yang tidak berubah sejak daripada tahun 2023. Antara petunjuk yang digunakan adalah proses pilihan raya, penyertaan politik dan kefungsian kerajaan.
Proses pilihan raya negara, walaupun jauh daripada sempurna namun memerlukan kita untuk terus menuntut, mendesak dan memperjuangkan pilihan raya yang bersih dan adil supaya pilihan raya sebagai wahana terbesar suara rakyat benar-benar mencerminkan suara itu.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara (ALIRAN), Maybank a/c 507246118995 or CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Terdapat banyak reformasi yang perlu diangkat oleh kerajaan dan juga Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi memastikan proses pilihan raya kita benar-benar bebas, bersih dan adil.
Bersih pada 24 Jun yang lepas, telah mengadakan sidang meja bulat bersama pemimpin parti politik peringkat pusat dan negeri, pemimpin persatuan masyarakat sivil dan pakar-pakar pilihan raya untuk membincangkan jalan ke hadapan reformasi pilihan raya negara dalam tempoh lima tahun.
Susulan meja bulat tersebut, Bersih ingin menyenaraikan lima tuntutan utama untuk dilaksanakan secepat mungkin oleh kerajaan dan SPR:
- Menubuhkan jawatankuasa parlimen (standing committee) untuk hal ehwal pilihan raya setahap jawatankuasa kira-kira wang negara untuk menerima, menyemak, mengadakan pendengaran dan memberi maklum balas kepada cadangan senarai nama calon-calon ahli SPR oleh perdana menteri atau pihak lain, dan memberi maklum balas kepada perdana menteri sebelum dipersembahkan kepada Agong untuk pelantikan. Jawatankuasa ini juga untuk menyemak, menyiasat dan memberi maklum balas terhadap laporan tahunan dan laporan kewangan SPR, isu daftar pemilih, laporan dan perbelanjaan setiap kali pilihan raya, dan sebarang syor penambahbaikan sistem dan undang-undang pilihan raya.
- Menambahbaik akses pengundian kepada pengundi, terutama pengundi yang berada di luar kawasan seperti pengundi Sabah dan Sarawak yang menetap untuk belajar dan bekerja di Semenanjung. SPR perlu mempertimbangkan dengan serius untuk memperluaskan kategori pengundi awal atau undi pos kepada pengundi Sabah dan Sarawak agar mereka dapat melaksanakan hak mereka selaku warganegara untuk membuang undi. Selain itu, perluasan kategori pengundi awal atau pengundi pos juga boleh diberikan kepada pengundi orang kurang upaya terutama OKU fizikal yang sukar untuk bergerak ke pusat-pusat pengundian.
- Meminda Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954. AKPR kali terakhir dipinda adalah pada tahun 2003. Sehingga kini, akta ini belum lagi dipinda untuk menampung kelompongan yang serius agar pihak-pihak yang terlibat dalam pilihan raya dapat memahami dan mematuhi akta ini. Antara penambahan yang penting adalah seperti menjadikan penggunaan sumber dan jentera kerajaan semasa pilihan raya, keperluan untuk mengaudit laporan perbelanjaan pilihan raya, meningkatkan had belanja pilihan raya termasuk belanja pihak ketiga seperti NGO dan parti politik, memperkenalkan tempoh bertenang dan memberi kuasa kepada SPR untuk mengkompaun kesalahan-kesalahan seperti berkempen pada hari pengundian.
- Menubuhkan suruhanjaya persempadanan yang berasingan daripada SPR untuk melaksanakan proses persempadanan semula dan memperbaiki sempadan pilihan raya dengan lebih profesional dan adil. Suruhanjaya ini boleh menyemak semula peruntukan-peruntukan Perlembagaan yang ada untuk melukis sempadan pilihan raya dan mencadangkan cadangan penambahbaikan yang lebih baik.
- Menggubal segera akta pembiayaan politik dan pendanaan parti politik. Sehingga kini kita masih belum ada undang-undang khusus untuk mengawal selia sumber dana parti-parti politik, termasuk calon-calon yang akan bertanding pilihan raya. Undang-undang ini perlu untuk menghadkan perbelanjaan politik khususnya ketika musim pilihan raya selain memastikan berlakunya ketelusan dalam urusan hal ehwal kewangan parti politik.
Bersih menyeru semua pihak terutamanya kerajaan “Madani”, SPR, ahli-ahli Parlimen dan dewan undangan negeri, parti-parti politik, serta rakyat Malaysia untuk bersama-sama menjayakan agenda reformasi pilihan raya yang menyeluruh demi memastikan demokrasi kita terus berkembang dan mencerminkan keadilan serta integriti yang sebenar.
Sudah tiba masanya kita melangkah ke hadapan, meninggalkan kelemahan-kelemahan sistem lama, dan membina satu sistem pilihan raya yang benar-benar bebas, bersih dan adil, demi masa depan negara dan generasi akan datang.
Reformasi pilihan raya bukan lagi pilihan, tetapi satu keperluan mendesak. – Bersih
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme

