Home Coalitions Clean and Fair Elections Keputusan Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman kemenangan untuk rakyat!

Keputusan Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman kemenangan untuk rakyat!

The Bersih 5 crowd outside KLCC on 19 November 2016

Follow us on our Malay and English WhatsApp, Telegram, Instagram, Tiktok and Youtube channels.

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menyambut baik keputusan Mahkamah Persekutuan kelmarin yang mengisytiharkan Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 sebagai tidak berperlembagaan.

Dengan keputusan ini, keperluan yang mewajibkan penganjur perhimpunan aman untuk memberikan notis lima hari kepada pihak polis kini terbatal, dan ketidakpatuhan terhadap keperluan tersebut tidak lagi merupakan satu kesalahan jenayah.

Keputusan ini adalah satu kemenangan penting bagi rakyat Malaysia, masyarakat sivil, dan semua yang selama ini memperjuangkan hak untuk berhimpun secara aman iaitu satu hak asasi yang dijamin oleh Perkara 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan.

Ia juga satu pengiktirafan bahawa undang-undang tidak seharusnya digunakan untuk mengekang suara rakyat atau menghukum mereka yang ingin menyatakan pendirian secara aman di ruang awam.

Kes ini berpunca daripada cabaran undang-undang oleh aktivis Amir Abdul Hadi, yang telah didakwa di bawah Seksyen 9(5) kerana didakwa gagal memberikan notis kepada pihak berkuasa sebelum menganjurkan protes terhadap isu kapal tempur pesisir (littoral combat ships) di hadapan Kompleks Sogo pada tahun 2022.

Tahniah kami ucapkan kepada saudara Amir dan pasukan guamannya atas keberanian dan kecekalan mereka dalam memperjuangkan hak asasi rakyat Malaysia.

Bersih menegaskan bahawa kemenangan ini tidak seharusnya berakhir di mahkamah sahaja. Ia mesti menjadi pemangkin kepada reformasi menyeluruh terhadap Akta Perhimpunan Aman. Undang-undang ini perlu dikaji semula dan dipinda agar ia benar-benar mencerminkan semangat Perlembagaan serta memenuhi piawaian hak asasi manusia antarabangsa.

Yang lebih mustahak, proses pindaan ini mesti dilakukan dengan penglibatan menyeluruh dan bermakna daripada pemegang taruh, seperti masyarakat sivil, pengamal undang-undang dan pihak berkepentingan lain.

Penglibatan ini tidak boleh dibuat secara tergesa-gesa, pada saat akhir, atau sekadar sebagai satu ritual ‘tanda semak’ (box-ticking exercise) yang tidak membawa sebarang makna substantif.

READ MORE:  Pihak polis harus menjamin keselamatan perserta perhimpunan aman

Suara rakyat mesti didengar dan dihormati sejak awal proses perundangan, bukan selepas segalanya telah diputuskan.

Keputusan Mahkamah Persekutuan ini juga merupakan satu teguran jelas terhadap amalan pihak polis yang selama ini sering menggunakan Seksyen 9(5) untuk mendakwa dan menekan aktivis serta rakyat biasa.

Hak untuk berhimpun bukanlah ancaman kepada ketenteraman awam, tetapi adalah sebahagian daripada proses demokrasi yang sihat dan wajib dilindungi.

Sering kali, keputusan rakyat untuk turun berhimpun disambut dengan gesaan supaya mereka menggunakan “saluran yang betul”.

Suka untuk kami tekankan bahawa di dalam sebuah demokrasi yang sihat, perhimpunan aman itu sendiri adalah salah satu saluran yang sah dan betul – setaraf dengan petisyen, surat kepada wakil rakyat, atau perbincangan di Parlimen.

Ia bukan langkah terakhir dan bukan juga satu bentuk ancaman. Sebaliknya, ia adalah ekspresi langsung suara rakyat, yang harus dihormati dan dilindungi, bukannya disekat atau dipersoalkan kesahihannya.

Bersih menyeru kerajaan “Madani” untuk membuktikan komitmen terhadap janji reformasi dengan memastikan bahawa pindaan kepada Akta Perhimpunan Aman dilakukan secara telus, inklusif dan selari dengan semangat keputusan Mahkamah Persekutuan ini. Sebahagian daripada kalian yang kini berada di tampuk kuasa juga pernah merasai sendiri keperitan disekat daripada berhimpun dan ditekan kerana bersuara.

Kepada rakyat Malaysia pula, jangan tunduk, jangan bisu, jangan takut! Suara anda adalah senjata paling ampuh dalam menuntut perubahan. Setiap perubahan besar bermula dengan keberanian orang biasa yang enggan berdiam diri.

Hidup Rakyat! Hidup Demokrasi! – Bersih

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support our work by making a donation. Tap to download the QR code below and scan this QR code from Gallery by using TnG e-wallet or most banking apps:
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Newest
Oldest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments

Most Read

0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x