Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) ingin memberi respon kepada penjelasan perdana menteri bahawa beliau dan menteri kabinet berhak menggunakan aset kerajaan termasuk kenderaan rasmi dan pengiring keselamatan bagi tujuan keselamatan dan tugasan rasmi.
Namun, kenyataan bahawa tiada aset kerajaan digunakan dalam kempen pilihan raya umum Sabah tidak selari dengan pemerhatian kami.
Sepanjang tempoh kempen, program kerajaan seperti ‘Jualan Ehsan Rakyat’ diadakan di kawasan pilihan raya, memberi manfaat material kepada pengundi dan mencipta persepsi kelebihan bagi pihak pemerintah.
Beberapa pengumuman peruntukan juga dibuat selepas pembubaran Dewan Undangan Sabah, yang jelas mempunyai implikasi politik seperti pengumuman peruntukan RM63 juta bagi pelaksanaan 18 projek infrastruktur di Tawau oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming pada 8 Oktober.
Amalan sebegini melemahkan prinsip gelanggang pilihan raya yang adil.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara (ALIRAN), Maybank a/c 507246118995 or CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Kami mengambil maklum bahawa perdana menteri serta menteri kritikal seperti menteri pertahanan dan menteri dalam negeri perlu diiringi oleh pengiring atas dasar keselamatan.
Namun ini tidak boleh menjadi cek kosong untuk mereka menggunakan jentera-jentera ini ke kempen-kempen pilihan raya. Kami mencadangkan agar parti politik atau gabungan perdana menteri menanggung kos tambang kelas pertama bagi perjalanan beliau dan rombongannya semasa menghadiri acara parti.
Perkara ini pernah dilakukan oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad ketika yang menyewa helikopter untuk berkempen di pilihan raya kecil Cameron Highland pada tahun 2019.
Bersih berpandangan bahawa pemisahan antara urusan kerajaan dan urusan parti perlu jelas. Ini merupakan amalan terbaik antarabangsa seperti di dalam Perkara 11 Bangkok Declaration on Free and Fair Elections dan Perkara 4(1) Inter-Parliamentary Union (IPU) Declaration yang mengusulkan supaya ada pemisahan sumber parti dan kerajaan yang jelas ketika kempen pilihan raya.
Kami mengulangi gesaan agar Suruhanjaya Pilihan Raya dan Menteri Undang-Undang Azalina Othman Said untuk segera meminda Akta Kesalahan Pilihan Raya bagi memperkukuh garis panduan dan menguatkuasakan pemisahan jelas antara urusan rasmi kerajaan dan aktiviti parti politik.
Malah kami sudah pun mempunyai cadangan rang undang-undang pindaan Akta Kesalahan Pilihan Raya untuk menjadi panduan kepada bahagian hal ehwal undang-undang (BHEUU) bagi meminda akta ini.
Kerajaan perlu menghentikan semua program kerajaan yang memberi manfaat material kepada pengundi sepanjang tempoh kempen kecuali perkhidmatan kritikal.
Bersih akan terus memantau dan menegur bagi memastikan pilihan raya kekal bersih, bebas dan adil. Sebarang salah laku kerajaan dalam menggunakan sumber kerajaan untuk berkempen atau penggunaan rasuah politik ketika berkempen boleh dilaporkan kepada Bersih melalui pemantau.org – Bersih
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme

