Home Coalitions Clean and Fair Elections Pembebasan Zahid: Pisahkan pendakwa raya daripada peguam negara untuk menebus semula prinsip!

Pembebasan Zahid: Pisahkan pendakwa raya daripada peguam negara untuk menebus semula prinsip!

WIKIMAPIA

Follow us on our Malay and English WhatsApp, Telegram, Instagram, Tiktok and Youtube channels.

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) memandang berat tentang pembebasan tanpa perlepasan Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi daripada semua 47 pertuduhan rasuah yang melibatkan jutaan ringgit daripada Yayasan Akalbudi, yang diberikan oleh Mahkamah Tinggi atas permintaan timbalan pendakwa raya Dusuki Mokhtar.

Ini tidak boleh diterima sama sekali apabila pihak pendakwaan telahpun berjaya mewujudkan kes prima facie dan Zahid mesti mengemukakan pembelaannya. Pihak pendakwaan perlu tampil memberi penjelasan kepada orang ramai mengapa membuat permintaan untuk pembebasan tanpa perlepasan pada peringkat ini apabila prima facie telah kukuh.

Jabatan Peguam Negara juga mesti mendedahkan kemungkinan pertuduhan baharu atau arah penyiasatan baharu. Jika tiada rancangan untuk pertuduhan baharu, maka ini mungkin memberi laluan kepada Zahid untuk memohon perlepasan dalam tempoh beberapa bulan. Justeru, Bersih menyeru pihak pendakwaan menyemak semula bukti pembebasan tanpa perlepasan dan kesemua 47 pertuduhan dan membuat pertuduhan semula jika perlu.

Bersih ingin mengingatkan kembali dan mengambil iktibar daripada kes bekas ketua perisikan Hasanah Ab Hamidi di mana pada Ogos 2022, Mahkamah Tinggi membenarkan pembebasan dan perlepasan penuh terhadap pertuduhan pecah amanah RM50 juta, hanya setahun selepas pembebasan tanpa perlepasan beliau.

Memandangkan itizam anti-rasuah dan reformis kerajaan “Madani” kini diragu serius berikutan keputusan ini, Bersih menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk mengumumkan dalam masa seminggu ini pelan hala tuju dan garis masa yang jelas untuk pemisahan pendakwaan awam daripada Jabatan Peguam Negara.

Mengikut kedudukan sekarang, peguam negara ialah seorang lantikan politik yang menasihati kerajaan yang memainkan kedua-dua peranan pendakwa raya yang memegang kuasa untuk memulakan atau menggugurkan tuduhan jenayah. Kuasa ini boleh disalahgunakan atau diperalatkan atas sebab politik.

READ MORE:  Proses lantikan peguam negara baharu tidak cerminkan kesungguhan pelaksanaan reformasi institusi

Pemisahan pendakwa raya dan peguam negara telah dianjurkan oleh Bersih dan kumpulan masyarakat sivil sekian lama dan kami telah mengemukakan cadangan menyeluruh tentang bagaimana ia boleh dilakukan. Satu-satunya tindakan yang perlu sekarang ialah melaksanakannya.

Kami juga tertanya-tanya sama ada ini adalah ‘pendahuluan’ kepada pengguguran semua baki pertuduhan terhadap bekas Perdana Menteri Najib Razak, yang rata-ratanya akan menghakis kepercayaan orang ramai terhadap agenda reformasi kerajaan Madani.

Sehingga pemisahan ini dilakukan, Jabatan Peguam Negara mesti mengelak daripada menarik balik pertuduhan dalam kes politik berprofil tinggi. Jika kes-kes itu lemah, biarlah hakim memutuskan perkara itu, bukan pendakwa raya yang akhirnya di bawah kawalan perdana menteri.

Rakyat Malaysia sudah muak melihat korelasi ini: Mereka yang kekal berkuasa selama-lamanya kekal tidak bersalah, manakala mereka yang kehilangan kuasa juga hilang rasa tidak bersalah.

Permintaan untuk pembebasan tanpa perlepasan oleh timbalan pendakwaan awam pada peringkat perbicaraan Zahid ini sangat mengukuhkan keperluan mendesak untuk memisahkan pendakwa raya dan peguam negara – ini satu-satunya cara untuk memulihkan kredibiliti institusi pendakwa raya – sememangnya seluruh kerajaan – selepas keputusan ini.

Bersih memberi amaran kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim bahawa sebarang penangguhan dalam reformasi institusi Jabatan Peguam Negara boleh merosakkan kredibiliti kerajaan Madani, yang kini dikaitkan dengan duluan yang mengerikan ini untuk perbicaraan berkaitan politik. Cukup retorik, ahli politik mesti melaksanakan janji. Reformasilah sekarang sebelum tenggelam ke titik tiada kembali! – Bersih

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support our work by making a donation. Tap to download the QR code below and scan this QR code from Gallery by using TnG e-wallet or most banking apps:
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Newest
Oldest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x