Home Coalitions Clean and Fair Elections Peruntukan wakil rakyat saksama perlu jadi agenda utama reformasi institusi

Peruntukan wakil rakyat saksama perlu jadi agenda utama reformasi institusi

Follow us on our Malay and English WhatsApp, Telegram, Instagram, Tiktok and Youtube channels.

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) bersetuju dengan gesaan Ahli Parlimen Arau Shahidan Kasim dan Ahli Parlimen Jerantut Khairil Nizam agar peruntukan sama rata diberikan kepada ahli parlimen pembangkang.

Bersih juga suka untuk mengingatkan bahawa peruntukan pembangunan kawasan yang saksama merupakan salah satu daripada manifesto dalam Buku Tawaran Pakatan Harapan untuk pilihan raya umum 2022.

Pemberian peruntukan secara saksama ini perlu dijadikan salah satu item utama dan segera dalam usaha mereformasi sistem politik dan institusi serta dapat menjadi asas kepada usaha untuk merapatkan jurang antara kerajaan dan pembangkang yang besar selama ini. Peruntukan pembangunan kawasan yang saksama adalah reformasi yang penting untuk menjamin kestabilan politik supaya tiada parti politik yang menjadikannya sebagai alasan untuk menukar kerajaan di pertengahan penggal.

Ketua Pembangkang Parlimen Hamzah Zainudin digesa berbincang dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkenaan dengan penggubalan undang-undang peruntukan pembangunan kawasan yang selaras di kedua-dua peringkat persekutuan dan negeri serta reformasi-reformasi lain yang diperlukan untuk meratakan gelanggang persaingan demi mewujudkan persaingan profesional antara parti seperti pengiktirafan kabinet bayangan.

Kerajaan persekutuan wajar mengikut teladan kerajaan negeri Perak di bawah pimpinan Menteri Besar Saarani Mohamad yang telah mengumumkan peruntukan kepada 59 ahli Dewan Undangan Negeri Perak secara sama rata dalam pembentangan Belanjawan negeri Perak 2023 pada 22 Disember yang lepas. Bersih menyeru negeri Perak untuk mengambil langkah seterusnya dengan mengkanunkan polisi ini agar ia tidak diubah oleh kerajaan pada masa depan.

Bersih berpandangan bahawa peruntukan ini tidak wajar diberi berdasarkan ehsan perdana menteri, menteri besar, ketua menteri atau kerajaan; sebaliknya ia perlu dikanunkan sebagai undang-undang agar siapa pun yang memegang tampuk kerajaan selepas ini perlu memberikan peruntukan pembangunan kawasan yang saksama kepada semua wakil rakyat tanpa mengira kecenderungan politik.

READ MORE:  MoU kerajaan-pembangkang: Jambatan atau tembok?

Peruntukan pembangunan kawasan adalah hak rakyat dan merupakan mekanisme yang berkesan dalam membantu rakyat menyelesaikan masalah mereka dengan segera. Pemberian peruntukan pembangunan kawasan yang tidak sama rata dan saksama kepada semua wakil rakyat adalah satu hukuman kepada rakyat kerana memilih wakil rakyat yang tidak berpihak kepada kerajaan.

Ketidakadilan ini tidak dapat disembunyikan dengan alasan bahawa peruntukan tetap diperuntukkan kepada kawasan pembangkang cuma wakil rakyat pembangkang yang tiada kuasa untuk mengesyorkan penggunaannya. Penganaktirian wakil rakyat pembangkang adalah mentaliti kolot autoritarian legasi Barisan Nasional yang tidak harus dikekalkan walau satu hari lagi. Hal ini tidak wajar diteruskan lagi oleh ‘kerajaan perpaduan’ yang mentadbir sekarang dan menampilkan diri sebagai reformis. – Bersih

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support our work by making a donation. Tap to download the QR code below and scan this QR code from Gallery by using TnG e-wallet or most banking apps:
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Newest
Oldest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x