Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0), Engage dan Tindak Malaysia akan memantau pilihan raya kecil P078 Cameron Highland dari 12 hingga 26 Januari 2019 dan akan bekerjasama untuk memerhati serta melapor kesalahan pilihan raya.
Seramai 26 pemantau akan bertugas sepanjang tempoh kempen untuk memerhati aktiviti kempen calon serta parti-parti politik serta pelaksanaan pilihan raya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya.
Kami memberi amaran kepada semua calon dan parti politik yang akan bertanding pada pilihan raya kecil ini untuk tidak membuat kesalahan pilihan raya semasa kempen mereka daripada 12 hingga 25 Januari.
Sebagai tanda iltizam mereka untuk mengangkat integriti pilihan raya dalam era Malaysia baharu ini, kami akan menjemput semua calon secara terbuka menandatangani aku janji bagi memastikan pilihan raya yang bersih dan adil semasa kempen pilihan raya mereka.
Aku janji tersebut adalah untuk memastikan calon-calon menjalankan kempen mereka dengan etika yang bersih dan adil, bebas rasuah seperti pemberian wang atau hadiah, bebas pengaruh tidak wajar seperi makan malam percuma, konsert percuma, salah guna jentera dan sumber kerajaan, serta manipulasi sentimen perkauman dan keagamaan bagi mencetuskan kebencian dan keganasan.
Satu sidang media akan dibuat untuk menandatangani aku janji tersebut pada hari penamaan calon, 12 Januari 2019 jam 1pm. Calon yang hadir dan menandatangani janji tersebut akan diberikan masa untuk berucap kepada media berkenaan iltizam mereka untuk pilihan raya adil dan bersih serta iltizam mereka kepada politik bersih sekiranya mereka dipilih kelak.
Siaran langsung tandatangan aku janji calon-calon pilihan raya kecil akan dibuat melalui siaran langsung Facebook. Kami juga yakin tindakan ini akan membantu pengundi di Cameron Highlands untuk mengetahui dengan lebih lanjut komitmen calon terhadap pilihan raya bersih dan politik bersih.
Walaupun harapan orang ramai sangat tinggi pasca pilihan raya umum 2018 untuk melihat pilihan raya yang bersih dan adil, namun melihat kepada empat pilihan raya kecil sebelum ini, perlakuan kesalahan pilihan raya masih dilakukan secara berterusan dan tidak berkurang.
Maka pada pilihan raya kecil kali ini kami tidak akan teragak-agak untuk melaporkan kesalahan pilihan raya kepada pihak berkuasa, termasuk polis, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia.
Bersih 2.0 juga mengajak orang ramai, termasuk mereka yang tinggal dan bekerja di Cameron Highland untuk menyokong pemantau pilihan raya kecil dengan menjadi mata dan telinga kepada tiga organisasi pantauan ini. Saksi kesalahan pilihan raya sangat digalakkan untuk membuat aduan kepada Bersih 2.0 pada talian berikut:
- Hotlines: 03 7931 4444 or 017-872 5418 or 017-872 5419
- Whatsapp : 011-17721546
- Laman Web: aduan.pemantau.org
Our voluntary writers work hard to keep these articles free for all to read. But we do need funds to support our struggle for Justice, Freedom and Solidarity. To maintain our editorial independence, we do not carry any advertisements; nor do we accept funding from dubious sources. If everyone reading this was to make a donation, our fundraising target for the year would be achieved within a week. So please consider making a donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB Bank account number 8004240948.