Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) mengambil maklum pengumuman pembubaran Dewan Undangan Negeri Sabah oleh Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor pada 6 Oktober.
Pembubaran tersebut bermaksud kerajaan negeri sekarang sedang dipimpin oleh kerajaan sementara dan tidak mempunyai kuasa sebagaimana kerajaan biasa.
Amalan terbaik peringkat antarabangsa, antaranya konvensyen negara-negara komanwel seperti Konvensyen Kerajaan Sementara Australia dan Model Commitment for Advancing Genuine and Credible Elections oleh International Idea, International Foundation for Electoral Systems (IFES), National Democratic Institute (NDI), Kofi Annan Foundation dan the Carter Center, menekankan kewajipan kerajaan untuk kekal neutral dalam pilihan raya.
Hal ini mustahak supaya pilihan raya yang dijalankan mempunyai kredibiliti yang tinggi serta bebas daripada pengaruh tidak wajar kerajaan.
Sehubungan dengan itu, Bersih ingin mengingatkan kerajaan negeri yang kini sudah terbubar untuk tidak mengumumkan sebarang peruntukan baharu mahupun terlibat dalam penyampaian peruntukan-peruntukan yang telah dirancang.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara (ALIRAN), Maybank a/c 507246118995 or CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Sekiranya ada majlis tersebut, penjawat awam peringkat negeri boleh menyampaikan kepada mereka yang terlibat tanpa penglibatan daripada ahli-ahli politik.
Bersih juga mengingatkan kerajaan persekutuan supaya tidak melibatkan wakil rakyat penyandang untuk terlibat dalam program-program kerajaan. Ini selari dengan prinsip larangan tiga C yang digariskan oleh Bersih iaitu tidak bersyarat (no condition), tidak berkempen (no campaign) dan tidak membawa calon (no candidate).
Prinsip-prinsip pilihan raya bersih, bebas dan adil perlu diangkat, terutamanya oleh kerajaan persekutuan yang mengangkat nilai-nilai reformasi demokrasi dan perundangan.
Sumber-sumber kerajaan yang datang daripada rakyat tidak boleh digunakan untuk memberi kelebihan yang tidak adil kepada pihak tertentu terutamanya kepada parti pemerintah.
Bersih menyeru para calon dan parti politik untuk berkempen dengan adil, tanpa menunggang jentera dan sumber kerajaan untuk mencari kemenangan. Penyalahgunaan kuasa dan dana awam demi kepentingan politik adalah satu pengkhianatan terhadap amanah rakyat.
Jika kerajaan benar-benar yakin dengan sokongan rakyat, bertandinglah secara bersih, bukan dengan memanipulasi kuasa yang datang daripada rakyat sendiri.
Rakyat Sabah berhak kepada pilihan raya yang tulen, bukan sandiwara politik yang dicemari habuan dan pengaruh tidak wajar.
Bersih menyeru seluruh rakyat Sabah untuk bangkit bersama dalam usaha memastikan pilihan raya negeri kali ini sejatinya bersih, bebas dan adil.
Bersih menyeru kepada rakyat Sabah untuk menyertai inisiatif Pemantau Pilihan Raya Bersih kerana masa depan Sabah dan maruah demokrasi kita bergantung kepada keberanian rakyat untuk memantau, bersuara dan menuntut keadilan.
Sila berdaftar sebagai Pemantau Pilihan Raya Bersih. – Bersih
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme

