
Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) memandang serius beberapa pelanggaran prinsip pilihan raya bebas dan adil yang telah berlaku sepanjang tempoh kempen pilihan raya kecil Ayer Kuning.
Bersih ingin mengangkat tiga insiden yang boleh dianggap sebagai penyalahgunaan sumber kerajaan, serta taktik yang menjejaskan integriti proses pilihan raya dengan berkempen secara tidak adil.
Antara kesalahan tersebut adalah:
Pengumuman bersyarat oleh kerajaan persekutuan
Timbalan PM Zahid Hamidi, dalam satu kenyataan pada 12 April, berikrar bahawa projek pembangunan di Ayer Kuning akan diteruskan sekiranya calon Barisan Nasional menang pilihan raya kecil ini.
Pengumuman bersyarat sebegini merupakan satu bentuk penyalahgunaan sumber kerajaan untuk mempengaruhi undi secara tidak wajar oleh pihak kerajaan persekutuan.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Taktik ini adalah taktik kotor yang sepatutnya tidak diulangi oleh kerajaan “Madani” yang katanya mengangkat slogan keadilan.
Pemberian duit raya semasa tempoh kempen pilihan raya
Dalam satu program ramah mesra anjuran Lembaga Pertubuhan Peladang di Tapah, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu telah dilihat menyampaikan pemberian duit raya kepada hadirin.
Walaupun pemberian ini melalui agensi kerajaan, pemberian sebegini dalam tempoh kempen dan di kawasan pilihan raya kecil boleh ditafsir sebagai bentuk pemberian yang mempengaruhi pengundi, yang boleh menjadi kesalahan di bawah Seksyen 10 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
Kerajaan persekutuan perlu mengambil ibrah daripada petisyen pilihan raya yang menyebabkan pilihan raya kecil Kuala Terengganu dan Kemaman sebelum ini.
Penggunaan jentera kerajaan untuk berkempen
Kehadiran menteri besar Perak dalam program rasmi kerajaan seperti “Town Hall Bersama Anak Muda” di Kompleks Sukan Tapah, bersama calon pilihan raya, jelas menunjukkan penyalahgunaan jentera dan fasiliti kerajaan untuk tujuan kempen.
Ini melanggar prinsip asas pemisahan antara kerajaan dan parti serta menyalahgunakan kelebihan sebagai penyandang jawatan untuk memberi kelebihan tidak adil kepada calon tertentu.
Bersih mempersoalkan tempat dan masa program ini dijalankan kerana kerajaan negeri Perak sudah tentu sedia maklum bahawa majlis tersebut adalah ketika tempoh berkempen.
Bersih menggesa agar Suruhanjaya Pilihan Raya mengeluarkan garis panduan yang jelas kepada kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan semua pihak yang terlibat agar kempen pilihan raya berlangsung secara adil dan bersih.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia juga perlu menjalankan siasatan berhubung kemungkinan wujudnya unsur rasuah politik dalam pemberian serta pengumuman yang dibuat sepanjang kempen.
Kerajaan, sama ada di peringkat negeri atau persekutuan, harus menunjukkan komitmen terhadap prinsip pemisahan kuasa antara parti dan pentadbiran dengan tidak memperalatkan agensi atau dana awam demi kepentingan pilihan raya.
Bersih ingin menegaskan bahawa sebarang bentuk salah guna kuasa semasa pilihan raya bukan sahaja mencemarkan demokrasi, malah menjauhkan rakyat daripada kepercayaan terhadap sistem pilihan raya.
Semua pihak perlu berusaha untuk memastikan pilihan raya kecil Ayer Kuning berlangsung secara adil, telus dan bersih. – Bersih
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme