Home Coalitions Clean and Fair Elections Tolak pilihan raya awal sebagai alat mencampuri proses kehakiman

Tolak pilihan raya awal sebagai alat mencampuri proses kehakiman

Join us on Telegram and Instagram for the latest.

[ENGLISH VERSION BELOW] Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menolak desakan sebahagian pihak di dalam Umno untuk mengadakan pilihan raya umum dengan segera bagi menyelamatkan kleptokrat daripada pengadilan di mahkamah.

Bersih menggesa semua parti untuk mewujudkan suatu konvensyen perlembagaan, yakni parlimen berpenggal tetap, dengan meneruskan sidang Parlimen ke-14 sehingga 15 Julai 2023.

Bersih merasa was-was dengan pembentangan Belanjawan 2023 yang dibawa ke depan selama tiga minggu pada 7 Oktober, menimbulkan spekulasi bahawa Parlimen akan dibubarkan secara tidak bertanggungjawab keesokannya bagi memancing undi dengan tawaran mengiurkan tetapi tiada jaminan dalam Belanjawan yang tidak diperbahaskan.

Bersih menyelar mereka yang bermuka tebal menuntut Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob untuk memohon ampun bagi Najib Razak dan membubarkan Parlimen. Terang lagi bersuluh bahawa mereka mahukan sebuah kerajaan baharu yang akan memohon ampun bagi Najib, menekan para hakim malah mungkin menarik balik pendakwaan untuk kes-kes rasuah yang lain.

Sekiranya penyokong kleptokrat berjaya, maka gejala dua darjat akan terinstitusi – politikus kerajaan akan terselamat daripada sebarang akibat selepas melanggar undang-undang dan merompak rakyat, selagi mana mereka memenangi pilihan raya.

Penginstitusian perlindungan kepada kleptokrat bukan sahaja menghancurkan kedaulatan undang-undang dan masyarakat, malah ekonomi juga kerana perniagaan dan pelaburan yang jujur akan meninggalkan negara beramai-ramai, sekali gus menenggelamkan negara dalam petaka.

Bersih menggesa Perdana Menteri Ismail Sabri berdiri teguh dengan janji beliau untuk tidak mencampuri urusan kehakiman dengan menolak desakan pilihan raya umum diawalkan. Beliau perlu ingat mandat beliau adalah daripada Parlimen dan bukannya Umno.

Perdana menteri perlu segera melaksanakan reformasi utama bagi melindungi Malaysia daripada kleptokrat. Paling mustahak adalah pemisahan pejabat pendakwa raya daripada Jabatan Peguam Negara untuk menghapuskan pendakwaan terpilih dan kekebalan pendakwaan oleh peguam negara yang merupakan lantikan politik, di mana keputusannya mungkin dipengaruhi oleh pertimbangan politik.

READ MORE:  Sabah and Sarawak: 35% parliamentary seats fair?

Jika selepas pilihan raya umum, peguam negara menarik balik pendakwaan ke atas Najib dalam keempat-empat kes yang lain, tiada apa-apa yang boleh dibuat oleh hakim dan Najib menjadi bebas selepas pengampunan atas kes SRC International.

Reformasi lain yang mendesak adalah seperti undang-undang pembiayaan politik yang akan memberikan pendanaan awam kepada parti politik bagi mengurangkan kebergantungan kepada dana kotor, pelantikan jawatankuasa pilihan khas untuk meneliti setiap kementerian (departmental commitee) dan reformasi undi tidak hadir bagi pengundi luar negara dan luar kawasan bagi menaikkan peratusan keluar mengundi.

Semua reformasi ini akan mengambil masa berbulan-bulan untuk dilaksanakan sekiranya semua pihak berkepentingan diberikan masa yang cukup untuk memberi input, maka Parlimen ke-14 ini perlu berlangsung sehingga 15 Julai 2023. Ini akan memulakan konvensyen Parlimen berpenggal tetap yang baharu.

Dengan parlimen berpenggal tetap, setiap parlimen akan bertahan sehingga penghujungnya dan pembubaran hanya dibenarkan dalam dua keadaan:

  • apabila kerajaan hilang keyakinan di Parlimen dan
  • apabila dua pertiga parlimen bersetuju untuk pembubaran awal

Melalui parlimen berpenggal tetap, tarikh pilihan raya biasanya adalah tetap. Ini akan menyumbang kepada kestabilan politik dengan tidak menggalakkan percubaan politik dan pengiraan yang singkat. Ini juga akan memudahkan orang ramai, terutamaya anggota polis, guru dan penjawat awam yang lain yang terlibat dengan pengurusan pilihan raya, malah wartawan juga, dalam merancang percutian keluarga malahan kenduri kahwin mereka.

Kami menyeru perdana menteri dan semua parti bekerjasama bagi membawa lebih banyak reformasi institusi yang diperlukan untuk kestabilan politik antara sekarang hingga 15 Julai 2023. – Bersih

AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support our work by making a donation. Tap to download the QR code below and scan this QR code from Gallery by using TnG e-wallet or most banking apps:


The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments

Most Read

0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x