Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) merujuk kepada kenyataan media daripada Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh yang mempersoalkan nama yang meragukan berada di dalam senarai daftar pemilih tambahan. Terdapat dua nama yang pelik seperti “Deseased” dan “Expired” yang berada di dalam senarai daftar tersebut dan kebetulan kedua-duanya daripada Johor.
Bersih menggesa agar pihak kerajaan terutamanya perdana menteri untuk segera menubuhkan satu jawatankuasa bebas audit daftar pemilih bagi menyemak dan mengaudit daftar pemilih.
Jawatankuasa audit daftar pemilih ini sangat mustahak untuk ditubuhkan bagi memastikan integriti daftar pemilih tidak diragukan terutamanya dengan pelaksanaan pendaftaran pemilih secara automatik dan ‘Undi 18’ yang menyaksikan pertambahan pengundi sebanyak 5.8 juta menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 21.1 juta pemilih. Jawatankuasa audit daftar pemilih ini perlu melibatkan semua pihak termasuklah pembangkang, pakar pilihan raya dan pertubuhan masyarakat sivil.
Bersih juga menggesa agar pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Jabatan Pendaftaran Negara menyiasat perkara ini memandangkan kedua-dua agensi ini bertanggungjawab dalam pendaftaran nama ke dalam senarai daftar pemilih. Pihak SPR juga perlu lebih teliti dalam memastikan nama-nama yang dimasukkan ke dalam senarai daftar pemilih adalah nama yang sahih dan tidak meragukan.
Kebersihan senarai daftar pemilih adalah asas utama kepada pelaksanaan pilihan raya yang bersih dan adil. Keyakinan pengundi kepada integriti senarai daftar pemilih amat penting supaya proses dan keputusan pilihan raya dapat diterima oleh semua pihak. – Bersih
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme