
Global Bersih mengucapkan ribuan terima kasih kepada pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) Mohd Hashim Abdullah kerana telah menjelaskan peranan Pos Malaysia Bhd dalam proses undi pos serta telah memaklumkan bahawa Pos Malaysia telah memberikan jaminan kepada SPR dari aspek keselamatan dan kerahsiaan, di mana pengendalian penghantaran diklasifikasikan sebagai prosedur pengeposan berdaftar melalui rangkaian Pos Laju.
Walaupun kami mengalu-alukan jaminan tersebut, Global Bersih ingin menekankan bahawa tanggungjawab untuk memastikan kertas undi sampai tepat pada masanya kepada pengundi luar negara agar mereka mempunyai tempoh masa yang mencukupi untuk memastikan undi mereka sampai ke tempat yang sepatutnya sebelum 5 petang sewaktu hari pengundian adalah masih di bawah bidang kuasa SPR.
Semasa pilihanraya umum 2013 yang lalu, tempoh masa antara pembubaran Parlimen dan penamaan calon adalah dua minggu, dan dua minggu juga antara tarikh penamaan calon dan pengundian. Ini bermaksud hanya lebih kurang tempoh dua minggu diperuntukkan untuk undi luar negara dan ianya amat berisiko tinggi.
Dengan ini, Global Bersih mendesak pengerusi SPR Mohd Hashim Abdullah untuk memastikan agar diperuntukkan tempoh minimum selama 28 hari supaya kertas undi luar negara yang telah ditanda dapat diterima dan dipulangkan kepada pihak yang berkenaan pada masa yang tepat.
Kami juga amat kecewa apabila kos untuk memulangkan kertas undi yang telah ditanda terpaksa ditanggung sendiri oleh pengundi. Oleh itu, kami juga mendesak agar pihak SPR menyediakan kertas undi prabayar kepada para pengundi luar negara untuk menampung kos penghantaran kertas undi mereka.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Global Bersih juga mengkritik tindakan SPR yang tidak menyediakan prosedur yang tetap untuk pengundian luar negara. Sebaliknya, rakyat Malaysia di luar negara tidak diberi penerangan tentang proses pengundian luar negara setiap kali pilihan raya tiba, sehinggalah tamatnya pilihan raya.
Tambahan pula, dalam kenyataan media sebelum ini, pengerusi SPR telah berjanji untuk melantik pemerhati tempatan dan antarabangsa untuk pilihan raya umum tahun ini. Global Bersih menyokong serta mengalu-alukan penambahbaikan ini dan menginginkan jaminan agar pemerhati yang sama meneliti pemberian, pemulangan dan pengiraan kertas undi.
Kami juga ingin mendesak kerajaan Malaysia untuk menjemput negara-negara Komanwel untuk menghantar kumpulan pemerhati Komanwel untuk memantau pelaksanaan pilihan raya umum akan datang secara bebas. Inilah masanya untuk menunjukkan kredibiliti yang baik untuk Malaysia mengambil tempat sebagai pengerusi Komanwel pada tahun 2020.
Seterusnya, Global Bersih mengharapkan jaminan daripada SPR supaya pemerhati tempatan dan antarabangsa dimasukkan dalam proses pengawasan di Semenanjung Malaysia dan juga Sabah dan Sarawak. Memandangkan Malaysia telah berada di tangga ke 125 dalam World Electoral Freedom Index (Indeks Kebebasan Pilihan Raya Dunia), pembinaan keyakinan terhadap sistem pilihan raya memerlukan masa dan inisiatif daripada pihak SPR. Dengan itu, rakyat Malaysia di luar negara lebih selesa dan terdorong untuk mengambil bahagian dan buang undi semasa pilihan raya umum nanti.
Global Bersih dan Bersih 2.0 juga telah kecewa dengan notis dalam Warta Persekutuan yang menyatakan bahawa rakyat Malaysia yang menetap di Singapura, Selatan Thailand, Brunei dan Kalimantan terus terabai daripada proses pengundian luar negara. Terdapat anggaran 1 juta rakyat Malaysia – atau lebih daripada separuh bilangan warga Malaysia di luar negara yang menetap di kawasan tersebut, dan kebanyakannya di Singapura.
SPR juga harus mempertimbangkan bagaimana pengundi di negara kejiranan seperti Indonesia dan Filipina diberi kesedaran serta dibangunkan sehinggakan mereka mempunyai pengundi luar negara yang lebih banyak berbanding Malaysia.
Pengecualian negara-negara terbabit dalam proses pengundian luar negara menunjukkan sikap lepas tangan dan tidak adil, serta membebankan rakyat Malaysia yang tinggal di kawasan terbabit kerana mereka terpaksa mengeluarkan kos untuk balik ke Malaysia untuk mengundi serta terpaksa mengambil cuti kerja untuk tujuan tersebut.
Oleh itu, kami dengan tegas mendesak pihak SPR agar memberikan secara adil hak mengundi kepada warganegara Malaysia di luar negara.
Global Bersih dan jawatankuasa pemandu Bersih 2.0
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme