
Gerakan Hapus Akta Hasutan (GHAH) kecewa dengan penahanan di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan yang dibuat ke atas tiga individu dikatakan membuat kenyataan menghina di media sosial, berkaitan isu perletakan jawatan Yang Di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V.
Kenyataan jelik yang dikeluarkan terhadap mana-mana individu wajar dikritik, namun ia bukanlah sesuatu yang perlu dianggap satu kesalahan jenayah selagi mana ia tidak mengajak kepada kekerasan.
Ada pun kenyataan jelik yang dibuat keatas raja, terutamanya Yang di-Pertuan Agong, mesti ditangani dan dihentikan, kerajaan boleh menggunakan peruntukan undang-undang lain seperti Kanun Keseksaan, sekiranya perlu.
Kerajaan, melalui kenyataan yang dibuat oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo, telah mengumumkan keputusan mesyuarat kabinet untuk menggantung sementara (moratorium) penggunaan Akta Hasutan, sehingga usul pemansuhan dibentangkan pada siding Parlimen akan datang.
Namun kerajaan membuat U-turn pada 2 Disember, dengan membenarkan semula penggunaan Akta Hasutan.
Suka untuk diingatkan bahawa kerajaan melalui manifesto Pakatan Harapan, di dalam janji 27, telah berjanji untuk menghapuskan Akta Hasutan. GHAH menyeru agar kerajaan berpegang kepada janji, seterusnya menghapuskan segera akta drakonian ini.
Akta Hasutan adalah sebuah akta lapuk, yang digubal oleh penjajah British pada tahun 1948, bagi menahan dan mendiamkan suara rakyat menuntut kemerdekaan. Selain ia menyekat kebebasan, ia juga adalah sebuah akta yang digunakan bagi menahan pejuang-pejuang kemerdekaan, dan terus mengekalkan akta ini adalah satu bentuk penghinaan kepada perjuangan panjang untuk membebaskan negara dari penjajahan.
Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia Bangsa-bangsa Bersatu juga telah secara tegas mengatakan bahawa Akta Hasutan 1948 sebagai “menghalang rakyat Malaysia dari mengekspresikan, secara bebas dan terbuka, kepelbagaian pandangan politik dan idea”. Kita sudah tentu tidak lagi memerlukan akta lapuk ini.
GHAH sekali lagi secara tegas mengulangi tuntutan yang dibuat sejak sekian lama:
- Mansuhkan Akta Hasutan 1948
- Gugurkan semua pertuduhan di bawah Akta Hasutan 1948 dan bebaskan semua tahanan
- Tiada akta gantian lain dengan peruntukan yang sama zalim
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme