Sempena Hari Ibu sedunia, Norlaila Othman dari Pusat Sokongan Keluarga-Gabungan Mansuhkan ISA (PSK-GMI) ingin menarik perhatian seluruh masyarakat dunia tentang isu pencabulan hak asasi yang dahsyat yang sedang mengancam kestabilan institusi kekeluargaan mereka yang dijadikan mangsanya. Seramai 70 tahanan akta zalim ISA di Kem Kamunting kini sedang dicabuli hak asasi mereka, dipisahkan selama beratus-ratus hari, berbulan-bulan, bertahun-tahun, daripada perhatian dan kasih-sayang ibu yang amat menyayangi mereka.
Pada 11 Mei, seluruh dunia meraikan hari yang cukup istimewa bagi kaum wanita iaitu Hari Ibu. Bagi seorang wanita, menjadi seorang ibu adalah satu pengalaman yang sangat berharga yang tidak dapat dibeli oleh wang ringgit. Segala sakit pening, penat lelah, jerih payah seorang wanita yang mengandungkan anaknya, adalah merupakan satu anugerah yang sangat indah bagi menandakan kesempurnaan seseorang wanita. Segala kesukaran dan kesakitan ketika proses melahirkan anak, dengan sekelip mata hilang begitu sahaja tika melihat wajah comel yang dikandung selama sembilan bulan selama ini.
Setiap wanita bergelar ibu, sudah pasti naluri keibuannya, tidak pernah lepas dari perasaan untuk terus-menerus membelai, menjaga, melindungi dan memberi sepenuh kasih-sayang kepada anak yang pernah dikandung dan dilahirkan dengan penuh susah payah. Si ibu pastinya sanggup berbuat apa saja untuk memastikan anak mereka berada dalam keadaan aman, selamat dan sejahtera.
Pada hari ini, PSK-GMI, ingin menarik perhatian seluruh masyarakat dunia, tentang isu pencabulan hak asasi yang dahsyat yang sedang mengancam kestabilan institusi kekeluargaan mereka yang dijadikan mangsanya. Seramai 70 tahanan akta zalim ISA di Kem Kamunting kini sedang dicabuli hak asasi mereka, dipisahkan selama beratus-ratus hari, berbulan-bulan, bertahun-tahun, daripada perhatian dan kasih-sayang ibu yang amat menyayangi mereka.
Bagaimanakah perasaan seorang ibu yang anaknya telah ditahan selama lebih enam tahun? Apakah yang ada di fikirannya selama ini bila anak yang dikasihi, dilemparkan dengan pelbagai tuduhan yang mengaibkan, kemudian dikurung berterusan tanpa pernah diberi sebarang perbicaraan mahupun pembelaan di mahkamah? Dapatkah diselami hati ibu tua itu yang sentiasa resah dan bimbang, bahawa pada suatu hari nanti beliau tidak dapat bertahan lama untuk menunggu bilakah anaknya akan dibebaskan, hingga akhirnya beliau menutup mata buat selama-lamanya?
PSK-GMI juga ingin bertanya, adakah si penguasa ISA tega dan sanggup melihat lebih banyak airmata ibu-ibu yang telah tua dan berusia, terus-menerus tumpah kerana terlalu lama menunggu dan terus menunggu pembebasan yang tidak kunjung tiba? Apakah dosa si ibu tua turut terhukum dengan penahanan tanpa bicara ISA milik Kerajaan BN ini?
Demi kasih sayang anugerah daripada Tuhan, berilah sedikit ruang agar segala perhatian, rasa rindu dan kasih sayang dengan mereka yang telah sekian lama dipisahkan selama ini segera ditautkan kembali, dengan membebaskan kesemua tahanan ISA itu.
Sempena Hari Ibu ini, PSK-GMI mendesak supaya Menteri Dalam Negeri,
- Segera membebaskan semua tahanan ISA yang sedang dikurung
- Segera memansuhkan akta zalim ISA yang menghina nilai-nilai kemanusiaan ini
- Dan segeralah tutup sahaja Kem Kamunting.
Menteri Dalam Negeri tidak akan kerugian apa-apa dengan melakukan sedikit kebajikan iaitu membebaskan rakyat marhaen yang selama ini menderita disebabkan kewujudan akta zalim ini. Berikanlah sedikit kegembiraan pada kaum ibu yang selama ini turut ‘terpenjara’ minda dan perasaan mereka kerana dipisah secara paksa dengan anak kesayangan mereka.
Mansuhkan ISA.
Bebaskan semua tahanan.
Tutup Kem Kamunting.
Norlaila Othman,
Isteri Tahanan ISA,
Pusat Sokongan Keluarga-Gabungan Mansuhkan ISA
12 Mei 2008
Our voluntary writers work hard to keep these articles free for all to read. But we do need funds to support our struggle for Justice, Freedom and Solidarity. To maintain our editorial independence, we do not carry any advertisements; nor do we accept funding from dubious sources. If everyone reading this was to make a donation, our fundraising target for the year would be achieved within a week. So please consider making a donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB Bank account number 8004240948.