Home Coalitions Penang Forum PTMP telah gagal: Batalkan semua perjanjian bersama SRS

PTMP telah gagal: Batalkan semua perjanjian bersama SRS

Dapatkan kumpulan pakar yang bebas serta diiktiraf pihak antarabangsa untuk membuat pelan mobiliti lestari yang tulen yang mengutamakan manusia dan ekosistem

Join us on Telegram and Instagram for the latest.

“Penang Transport Master Plan” yang dicadangkan oleh pihak SRS Consortium telah terbukti gagal.

Pada tahun 2015 kerajaan negeri Pulau Pinang telah mengumumkan bahawa sebuah syarikat yang dikenali sebagai SRS Consortium telah dipilih melalui satu proses yang dikenali sebagai “request for proposals”.

SRS bertanggungjawab sebagai “rakan penyampai projek” (project delivery partner atau PDP) ataupun konsultan yang melaksanakan lakaran pengangkutan yang direka oleh konsultan asal, Halcrow.

Pihak SRS telah mengemukakan cadangan setebal 20 jilid yang menjadikan kos asal pembinaan infrastruktur melambung daripada RM27bn (cadangan Halcrow) kepada RM46bn di bawah cadangan SRS.

Cadangan ini telah menyimpang jauh daripada cadangan serta rekaan asal Halcrow dengan memperkenalkan infrastruktur pembangunan yang mahal, tidak lestari dan mundur seperti lebuh raya mega, pembinaan rel-rel yang tinggi serta sistem monorail yang ketinggalan zaman.

Ramai penganalisis pada masa itu percaya bahawa kos yang melambung tinggi adalah untuk menjustifikasi penambakan tanah seluas 4,500 ekar, yang juga dicadangkan oleh pihak SRS dengan restu kerajaan negeri.

Pelan itu dengan jelas tidak mempromosi mobiliti lestari untuk seluruh negeri. Sebahagian besar masalah adalah bahawa ketiga-tiga rakan kongsi konsortium (kontraktor Gamuda 60% dan dua pemaju hartanah yang berpangkalan di Pulau Pinang) tidak mempunyai pengalaman dalam merangka dan melaksanakan rancangan mobiliti lestari.

Wakil masyarakat sivil daripada Penang Forum juga telah memberi amaran berkali-berkali di mesyuarat Majlis Pengangkutan Pulau Pinang mengenai konflik kepentingan. Akan berlaku konflik kepentingan jika pihak konsultan untuk projek tersebut dilantik sebagai kontraktor untuk projek yang dicadangkan. Selain itu, bagaimana pihak konsultan boleh mengusulkan sebuah pelan yang membolehkan mereka mendapat keuntungan sebagai kontraktor?

Amaran ini menjadi realiti apabila model rakan penyampai projek (project delivery partner) telah digugurkan [untuk penambakan Pulau A]. SRS Consortium serta Gamuda telah muncul sebagai kontraktor penambakan untuk sebahagian Pulau A tanpa melalui tender terbuka. Konflik kepentingan ini sahaja telah menimbulkan banyak tanda tanya.

READ MORE:  You want more land? Scrap Penang South Reclamation; Batu Kawan is your friend

Segala kepura-puraan bahawa PTMP ini adalah untuk infrastruktur pengangkutan telahpun terbongkar. Pada masa ini, orang ramai dapat melihat dengan jelas bahawa semua ini didorong oleh projek penambakan laut di selatan Pulau Pinang – seperti yang diutarakan oleh pengkritik projek mega ini pada awalnya.

Model kewangan yang asal juga telah gagal. Di bawah cadangan asal SRS, Pulau A dan B yang luasnya sejumlah 3,700 ekar seharusnya digunakan untuk membiayai fasa pertama PTMP, iaitu LRT dari Komtar ke lapangan terbang Pulau Pinang dan fasa pertama Pan Island Link sepanjang 19.5km. Projek-projek ini seharusnya bermula pada tahun 2017 dan selesai pada tahun 2021.

Realitinya, penambakan Pulau A secara sedikit demi sedikit tidak akan mampu untuk menampung (membayar) fasa pertama projek PTMP. Secara realitinya, proses penambakan ini hanya mampu untuk membiayai sepanjang 2.4km (bukannya sejauh 19.5km untuk Pan Island Link fasa 1 mengikut model kewangan asal ) di Bayan Baru dan jejambat jalan raya yang jaraknya hanya sepanjang 5.3km yang menghubungkan Pulau Pinang ke Pulau A untuk beberapa tahun akan datang.

Projek mega ini adalah suatu idea yang mundur dan tidak mampu untuk menyelesaikan masalah kesesakan di Pulau Pinang.

Bagaimana projek ini bakal menjadi satu projek pengangkutan yang lestari kepada seluruh negeri Pulau Pinang dalam masa terdekat? Pembangunan yang berteraskan kepada jalan serta lebuh raya bukanlah satu idea yang progresif apabila negara-negara lain sedang berusaha keras untuk mengurangkan perlepasan karbon bagi mencegah perubahan iklim.

Projek penambakan di Pulau A, walaupun secara sedikit demi sedikit, tidak seharusnya dimulakan dan dibenarkan. Projek ini juga bakal menghancurkan perairan yang menjadi sumber penangkapan ikan yang utama. Perairan ini sangat penting dari sudut jaminan keselamatan negeri ini.

READ MORE:  Land reclamation: Where’s Penang’s competency, accountability, transparency?

Komuniti nelayan di Pulau Pinang juga telah menentang projek penambakan ini secara konsisten dan telah mencabar kelulusan penilaian impak alam sekitar di bawah lembaga rayuan. Rayuan tersebut dijadualkan bakal didengar pada bulan Jun tahun ini. Pihak kerajaan negeri Pulau Pinang seharusnya menghormati proses undang-undang serta melalui proses yang sewajarnya.

Penilaian impak alam sekitar yang disemak semula telah dikemukakan pada bulan Januari. Semakan ini berkemungkinan untuk menggambarkan proses penambakan secara sedikit demi sedikit. Penilaian impak ini seharusnya dimaklumkan kepada umum memandangkan projek ini merupakan satu projek penambakan yang kontroversi dan mempunyai impak kepada alam sekitar.

Tanggapan ataupun pemikiran yang mengatakan bahawa kita memerlukan projek penambakan untuk memacu ekonomi negeri adalah satu idea yang salah. Pemusatan industri yang berlebihan pasti akan mempunyai masalahnya yang tersendiri. Sudah pastinya, syarikat-syarikat besar memerlukan insentif cukai dan tanah yang murah untuk beroperasi. Ribuan pekerja bakal perlu ditempatkan berdekatan dengan kawasan projek. Jika pekerja tinggal jauh daripada kawasan projek maka pekerja tersebut perlu diangkut dan perkara ini akan membawa kepada kesesakan dan keperluan untuk membina lebih banyak lagi lebuhraya.

Perusahaan kecil dan sederhana (SME) mempunyai bahagian yang penting dalam membentuk ekonomi negeri. Negeri Pulau Pinang mempunyai banyak bangunan industri dua dan tiga tingkat yang terletak di sepanjang Pulau Pinang dan boleh digunakan oleh SME baru, lantas menyediakan peluang pekerjaan dan memberi peluang kepada masyarakat sekitar. Kerajaan negeri Pulau Pinang seharusnya memberi lebih dorongan kepada sektor SME dan bukannya hanya fokus kepada projek ataupun syarikat yang berintensifkan modal yang besar.

Sekiranya kita telah mengikut pelan lakaran pengakutan Halcrow yang asal, sudah pasti kita sudah membuat langkah kemajuan yang besar dalam memperkenalkan bas transit (rapid) dan tren moden ataupun tram tanpa trek pada masa sekarang. Kita juga mampu untuk memperluaskan pengakutan yang berasaskan air pada hari ini.

READ MORE:  Penang's contested development

Orang awam di Pulau Pinang telah dikecewakan oleh kerakusan pendukung projek ini.

Kerajaan negeri Pulau Pinang sepatutnya menamatkan perjanjian rakan penyampai projek dengan pihak SRS Consortium dan bukannya menandatangani perjanjian tambahan yang menyimpang jauh dan sangat berbeza daripada perjanjian awal ketika pertama kali SRS dipilih sebagai rakan penyampai projek pada tahun 2015.

Konflik kepentingan pihak konsultan yang berperanan sebagai kontraktor (serta pemaju projek) seperti yang telah kami beri amaran seharusnya memberi kesedaran kepada banyak pihak.

Covid-19 seharusnya membuatkan kita memikirkan semula keutamaan kita. SRS “PTMP” yang terbukti gagal serta projek penambakan laut secara besar-besaran ini seharusnya tidak diteruskan. Selain itu, semua perjanjian bersama SRS Consortium perlu dibatalkan.

Kerajaan negeri Pulau Pinang sebaliknya perlu menggunakan kumpulan pakar bebas yang diiktiraf di peringkat antarabangsa untuk merancang rancangan mobiliti lestari yang tulen yang mengutamakan manusia dan ekosistem.

Jawatankuasa pemandu Penang Forum
1 April 2021
Thanks for dropping by! The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

Our voluntary writers work hard to keep these articles free for all to read. But we do need funds to support our struggle for Justice, Freedom and Solidarity. To maintain our editorial independence, we do not carry any advertisements; nor do we accept funding from dubious sources. If everyone reading this was to make a donation, our fundraising target for the year would be achieved within a week. So please consider making a donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB Bank account number 8004240948.
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments

Most Read

0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x