Bahana RUU355

Follow us on our Malay and English WhatsApp, Telegram, Instagram, Tiktok and Youtube channels.

Pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) 1965 yang bakal diusulkan oleh presiden Pas Abdul Hadi Awang dalam sesi parlimen penggal ini jelas telah mencetuskan keresahan dalam kalangan masyarakat.

Usul ini juga turut menerima kritikan hebat daripada sebahagian besar ahli politik, kumpulan-kumpulan sosial dan rakyat kebanyakan.

Aliran, yang berdiri atas prinsip keadilan, kebebasan, dan solidariti, berasa khuatir dengan perkembangan isu ini.

Penyokong RUU355 berulangkali cuba meyakinkan rakyat Malaysia, khususnya masyarakat bukan Muslim, bahawa pelaksanaan pindaan ini tidak akan menjejaskan mereka. Kebanyakan rakyat Malaysia berasakan bahawa undang-undang Syariah sudahpun menjejaskan kehidupan masyarakat bukan Muslim, baik secara langsung mahupun tidak.

Pandangan sebegini ternyata berasas, lebih-lebih lagi apabila kita melihat kes-kes penukaran agama dan hak penjagaan anak yang sentiasa tidak berpihak kepada ibu atau bapa yang mengekalkan agama asal. Anak yang terbabit turut terkesan memandangkan mereka (secara undang-undang) masih lagi tidak sah untuk membuat pilihan sendiri.

Kekhuatiran Aliran terletak pada kewibawaan pelaksanaan undang-undang ini jika pindaan tersebut diluluskan.

Sedia maklum, rata-rata yang disabitkan serta terbeban dengan undang-undang Syariah datangnya dari golongan miskin dan terpinggir. Antara kes yang sering kita dengar membabitkan wanita-wanita yang tersekat dalam proses perceraian yang panjang, kes khalwat (siapa sahaja antara kita yang pernah mendengar berita golongan kaya ditangkap kerana berkhalwat di hotel-hotel berkelas lima bintang?), dan kes transgender.

Para penyokong pindaan ini pula rata-ratanya cuba menenangkan (atau lebih tepat lagi, membungkam) keresahan masyarakat bukan Muslim dan sebahagian masyarakat Muslim yang melihat pindaan ini akan membuka langkah kepada pelaksanaan undang-undang hudud pada masa depan.

Kegelisahan ini juga turut disumbangkan oleh pemerhatian terhadap negara yang melaksanakan undang-undang hudud sepenuhnya seperti Brunei. Baru-baru ini, masyarakat Kristian di Brunei telah dilarang untuk mengadakan sambutan Krismas secara terbuka.

Justeru, para pengkritik masih lagi skeptik dengan hujah yang dikemukakan oleh penyokong pindaan tersebut. Antara lain, ianya juga disebabkan oleh peningkatan ekstrimisme agama dalam perkembangan politik semasa serta pemerintahan autoritarian yang masih kukuh.

Aliran juga berpendapat bahawa sistem keadilan yang bersifat serampang dua mata ini tidak mampu untuk menegakkan keluhuran keadilan di Malaysia. Misalnya, sesebuah kes jenayah yang melibatkan seorang Muslim dan bukan Muslim mungkin akan mempunyai dua hasil penghakiman yang berbeza dan berkemungkinan tidak adil. Seorang Muslim mungkin akan menanggung hukuman yang lebih berat (seperti tempoh penjara yang lebih panjang dan sebatan) berbanding sekutu bukan Muslimnya.

Penerusan serta pengukuhan dua bentuk sistem kehakiman ini akan memperdalam jurang etnik dan agama dalam masyarakat apabila satu-satu kumpulan agama, iaitu Muslim, menerima hukuman yang lebih berat berbanding kumpulan agama yang lain atas kesalahan yang sama.

Apa yang lebih menggusarkan ialah penekanan yang keterlaluan terhadap hukuman — seperti yang cuba dilakukan oleh pindaan ini — yang seolah-olah menonjolkan imej Islam yang bersifat menghukum. Hal yang sedemikian akan menenggelamkan sekian banyak seruan dan saranan dalam Islam yang menekankan aspek pendidikan dan kasih sayang dalam rencana pembinaan masyarakat.

Hukuman berat yang diusulkan dalam RUU355 dilihat telah mengabaikan aspek pendidikan dan pemulihan pesalah. Tambahan lagi, kaedah undang-undang yang memberikan penekanan kepada hukuman tidak dianggap sebagai berkesan. Kajian mendapati bahawa ketegasan sesebuah hukuman tidak akan menyumbang kepada pengurangan kadar jenayah.

Ketidakadilan yang sebegini tidak membayangkan ketinggian sesebuah negara yang meletakkan Islam sebagai agama rasminya, apatah lagi agama Islam sendiri mengutamakan pelaksanaan keadilan. Ini membawa kita kepada keadilan sosial di Malaysia.

Aliran berpegang pada nilai kasih sayang dan keadilan yang dijunjung oleh ajaran Islam dan tradisi wahyu yang lain untuk membimbing kita dalam memperjuangkan nasib orang-orang miskin dan tertindas, baik hak asasi mahupun maruah mereka sebagai seorang manusia.

Dari sudut ini, matlamat untuk membina masyarakat yang adil, makmur, dan penyayang akan membuatkan ketaksuban terhadap hukuman kelihatan tidak munasabah. Rencana murni ini tidak sepatutnya diletakkan hadd (kata tunggal untuk hudud dalam bahasa Arab, bermaksud had atau batas). Ianya perlu diberikan tempat yang sewajarnya dalam masyarakat berbilang bangsa di Malaysia serta menjadi panduan ke arah masa depan yang lebih cemerlang.

Selain itu, Aliran juga resah dengan keghairahan ahli-ahli politik, media, dan sebahagian kumpulan masyarakat sivil yang memberikan perhatian keterlaluan terhadap isu ini sedangkan terdapat isu yang lebih mustahak untuk kita tangani: kebobrokan pemimpin, kes rasuah yang tinggi, pemulihan ekonomi, ketegangan etnik dan agama, serta PRU14 yang bakal tiba.

Hal yang sedemikian membuatkan kita terjatuh ke dalam jerat golongan berkuasa yang berniat untuk mengalihkan perhatian kita daripada isu-isu mustahak di atas.

Aliran menyeru agar seluruh rakyat Malaysia, terutamanya ahli-ahli politik di kedua-dua belah pihak, untuk menggembleng tenaga ke arah matlamat yang lebih besar daripada RUU355. Sudah sampai masanya untuk kita benar-benar menjunjung serta menyemai nilai-nilai mulia seperti belas kasihan, kasih sayang dan keadilan dalam rencana pembentukan masyarakat dan negara.

Jawatankuasa eksekutif Aliran
22 Mac 2017

Diterjemahkan oleh Razan Rose.

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support our work by making a donation. Tap to download the QR code below and scan this QR code from Gallery by using TnG e-wallet or most banking apps:
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Newest
Oldest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x