
Tindakan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) yang menahan dan menyoal siasat penulis Turki, Mustafa Akyol, tanpa sebab yang kukuh baru-baru ini wajar diselar.
Penahanan tersebut sudah tentu merupakan pengalaman ngeri buat Akyol, sekaligus merosakkan imej kebebasan intelektual dan hak asasi di Malaysia.
Penulis tersebut telah dijemput oleh Islamic Renaissance Front (IRF) untuk menyertai siri syarahan dan perbicangan umum berkenaan persoalan kepercayaan, demokrasi, dan keadilan. Ketiga-tiga perkara ini amat dekat dengan kehidupan rakyat terbanyak dan perlu diberikan perhatian.
Pun begitu, status Akyol sebagai seorang intelektual yang diakui di peringkat antarabangsa tidak menghalang badan penguatkuasa agama Malaysia untuk menahannya.
Tindakan ini setidak-tidaknya menggambarkan sikap anti-intelektual yang dimiliki oleh badan penguatkuasa tersebut. Ianya turut memperlihatkan ketidakupayaan atau keengganan badan penguatkuasa agama untuk berwacana dengan Akyol.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Kekurangan semangat intelektual ini menunjukkan bahawa perjalanan menuju ke arah pembentukan masyarakat yang bebas, berintelektual, dan mempunyai daya kefahaman tinggi masih lagi jauh. Tindakan yang mengekang dan mendiamkan kritik seperti dalam kes ini merupakan sesuatu yang tidak masuk akal dalam era internet ini.
Menahan seorang pemikir seperti Akyol yang menjunjung kesefahaman antara agama serta pada masa yang sama menyokong pendukung kebencian seperti Zakir Naik menggambarkan arah tuju negara ini. Sikap pilih kasih tersebut menunjukkan pendirian penguatkuasa agama yang membimbangkan.
Perkara ini menuntut setiap rakyat Malaysia untuk menolak tindakan tersebut bagi mengelakkan faham ekstrimisme agama terus menular. Langkah sebegini tentunya lebih menguntungkan serta mampu memberikan manfaat kepada umat Islam dan bukan Islam di negara ini.
Sudah sampai masanya untuk badan perguatkuasa yang dominan berhenti dari bertindak dengan sewenang-wenangnya menggunakan kuasa mereka untuk menghukum – dan sebaliknya mengemukakan pendapat yang rasional bagi menjamin kesejahteraan umat Islam dan mereka yang berlainan kepercayaan.
Rakyat Malaysia tidaklah bodoh dan mudah terkeliru seperti yang sentiasa digembar-gemburkan oleh pihak berkuasa.
Di tengah-tengah polemik ini ialah badan penguatkuasa yang angkuh dan enggan menerima perbezaan pendapat dalam masyarakat. Ianya menggambarkan kecenderungan penguatkuasa untuk melarang perbezaan pendapat serta memaksa masyarakat menerima perspektif mereka sahaja, terutamanya membabitkan soal kepercayaan.
Perbezaan merupakan lumrah bagi masyarakat yang pelbagai seperti kita. Perkara ini seharusnya dilihat sebagai aset untuk mengembangkan idea-idea yang memanfaatkan masyarakat. Ianya haruslah dilandaskan kepada kefahaman bersama dan bukannya ketakutan dan penindasan.
Suatu perkara yang membimbangkan lewat penahanan Akyol adalah kenyataan tersirat oleh penguatkuasa agama yang menuntut, buat pertama kalinya, agar apa-apa wacana yang bersifat akademik perlu mendapatkan keizinan daripada badan tersebut.
Perkara ini perlu dipersoalkan kembali kerana ia tidak sejajar dengan kebebasan akademik yang dianjurkan di negara ini. Birokrat yang rata-rata tidak mempunyai kepakaran dalam bidang-bidang yang cuba dikekangnya tidak sepatutnya diberikan kuasa wewenang untuk menentukan pemikiran dan wacana berkaitan pembangunan negara.
Penahanan Akyol wajar dikutuk. Penglibatan seseorang dalam wacana intelektual dan menghujahkan pemikirannya dalam ruang awam seperti yang dilakukan oleh Akyol tidak patut menjadi kesalahan.
Jawatankuasa eksekutif Aliran
26 September 2017
Diterjemahkan oleh Razan Rose.
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme