Home Media statements Dukung kesetaraan gender, sokong inisiatif TWOAS di Pulau Pinang

Dukung kesetaraan gender, sokong inisiatif TWOAS di Pulau Pinang

Inisiatif ini merupakan langkah sementara yang dinantikan bagi membantu mengarusperdana representasi politik wanita

Photograph: Christina Morillo/Pexels

Join us on Telegram and Instagram for the latest.

Kerajaan negeri Pulau Pinang mengumumkan inisiatif TWOAS – Top-up Women Only Additional Seats – pada Disember 2020.

Inisiatif TWOAS direka bagi memastikan 30% perwakilan wanita di dalam sidang Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang. Ianya sebuah langkah istimewa yang hanya diguna pakai apabila bilangan wakil rakyat wanita di dewan undangan negeri jatuh di bawah paras 30%. Ianya dibenarkan di bawah Jadual Kelapan di dalam Perlembagaan Negara, yang memberi dewan undangan negeri untuk mempunyai kerusi lantikan.

Langkah ini diperlukan sebagai cara untuk membawa persoalan tentang kekurangan perwakilan wanita di dalam dewan undangan negeri (serta Parlimen). Ianya merupakan sebuah kekurangan bagi demokrasi kita.

Cadangan untuk meningkatkan perwakilan politik wanita dilakukan sejak 1985 lagi melalui Pelan Tindakan Kemajuan Wanita, di bawah Jabatan Hal Ehwal Wanita serta Kementerian Perpaduan Nasional dan Pembangunan Sosial.

Tiga puluh lima tahun kemudiannya, hanya 11.3% wanita menganggotai dewan undangan negeri di seluruh Malaysia. Di Pulau Pinang, bilangannya sedikit tinggi pada 15%, namun masih jauh dari paras minimum 30%, di mana ianya angka kritikal yang diperlukan bagi perwakilan wanita untuk memberi kesan.

Saat menanti perubahan besar-besaran kepada sistem pengundian first-past-the-post (FPTP) kepada sesuatu yang lebih inklusif, inisiatif TWOAS merupakan sebuah langkah sementara yang dinanti-nantikan bagi membantu mengarusperdana representasi politik wanita.

Kelebihannya termasuklah:

  • TWOAS tidak mengganggu sistem sedia ada mahupun memerlukan pilihanraya berasingan
  • Perangkaannya melibatkan perkongsian awal senarai calon wanita TWOAS dengan penggiliran tetap mengikut pilihan semua parti yang terlibat di dalam pilihanraya. Ini bagi memastikan ketelusan di dalam proses lantikan.
  •  Kerusi TWAOS akan diperuntukkan kepada semua parti (termasuklah parti pembangkang) yang menghantar senarai nama calon TWOAS, yang beriringan dengan peratusan undi yang diterima oleh parti politik ketika pilihanraya negeri.
  • TWOAS akan memberi insentif kepada setiap parti politik yang mengeluarkan senarai calon wanita yang biasanya tidak akan dilakukan oleh mereka.

Tambahan lagi, oleh kerana kerusi TWOAS merupakan kerusi tanpa pengundi di seluruh negara, wakil TWOAS akan berkhidmat di seluruh Pulau Pinang, dengan memfokuskan perancangan polisi serta meninjau dan bekerjasama dengan jawatankuasa berdasarkan portfolio bagi meneruskan input legislatif di dalam polisi pentadbiran.

Inisiatif TWOAS dapat membantu membawa pelbagai cabaran yang dihadapi wanita (contohnya, kekurangan sokongan sosial serta keluarga, halangan di peringkat parti politik, reaksi kebudayaan, kekurangan sumber serta prejudis) serta meningkatkan peluang wanita di dalam penglibatan politik.

Salah satu kriteria kelayakan bagi calon TWOAS adalah mereka perlu menghadiri bengkel advokasi gender. Ini bagi memastikan calon TWOAS untuk mempunyai ilmu yang mencukupi serta kemampuan untuk mengartikulasi isu gender secara efektif mengikut portfolio masing-masing.

Aliran, walaubagaimanapun, mencadangkan agar kandungan bengkel ini turut memuatkan sudut pandang keadilan sosial. Bengkel yang sebegini perlu diperkenalkan kepada semua calon TWOAS yang berpotensi tidak mengira parti yang dianggotai mereka. Bahkan, semua ahli dewan undangan negeri juga perlu menghadiri bengkel ini jika kita benar-benar mahukan keadilan serta kesetaraan gender!

Ianya penting untuk diingati bahawa peningkatan perwakilan wanita di dalam dewan bukanlah sekadar bilangan semata-mata. Ianya merupakan sebuah penghormatan kepada wanita yang berpolitik sejak sekian lama, penerimaan bahawa wanita sebagai pasangan setara di dalam membuat dasar serta menghormati perbezaan dan kemampuan kepimpinan mereka. Meningkatnya keterlihatan wanita di dalam politik juga akan memberi kesan kepada bagaimana rakyat melihat kepada kemungkinan di dalam politik, khususnya kepada wanita.

Aliran ingin mengucapkan tahniah kepada kerajaan negeri Pulau Pinang kerana menjadi kreatif dalam tekad mereka terhadap kesetaraan gender, seperti dibuktikan lewat inisiatif TWOAS. Ianya sesuatu yang diperhalusi bukan sahaja bagi meningkatkan perwakilan wanita namun juga memberi manfaat kepada semua parti politik yang terlibat.

Kami mendesak agar semua wakil dewan undangan negeri untuk memberi sokongan bipartisan kepada inisiatif ini serta melakukan apa yang sepatutnya bagi menjadikan TWOAS sebuah kejayaan di Pulau Pinang.

Ahli jawatankuasa Aliran
21 Februari 2021

Terjemahan oleh Zikri Rahman

Thanks for dropping by! The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

Our voluntary writers work hard to keep these articles free for all to read. But we do need funds to support our struggle for Justice, Freedom and Solidarity. To maintain our editorial independence, we do not carry any advertisements; nor do we accept funding from dubious sources. If everyone reading this was to make a donation, our fundraising target for the year would be achieved within a week. So please consider making a donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB Bank account number 8004240948.
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments

Most Read

0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x