Home Media statements Hari Wanita Sedunia 2019: Perjuangan untuk hak yang sama rata diteruskan

Hari Wanita Sedunia 2019: Perjuangan untuk hak yang sama rata diteruskan

Women marching in Chiang Mai, Thailand to mark the 100th anniversary of International Women's Day - Photo courtesy of Mizzima

Follow us on our Malay and English WhatsApp, Telegram, Instagram, Tiktok and Youtube channels.

Sambutan Hari Wanita Sedunia jatuh pada tanggal 8 Mac. Ia adalah hari di mana pencapaian wanita diraikan dan juga menandakan perjuangan untuk hak wanita diteruskan.

Tema tahun ini #SeimbanguntukSejahtera merujuk kepada penyertaan dan perwakilan wanita yang lebih baik, bukan hanya di tempat kerja tetapi di dalam semua bidang yang diceburi.

Di Malaysia, kita telah menyaksikan banyak pencapaian wanita dan kemajuan dalam memerkasakan dan memberikan hak sama rata kepada wanita. Kami amat memuji tindakan-tindakan ini.

Wanita diberikan hak untuk mengundi, dan melalui hak tersebut, wanita mengambil bahagian dalam pilihan raya yang membawa perubahan dalam kerajaan.

Namun begitu, kita masih melihat pergelutan dan tentangan terhadap wanita di dalam perwakilan dan pemerkasaan politik masih berterusan. Pelbagai alasan diberikan di arena politik termasuk kerajaan tempatan apabila tuntutan terhadap 30% kuota ahli politik wanita dibangkitkan. Kami tahu perit getir yang dialami oleh pemimpin-pemimpin wanita dalam mendapatkan penghormatan, kerjasama dan sokongan orang-orang di sekeliling mereka.

Kami menyokong hak wanita untuk bekerja dan mencari nafkah, untuk diperkasakan secara ekonomi, untuk mempunyai kewangan yang stabil dan untuk berdikari. Namun kita tahu ini bukanlah realiti bagi ramai wanita. Pekerjaan tertentu dinilai lebih dari perkerjaan lain, dan dalam hierarki pekerjaan, diskriminasi dan keburukannya adalah sedia ada, terutama sekali bagi kerja-kerja kasar dan kerja yang berkaitan dengan sektor penjagaan, di mana sering tidak diiktiraf dan tidak dibayar atau dibayar rendah.

Kami tahu ketidakpastian dalam pekerjaan dan eksploitasi yang dialami oleh pekerja yang bekerja melalui sistem kontrak seperti pembersih dan pengawal keselamatan di sektor swasta dan awam. Ini jelas menunjukkan keperluan untuk menentukan apa itu konsep pekerjaan, bagaimana ia diukur dan bagaimana ia dinilai untuk menjadi pemerkasaan ekonomi yang sejati bagi wanita.

Kami memuji kadar peningkatan dalam penyertaan wanita dalam tenaga buruh; namun kami juga tahu bahawa isu upah yang berpatutan dengan kerja yang dilakukan tidak ditangani. Gaji minimum tidak sepadan dengan kenaikan kos sara hidup di negara ini.

Adakah kita mempersoalkan dan membincangkan isu kerja rumah dan penjagaan kanak-kanak, orang tua dan orang yang sakit dalam keluarga yang kebanyakannya diletakan di atas bahu wanita? Kami menyedari keengganan dalam membina norma tanggungjawab bersama dalam keluarga. Kami juga menyedari kekurangan akses, kemampuan dan kualiti dalam kemudahan penjagaan kanak-kanak untuk kebanyakan keluarga yang bekerja, sama ada di sektor swasta, awam atau tidak formal.

Kita dengan bangganya menyatakan bahawa kita mempunyai undang-undang yang melindungi wanita daripada keganasan dan menyelaraskan ketidakseimbangan. Namun begitu, kita masih kekurangan usaha yang wajar daripada agensi-agensi kerajaan yang terlibat dalam memastikan akses kepada wanita untuk perlindungan, sokongan dan keseimbangan undang-undang.

Kita juga terus melihat wanita dipersalahkan di atas keganasan yang terjadi ke atas mereka – samada keganasan disebabkan oleh pakaian atau tingkah laku mereka atau apabila mereka keluar tanpa diiringi. Dan terkini, kita telah menyaksikan keganasan yang dilakukan negeri terhadap wanita dalam bentuk menghukum rotan di mahkamah syariah.

Kami memuji dan menyokong penekanan untuk wanita dan kanak-kanak perempuan menjadi unggul dalam semua bidang. Namun kami juga tahu bahawa mereka berterusan menerima mesej-mesej halus (dan kadang-kadang terang-terangan). Mesej-mesej tersebut seringkali dijumpai di sekolah, iklan, ruangan komen dan perbincangan di media sosial atau melalui tafsiran budaya dan agama yang mendorong ideologi menurut perintah. Ini bukan sahaja menghalang kemajuan wanita tetapi juga bertujuan untuk membentuk wanita ke dalam acuan tertentu.

Kita menghargai anak-anak kita dan berjanji akan bekerja demi kepentingan mereka. Namun kita terus melihat eksploitasi kanak-kanak terutama sekali kanak-kanak perempuan, apabila dia dikahwinkan diusia muda, apabila dia terlalu muda untuk memahami sepenuhnya atau memenuhi tanggungjawabnya dalam hubungan atau dalam memulakan keluarga. Terlalu muda untuk memahami dan menegaskan haknya, berdikari dan autonomi dalam hubungan hanya akan meningkatkan risiko didera. Apakah masa depannya?

Malaysia, berbanding beberapa negara lain di seluruh dunia, telah menyaksikan kemajuan untuk wanita – contohnya, peningkatan taraf kesihatan dan pencapaian pendidikan. Di permukaan, wanita di Malaysia nampaknya mempunyai pelbagai kebebasan termasuk kebebasan untuk mengundi, memandu, memohon pekerjaan, memiliki harta, mewarisi harta, bekerja di luar rumah dan melancong dengan bebas.

Tetapi jika kita hanya mengambil masa untuk benar-benar mendalami kehidupan wanita yang berlainan di sekeliling kita – ibu tunggal, ibu yang tidak berkahwin, wanita tua, wanita kurang upaya, wanita asli, wanita pelarian, pekerja asing perempuan, isteri asing, wanita di luar tanggapan gender, wanita terbiar dari segi sosio-ekonomi dan bahkan beberapa wanita kelas mewah – kita akan tahu bahawa perjuangan hak-hak wanita serta autonomi dan agensi wanita tidak lagi selesai.

Realitinya setiap wanita mempunyai kisah hidup yang berbeza dan seringkali cerita mereka mempunyai pelbagai lapisan diskriminasi. Kebanyakan diskriminasi ini adalah gabungan faktor-faktor termasuk patriarki, seksisme, xenophobia, perkauman, ekstremisme agama dan sistem ekonomi global yang melebihkan keuntungan dari kepentingan orang ramai dan pembangunan mampan. Kita perlu mengakui kewujudan faktor-faktor ini dan hakikat bahawa wanita lebih terjejas oleh faktor-faktor ini daripada lelaki.

Tema Hari Wanita Sedunia 2019 #SeimbanguntukSejahtera perlu datang dengan lensa yang jelas melihat lapisan tahap diskriminasi yang dihadapi oleh wanita dan bukan hanya terhad kepada kesetaraan gender (iaitu kesamaan dari segi bilangan). Ianya memerlukan sasaran yang berterusan dan usaha untuk merungkai factor-faktor termasuk struktur sistematik yang mana terus menerus menyebabkan lapisan diskriminasi ini. Ia adalah perjuangan yang berterusan.

Dan pada 8 Mac, kita sememangnya meraikan Hari Wanita Sedunia, menandakan kemajuan yang telah berlaku bagi ramai wanita.

Tetapi jangan lupa, untuk mengubah realiti yang dihadapi oleh majoriti wanita di Malaysia dan di seluruh dunia, perjuangan untuk kesaksamaan substantif mesti diteruskan. Ia mestilah menjadi visi perubahan untuk semua orang.

Teruskan percaya bahawa dunia mampu berubah.

Selamat Hari Wanita Sedunia.

Prema Devaraj
Presiden Aliran
10 Mac 2019

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support our work by making a donation. Tap to download the QR code below and scan this QR code from Gallery by using TnG e-wallet or most banking apps:
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Newest
Oldest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x