
Aliran menggesa kerajaan negeri membatalkan rancangan untuk menambak tanah bagi mewujudkan tiga pulau buatan di luar pantai selatan Pulau Pinang.
Jabatan Alam Sekitar telah meluluskan penilaian impak alam sekitar untuk projek kontroversi itu, yang tertakluk kepada 71 syarat.
Para penyokong mahu memulakan kerja berkaitan projek itu lewat tahun ini sebaik pelan pengurusan alam sekitar diluluskan. Namun, nelayan di selatan Pulau Pinang telah berikrar untuk meneruskan perjuangan mereka menentang projek itu.
Rasional bagi penambakan 4,500 ekar juga telah berubah.
Pada 2015, kerajaan negeri Pulau Pinang memilih Konsortium SRS yang diketuai Gamuda sebagai “project delivery partner” (rakan kongsi penyiapan projek) untuk melaksanakan projek infrastruktur pengangkutan bernilai RM46bn di bawah cadangan SRS yang dipanggil PTMP (Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang). (Ini jauh berbeza dan lebih mahal daripada apa yang disarankan oleh perunding Halcrow terdahulu dalam rangka tindakan pengangkutannya.)
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Penyokong cadangan SRS mewajarkan idea PTMP dengan mengatakan ia akan menjadi projek yang mampu dibiayai sendiri. Mereka mendakwa tiada dana awam diperlukan selain pinjaman penyambung (bridging loans) yang kecil untuk modal kerja, kerana penjualan tanah tebus guna akan mencukupi bagi membiayai projek pengangkutan.
Di bawah fasa satu, kerajaan negeri sepatutnya menjual tanah tebus guna dari Pulau A dan B untuk mengumpul dana bagi membiayai sistem landasan bertingkat tunggal (elevated light rail system) lapangan terbang Pulau Pinang-Komtar RM10bn dan lebuh raya Pan Island Link bernilai RM9bn yang cukup berisiko dari segi ekologi. (Pulau C akan ditebus semula dalam fasa dua.)
Namun, model pembiayaan itu telah sepenuhnya gagal. Pasaran hartanah yang lembap dan kadar penambakan yang lebih perlahan bermakna Pulau A (atau sebahagian daripadanya) hanya akan dapat menjana untung bersih melibatkan beberapa bilion ringgit sahaja daripada jualan tanah dalam masa terdekat. Ini jelas tidak mencukupi bagi membiayai projek pengangkutan di bawah fasa satu PTMP yang dicadang oleh SRS.
Jadi kerajaan negeri terpaksa untuk ‘meminta’ daripada kerajaan persekutuan untuk mendapatkan dana untuk projek rel ringan RM10bn sedangkan kita kurang mendengar tentang lebuh raya Pan Island Link sekarang.
Memandangkan hal ini, penambakan besar-besaran itu harus dibatalkan kerana ia tidak memenuhi objektif asalnya yang utama, iaitu untuk mengumpul dana bagi membiayai PTMP SRS.
Sebaliknya, projek gergasi tiga pulau seluas 4,500 ekar itu nampaknya lebih merupakan langkah hartanah bagi pihak kontraktor dan pemaju terpilih. Inilah yang dijangka oleh para pengkritik apabila cadangan itu mula-mula dibentangkan.
Sementara itu, retorik rasmi telah dialihkan secara senyap-senyap: penambakan kini bukan lagi tentang soal mengumpul dana untuk projek pengangkutan. Sebaliknya, ia kini soal menyediakan tanah untuk meningkatkan ekonomi Pulau Pinang. Namun begitu, masih terdapat banyak tanah di tanah besar Pulau Pinang.
Sahabat Alam Malaysia, dalam kenyataannya baru-baru ini, telah pun menyatakan kebimbangan mereka akan impak ekologi sebenar melibatkan tiga pulau itu – jadi kita tidak perlu mengulanginya. Cukuplah untuk kita katakan, kesan terhadap perubahan iklim, kehilangan tempat pembiakan ikan dan akibatnya kepada kemandirian sumber makanan kita adalah serius.
Memandangkan impak ekologi serta hakikat bahawa rasional asal untuk penambakan tidak lagi terpakai, Aliran menggesa kerajaan negeri Pulau Pinang untuk menggugurkan projek tiga pulau itu. Kerajaan negeri juga mesti mendedahkan senarai penuh 71 syarat yang perlu dipatuhinya kepada umum.
Jawatankuasa eksekutif Aliran
27 April 2023
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme