Home Media statements Jangan benarkan Parlimen digantung lagi!

Jangan benarkan Parlimen digantung lagi!

Pembatalan ordinan darurat secara senyap-senyap tampaknya memperlihatkan kerajaan gentar jika rekod pentadbirannya diperiksa

Follow us on our Malay and English WhatsApp, Telegram, Instagram, Tiktok and Youtube channels.

Aliran terkejut apabila mendapat tahu kerajaan secara senyap-senyap membatalkan enam ordinan darurat sebelum bermulanya persidangan yang tertangguh sejak sekian lama.

Kerajaan mendakwa bahawa ia membatalkan ordinan itu pada 21 Julai. Sepertinya, ia dilakukan secara bersembunyi kerana tiada apa yang dilaporkan di dalam gazet kerajaan pada jam 1 tengahari hari ini untuk menunjukkan bahawa ianya sudah dibatalkan.

Pembatalan ini nampaknya dilakukan terlebih dahulu bagi mengelakkan keperluan di bawah Artikel 150(3) di dalam Perlembagaan Persekutuan bagi pengisytiharan darurat serta ordinan untuk dibentang sebelum Parlimen mendebatkannya. Kerajaan barangkali tidak mempunyai keyakinan bahawa ia mempunyai sokongan yang cukup untuk meluluskan resolusi tersebut.

Pembatalan ordinan darurat secara senyap-senyap tampaknya memperlihatkan kerajaan gentar jika rekod pentadbirannya ketika pemerintahan darurat diperiksa. Jelas, mereka gagal menguruskan krisis Covid, yang sudah pun di luar kawalan ketika tempoh Parlimen digantung bermula 12 Januari.

Apakah pembatalan darurat yang sebegini sah jika ianya tidak ditandatangan Agong atau dibatalkan oleh Parlimen? Ada segelintir yang bertanya jika wujudnya kerajaan sejak 21 Julai, jika melihat kepada peruntukan di dalam ordinan darurat yang memberi kuasa kepada pakatan kerajaan diketuai oleh Perikatan Nasional yang sepatutnya menguruskan negara ketika tempoh darurat.

Dan apa yang terjadi kepada semua notis denda yang dikeluarkan pegawai penguatkuasa di antara 21 Julai sehingga sekarang? Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021 membenarkan denda sehingga RM100,000 serta tujuh tahun penjara jika melanggar undang-undang berkaitan Covid.

Melihat kepada isu kritikal melibatkan perlembagaan ini, respon Yang di-Pertua Dewan Rakyat ketika ahli Parlimen pembangkang cuba untuk mencadangkan usul serta debat cukup mengejutkan. “Duduk. Kerana tidak ada seorang pun ahli parlimen yang mendengar cakap saya, saya hanya ada satu perkara untuk dicakap. Saya tidak bersetuju dengan semua yang disebut kamu. Jadi kita teruskan,” itulah yang disebut Yang di-Pertua. Pembawaan sebegini tidak memberikan tanggapan yang baik terhadap Yang di-Pertua sebagai seorang yang sepatutnya tidak partisan.

Apa pun, keseluruhan peristiwa ini memberitahu kita bahawa Parlimen sepatutnya tidak digantung ketika krisis kesihatan. Kuasa sementara yang luas berkaitan kesihatan sepatutnya disediakan oleh kerajaan dengan kelulusan Parlimen tanpa perlu menggantung Parlimen itu sendiri.

Pemerhati bebas akan melihat percubaan kerajaan untuk cuba meneruskan pemerintahan darurat sebagai langkah sinikal bagi mengelakkan undi tidak percaya ke atas Perdana Menteri Mahiaddin Yasin di Parlimen yang mungkin mengakibatkan kerajaannya yang penuh pecahan itu runtuh.

Kekalahan Mahiaddin jika beliau mengusulkan ordinan darurat di Parlimen hari ini pastinya memberikan tamparan hebat kepada tindakan sinikalnya yang sanggup menggantung Parlimen serta melambat-lambatkan persidangan walaupun diingatkan secara berulang-kali oleh Agong. 

Kekalahan ini pastinya akan menjadi satu peringatan tegas kepada semua perdana menteri akan datang yang mungkin terliur untuk menggantung Parlimen serta menggunakan pemerintahan darurat bila-bila masa ketika mereka merasakan kedudukan mereka diancam di dalam Parlimen.

Kami mendesak para ahli Parlimen dan pengamal perundangan untuk memeriksa undang-undang kita dengan halus serta memperketatkannya agar Parlimen tidak lagi digantung.

Ahli Parlimen juga perlu memeriksa semua keputusan dibuat ketika pemerintahan darurat, lebih-lebih lagi melibatkan perbelanjaan kewangan, termasuklah pembelian perubatan, bagi memastikannya berlaku telus.

Saatnya ‘darurat’ sudah berakhir, kami menuntut kerajaan untuk berhenti membuat masalah dan terus fokus untuk menguruskan krisis kesihatan yang serius serta sosioekonomi yang dihadapi rakyat. Rakyat sudah pun terbeban penuh derita.

Masa untuk berlengah sudah tamat. Hentikan penipuan. Berhenti bermain wayang. Kami, rakyat, sedang memerhati dan cukup marah.

Jawatankuasa eksekutif Aliran
26 Julai 2021

Terjemahan oleh: Zikri Rahman

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support our work by making a donation. Tap to download the QR code below and scan this QR code from Gallery by using TnG e-wallet or most banking apps:
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Newest
Oldest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x