Aliran mengutuk sekeras-kerasnya pelanggaran hak asasi manusia di Penjara Taiping di Perak pada 17 Januari 2025.
Pelanggaran dan keganasan yang menimpa tahanan itu telah menyebabkan seorang maut dan berpuluh-puluh lagi cedera.
Kami mengalu-alukan dapatan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia, (Suhakam) yang mengesahkan melalui siasatan awam yang teliti bahawa pihak pengurusan dan kakitangan penjara memikul tanggungjawab langsung atas keganasan yang dilakukan ke atas tahanan pada hari itu.
Siasatan yang berlangsung selama tiga bulan dua minggu itu mendengar keterangan daripada 50 orang saksi dan menerima 127 eksibit.
Panel mendapati kakitangan penjara menggunakan kekerasan fizikal yang berlebihan, termasuk penggunaan batang pemukul dan semburan lada, terhadap 80 hingga 100 orang tahanan Mahkamah Tinggi semasa pemindahan rutin dari Dewan B ke Blok E. Seorang tahanan, Gan Chin Eng, meninggal dunia akibat kejadian itu.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara (ALIRAN), Maybank a/c 507246118995 or CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Suhakam juga mendapati pegawai kanan penjara bersikap cuai dan tidak cekap, serta rawatan perubatan telah disekat daripada tahanan yang cedera.
Malah rekod perubatan telah dipalsukan, manakala laporan polis yang difailkan terhadap tahanan mengandungi maklumat palsu.
Aliran turut terkejut dan dukacita dengan kegagalan sistemik yang diketengahkan dalam laporan Suhakam: kesesakan serius, penahanan reman yang berpanjangan, penggunaan berterusan sistem baldi yang merendahkan maruah manusia, serta kemudahan perubatan yang tidak mencukupi. Ini adalah kegagalan struktural yang menuntut pembaharuan segera.
Kerajaan mesti bertindak dengan segera atas cadangan Suhakam, yang merangkumi tindakan tatatertib terhadap pengurusan dan kakitangan Penjara Taiping, serta peningkatan kemudahan perubatan di semua penjara. Suhakam menyatakan bahawa pihak polis gagal menjalankan siasatan berasingan terhadap tindakan keganasan ke atas para tahanan.
Suhakam juga menyeru agar amalan reman dan pemenjaraan disemak semula, serta agar Malaysia menyertai Konvensyen PBB Menentang Penyeksaan. Aliran menyokong sepenuhnya kedua-dua seruan ini.
Semua pihak yang bertanggungjawab atas kematian Gan dan kecederaan tahanan lain mesti dibawa ke muka pengadilan tanpa berlengah.
Memandangkan betapa seriusnya dapatan ini, Aliran menggesa Jabatan Peguam Negara mempercepatkan semakan kertas siasatan polis dan mendakwa para pesalah di mahkamah.
Apa yang kita perlukan sekarang ialah perlindungan institusi bagi mencegah keganasan dan ketidakadilan pada masa hadapan.
Aliran menyeru agar dilantik seorang inspektor bebas penjara dan pusat tahanan – seperti yang diamalkan di UK, Ireland dan Australia. Pemeriksa itu hendaklah membuat laporan terus kepada Parlimen, bukan kepada pihak eksekutif.
Penjara wujud untuk merehabilitasi, bukan untuk menghukum melalui kekejaman. Penjara tidak boleh sekali-kali menjadi tempat di mana mereka yang diamanahkan untuk menjaga tahanan bertukar menjadi punca kemudaratan itu sendiri.
Keganasan dan pencabulan undang-undang yang didokumentasikan oleh Suhakam merupakan pengkhianatan terhadap tanggungjawab penjagaan negara dan satu penghinaan terhadap supremasi undang-undang.
Kerajaan mesti bertindak sekarang bagi mencegah berulangnya kejadian buruk pada 17 Januari 2025 itu, dan memastikan para pesalah tidak terlepas daripada tindakan sepenuhnya.
Jawatankuasa eksekutif Aliran
27 Mei 2026
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme











