
Aliran gusar dengan pelantikan seorang eksekutif kanan dari Gamuda Bhd baru-baru ini sebagai pengerusi Suruhanjaya Tenaga, iaitu pengawal selia tenaga negara.
Timbalan pengarah urusan Kumpulan Gamuda Rashdan Yusof dilantik sebagai ketua suruhanjaya itu berkuat kuasa 15 Februari.
Peranan Suruhanjaya Tenaga adalah bagi mengawal selia sektor tenaga dalam tiga bidang: peraturan ekonomi, peraturan teknikal dan peraturan keselamatan.
Menurut laman web Suruhanjaya Tenaga, suruhanjaya itu sepatutnya menyediakan peraturan ekonomi untuk “menggalakkan persaingan; membolehkan tingkah laku pasaran yang adil dan cekap serta mencegah penyalahgunaan monopoli atau kuasa pasaran”.
Dari segi peraturan teknikal, suruhanjaya itu sepatutnya “memastikan keselamatan, kebolehpercayaan, kecekapan dan kualiti bekalan dan perkhidmatan” dalam pembekalan tenaga.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Ia juga sepatutnya menyediakan peraturan keselamatan “untuk melindungi industri, pengguna dan orang ramai daripada bahaya” yang timbul daripada sektor tenaga.
Melihat kepada peranan ini, adalah penting untuk Suruhanjaya Tenaga diketuai oleh sosok yang bebas – seseorang yang tidak terlibat dengan mana-mana syarikat tenaga utama.
Pelantikan Rashdan, bagaimanapun, adalah sebuah kes percanggahan kepentingan yang jelas, memandangkan beliau disenaraikan di laman web Gamuda sebagai timbalan pengarah urusan kumpulan dan pengarah ganti kepada pengarah urusan kumpulan Gamuda.
Gamuda ialah pemain utama dalam sektor tenaga boleh diperbaharui (renewable energy), yang membelanjakan sejumlah besar dana untuk perniagaan tenaga boleh diperbaharuinya.
Syarikat itu mempunyai 30% kepentingan dalam ERS Energy, yang merupakan “penyedia utama perkhidmatan turnkey solar sepenuhnya (full-fledged solar turnkey) di Asean …. dengan lebih daripada 695MW kapasiti solar dipasang. Ia kini sedang membina projek berskala utiliti berjumlah 557MW, menjadikan kapasiti agregat kepada 1.2GW.”
Gamuda juga terlibat (melalui 60% kepentingan dalam Konsortium SRS) dalam projek tebus guna tanah utama di Pulau Pinang untuk mewujudkan tiga pulau buatan, juga dikenali sebagai Penang South Islands (PSI). Pulau-pulau buatan ini, yang bertujuan bagi menempatkan kira-kira 400,000 orang, akan memerlukan sejumlah besar tenaga elektrik.
Langganan saham baharu oleh Gamuda bernilai RM200 juta dalam ERS Energy “akan menyaksikan Gamuda muncul sebagai pemegang saham korporat terbesar ERS Energy”.
Firma itu juga “akan memainkan peranan penting dalam menyampaikan aspirasi RE Gamuda untuk projek Penang South Islands (PSI).
“Gamuda juga komited untuk menyampaikan 100% bekalan TBB atas cadangan Taman Teknologi Hijau seluas 283 hektar yang terletak di dalam Pulau A PSI…”
ERS Energy juga sedang membangunkan loji tenaga solar 39MW.
Melihat kepada semua ini, pelantikan Rashdan bukanlah contoh tadbir urus yang baik.
Bagaimanakah syarikat-syarikat dalam sektor tenaga boleh diperbaharui, sebagai contoh, boleh yakin dapat bersaing di atas padang yang rata apabila pengerusi Suruhanjaya Tenaga adalah eksekutif kanan sebuah syarikat yang bertujuan untuk menceburi sektor ini secara besar-besaran?
Ini boleh menjejaskan keyakinan pelabur, terutamanya mereka yang berminat untuk melabur dalam sektor tenaga boleh diperbaharui.
Untuk menggunakan analogi sukan bola sepak, ia samalah seperti melantik penolong jurulatih pasukan bola sepak Argentina atau Perancis sebagai pengadil perlawanan akhir Piala Dunia!
Walaupun terdapat perundangan persekutuan yang jelas berkaitan cara mengendalikan keadaan di mana wujudnya percanggahan kepentingan, mengapa perlu kita melantik seseorang yang latar belakangnya memang akan meletakkannya dalam kedudukan itu?
Ini mencerminkan penilaian buruk di pihak kerajaan dan menimbulkan banyak persoalan tentang cara pengerusi Suruhanjaya Tenaga dipilih.
Pengumuman Perdana Menteri Anwar Ibrahim bahawa beliau akan meneliti pelantikan Rashdan adalah berita yang sangat dialu-alukan.
Aliran menyeru kerajaan untuk membatalkan pelantikan dan memilih seseorang yang bebas untuk mengawal selia sektor penting ini.
Jawatankuasa eksekutif Aliran
15 April 2023
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme
