
Aliran khuatir dengan keputusan kabinet yang bersetuju mendapatkan pelaksanaan darurat.
Ramai yang percaya langkah itu lebih kepada bagi melindungi kedudukan perdana menteri dan kerajaannya dan bukan untuk memerangi rewakan meranah.
Muhyiddin Yassin nampak jelas tidak yakin Bajet yang akan dibentangkannya boleh diluluskan di Parlimen, yang mana akan menjurus kepada kejatuhan kerajaannya. Ketakutan kepada usul tidak percaya yang mungkin terjadi bukanlah sepatutnya jadi asbab kepada pengisytiharan darurat.
Keputusan terburu-buru untuk mendesak pelaksanaan darurat hanya menguatkan rasa bahawa kerajaan Perikatan Nasional tidak punyai bilangan yang cukup dalam Parlimen sekarang ini. Ia dilihat ramai sebagai kaedah untuk menghalang cubaan ambil alih kuasa Anwar Ibrahim dan bagi hentikan langkah politik untuk menyekat Bajet Muhyiddin.
Perintah darurat di kala rewakan meranah ini sepatutnya hanya dijadikan jalan akhir apabila kesemua kaedah yang lain telah jelas gagal – jikalau khidmat kesihatan tidak lagi dapat menampung, bila kadar kematian memuncak dan keselamatan negara dengan serius terancam.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Namun setakat ini, hospital-hospital kita, walaupun sesak, telah kendalikannya dengan baik – atas budi pengorbanan para anggota barisan hadapan kita. Tidaklah bermakna mereka tak dapat kendalikan situasi itu. Hari ini [23 Oktober], kurang daripada 200 kes baharu adalah dari semenanjung. Tiga perempat (528) daripada kes baharu adalah dari Sabah, yang mana ada tangan-tangan tersembunyi yang memaksakan pilihan raya negeri, di waktu langkah-langkah kuarantin telah longgar.
Jika Covid-19 adalah satu ancaman besar, tindak balas kerajaan yang santai terhadap politikus dan yang lain-lain pulang dari Sabah dan dwistandard dalam penguatkuasaan tidak meyakinkan. Lagipun, negeri-negeri ditadbir pembangkang telah disisihkan daripada mesyuarat-mesyuarat utama kawalan rewakan meranah.
Perintah berkurung seluruh negara yang mula-mula dilaksanakan telah terbukti berkesan dalam membendung gelombang pertama jangkitan. Orang awam pada umumnya bekerjasama dengan anggota keselamatan dan kesihatan dan untuk seketika, jangkitan dikurangkan kepada angka rendah dua digit.
Kita tidak perlukan pengisytiharan darurat waktu demikian, dan kita tak perlukannya kini. Walhal banyak negara lain yang terkesan lebih dahsyat oleh rewakan meranah ini, dengan kes-kes jangkitan naik hingga ratusan ribu, pun tidak pilih untuk laksanakan perintah darurat.
Pengisytiharan darurat di sini akan memberi tamparan kepada keyakinan niaga – baik dalam negeri mahupun asing – di waktu bila kita paling tak mampu untuk menampungnya. Banyak syarikat pelaburan berkaitan kerajaan dan lain-lain syarikatnya sedang dalam hutang yang bertimbun: ketua-ketua mereka yang dilantik adalah tidak berpengalaman dan tidak berpengetahuan mengenai operasi firma mereka. Prestasi mereka tidak akan disemak dan ditegur dengan menghentikan Parlimen dan sekatan ke atas aktiviti politik. Keadaan ekonomi yang amat uzur boleh jadi menjurus kepada keadaan sepertimana tersungkurnya 1MDB.
Satu tinjauan keyakinan niaga FMM-MIER mendedahkan bahawa 42% responden dalam sektor pembuatan merancang untuk menghentikan sehingga 30% kaki tangan mereka di akhir tahun ini. Hotel, pusat hiburan, restoran dan sektor pembinaan kesemuanya turut juga terkesan.
Mengenepikan ‘politik’ dari segi akibatnya bermakna meredam kepayahan yang miskin dan yang kini tidak berpekerjaan – suara mereka patutnya diperdengarkan di Parlimen melalui wakil mereka yang telah dipilih.
Perintah darurat akan membolehkan eksekutif untuk meluluskan ordinan tanpa perlu melalui Parlimen. Ordinan ini boleh jadi akan mencabul hak asasi. Ia boleh mengakibatkan kebebasan dan aktiviti lazim harian rakyat terus disekat.
Perintah darurat akan merendahkan sistem semak dan imbang di antara Parlimen, kehakiman, dan eksekutif. Kebebasan akhbar juga akan dikompromi jika disekat semak dan imbang sedemikian. Bagaimanalah dengan kurangnya pemantauan, lebih lagi dalam perbelanjaan dana awam, boleh bantu dalam memerangi rewakan meranah ini?
Walaupun boleh dihujahkan bahawa pengisytiharan akan membenarkan kerajaan persekutuan untuk campur tangan dalam langkah-langkah bagi menyekat rewakan meranah pada peringkat negeri, tiada keperluan bagi pengisytiharan darurat untuk kendalikan perkara ini. Perkhidmatan kesihatan awam dan pasukan keselamatan memang sedia ada di bawah kawalan persekutuan. Malahan, undang-undang seadanya lebih daripada mencukupi untuk menangani rewakan meranah ini.
Masalah sebenar adalah ketidak cekapan kabinet, komunikasi lemah dan dwistandard dalam penguatkuasaan. Menteri Khairuddin Aman Razali, sebagai contoh, telah dilepaskan begitu sahaja walaupun tidak patuh akan kuarantin setibanya dia dari Turki.
Krisis penjagaan kesihatan perlulah dilawan dengan kaedah perubatan, komunikasi berkesan dan sokongan umum yang kuat. New Zealand yang baru sahaja mengadakan pilihan raya, adalah contoh cemerlang kepada apa yang barangkali berlaku bila kepimpinan yang berdaya diadun dengan kemahiran komunikasi berkesan dan sokongan rakyat. Negara itu berjaya dalam menurunkan bilangan kes Covid-19 ke paras minimum – tanpa perlu mengorbankan kelaziman demokratik. Hakikatnya, penyandang jawatan Perdana Menteri, Jacinda Ardern, muncul gemilang dengan majoriti terbesar untuk partinya dalam tempoh 50 tahun.
Menggantung Parlimen memang mudah. Namun bahaya pengisytiharan darurat adalah kuasa yang dipusatkan amat payah untuk dilepaskan, dan ia menjadikan perintah kediktatoran yang tanpa kepastian pengakhirannya.
Melalui keputusan untuk dapatkan perintah darurat, kabinet Muhyiddin mendedahkan kekurangan kepercayaan dan mandat daripada rakyat untuk memerintah di bawah kelaziman demokratik dan kini terdesak hingga memilih kaedah yang merosakkan segalanya.
Aliran menyeru kesemua rakyat Malaysia untuk tidak membenarkan kegelapan menyelubungi tanah air ini. Sebaliknya, kita patut menggesa dengan lantang dan berterusan semua yang berwajib supaya menjulang – bukan menjahanamkan – demokrasi berparlimen di Malaysia.
Jawatankuasa eksekutif Aliran23 Oktober 2020
Diterjemahkan oleh Shazni Bhai
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme
Niat Muhyiddin untuk mengisthiarkan darurat adalah jahat. Hampir semua pemerhati politik negara bersetuju kita tidak perlu darurat .Yang menimbulkan masalah adalah pemimpin politik terutamanya Muhyiddin sendiri dengan percubaan mengambil alih kerajaan Sabah dari Shafie Apdal. Ini menyebabkan pilihanraya negeri di ikuti dengan penularan covid19 secara luas juga kerana ramai pemimpin politik tidak ikut sop. Maka Muhyiddin lah orang utama yang bertanggungjawab untuk kedudukan covid buat masa ini. Beliau seorang bahaya yang akan buat apa sahaja untuk menyelamatkan kerajaan nya yang tidak dapat mandat rakyat. Maka Muhyiddin wajar disinkirkan. Sekiranya beliau terus mentadbirkan negara amalan demokrasi di negara ini akan terus terhakis.