Home Media statements Potensi wujudnya konflik kepentingan serta ‘pinta pusingan’ dalam exco Pulau Pinang

Potensi wujudnya konflik kepentingan serta ‘pinta pusingan’ dalam exco Pulau Pinang

A high-rise project on a hill-slope in Penang

Follow us on our Malay and English WhatsApp, Telegram, Instagram, Tiktok and Youtube channels.

Aliran merasa kurang selesa dengan pelantikan bekas pemaju sebagai ahli majlis eksekutif kerajaan negeri Pulau Pinang yang akan bertanggungjawab ke atas sektor perumahan dan alam sekitar.

S Sundarajoo merupakan timbalan presiden dan timbalan CEO sebuah pemaju hartanah gergasi sebelum beliau menyertai politik.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow yang berkeras bahawa tidak wujud konflik kepentingan dalam melantik beliau untuk bertanggungjawab ke atas kedua-dua portfolio ini cukup membingungkan.

Chow menyatakan bahawa latar belakang luas ahli Dewan Undangan Negeri dari Perai itu di dalam sektor hartanah menjadikannya aset berharga kepada Pulau Pinang. “Kita mesti melihat pengalamannya selama beberapa dekad dalam pembangunan perumahan. Beliau akan menjadi aset (kepada kerajaan) dalam memahami pandangan pemaju serta pandangan teknikal daripada kerajaan.”

Kami tidak menolak Sundarajoo atas kapasiti peribadi. Namun, jika kerajaan Pulau Pinang benar-benar mahu memahami pandangan pemaju serta mempunyai nasihat dari pakar teknikal, ia boleh mengadakan pertemuan dengan mereka daripada melantik bekas pemaju itu untuk portfolio perumahan dalam kerajaan.

Melihat kepada peralihan Sundarajoo baru-baru ini daripada dunia pemaju kepada memegang portfolio perumahan negeri, tanggapan bahawa akan wujudnya konflik kepentingan akan berterusan – walaupun beliau telah melepaskan kesemua jawatan dan kepentingan korporatnya.

Bertukar-tukar jawatan dari dunia perniagaan ke politik dan sebaliknya (pintu pusingan atau revolving door) merupakan amalan yang tidak harus digalakkan.

Ia mengingatkan kita kepada peristiwa pada bulan April lalu melibatkan seorang eksekutif kanan sebuah syarikat infrastruktur utama. Pegawai itu yang turut terlibat di dalam perniagaan sektor tenaga boleh diperbaharui, juga kemudiannya merangkap jawatan sebagai pengerusi Suruhanjaya Tenaga, iaitu badan bagi mengawal selia sumber tenaga negara. Berikutan bantahan umum, beliau meletakkan jawatannya serta semua kedudukan selaku pengarah dalam syarikat. Namun, kebimbangan mengenai hubungan rapat yang wujud tetap berkekalan.

READ MORE:  Rayuan supaya tidak meneruskan projek penambakan mega di Pulau Pinang

Terdapat satu lagi sudut pandang berkaitan isu ini di Pulau Pinang, di mana kawasan tanah rata, lereng bukit yang sensitif serta perairan nelayan terletak berdekatan. Dalam keadaan ini, sesetengah projek perumahan sering kali melibatkan pertimbangan alam sekitar dan menimbulkan kebimbangan penduduk berhampiran.

Jadi, gabungan portfolio perumahan serta alam sekitar di bawah bidang kuasa seorang ahli majlis eksekutif cukup bermasalah, kerana ia mengurangkan peluang bagi kawal dan imbang untuk wujud dalam kerajaan.

Oleh itu, Aliran menggesa kerajaan untuk merombak portfolio bagi mengelakkan sebarang konflik kepentingan. Portfolio perumahan dan alam sekitar harus diletakkan di bawah dua orang yang berbeza, sebaik-baiknya daripada parti yang berlainan di dalam kerajaan campuran.

Kami menggesa semua kerajaan negeri – serta kerajaan persekutuan – untuk melarang amalan pintu pusingan dari dunia korporat ke kerajaan dan sebaliknya.

Jika tidak dikawal, amalan tidak sihat ini boleh membawa kepada ‘negara tertawan’ (state capture) – keadaan di mana kepentingan peribadi dapat mempengaruhi dengan ketara proses membuat keputusan serta penggubalan dasar kerajaan bagi keuntungan persendirian.

Jawatankuasa eksekutif Aliran
18 Ogos 2023

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support our work by making a donation. Tap to download the QR code below and scan this QR code from Gallery by using TnG e-wallet or most banking apps:
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments

Most Read

0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x