Home Media statements Reformasi polis di Malaysia: Mengapa IPCMC perlu ganti IPCC yang tidak berkesan

Reformasi polis di Malaysia: Mengapa IPCMC perlu ganti IPCC yang tidak berkesan

Dua dekad selepas penubuhan suruhanjaya Dzaiddin, Malaysia masih belum mempunyai mekanisme pemantauan bebas terhadap pasukan polis

Follow us on our Malay and English WhatsApp, Telegram, Instagram, Tiktok and Youtube channels.

Aliran menyatakan kebimbangan serius mengenai kematian tiga lelaki muda – M Puspanathan, 21, T Poovaneswaran, 24, dan G Logeswaran, 29 – dalam satu insiden membabitkan polis di Durian Tunggal, Melaka pada 24 November.

Menurut ketua Polis Melaka, ketiga-tiga mereka merupakan suspek kes samun bersiri yang didakwa menyerang seorang pegawai dengan parang sehingga membawa kepada tindakan melepaskan tembakan oleh polis atas alasan mempertahankan diri.

Namun peguam mewakili keluarga mangsa mempertikai dan menolak versi polis itu dalam sidang media pada 3 Disember. Video sidang media berkenaan tular di media sosial.

Peguam mendakwa ketiga-tiga lelaki tersebut menjadi mangsa “pembunuhan gaya hukuman mati” dan kenyataan polis mengenai kejadian itu adalah “rekaan semata-mata”. Mereka turut mengemukakan rakaman audio daripada isteri salah seorang mangsa, selain memaklumkan bahawa dapatan forensik menunjukkan arah peluru menurun. Peluru yang ditemui di bahagian jantung mangsa dikatakan memasuki tubuh melalui kepala.

Pada 2005, suruhanjaya diraja penambahbaikan polis yang dipengerusikan bekas ketua hakim negara, Mohamed Dzaiddin Abdullah, mengemukakan 125 syor untuk mereformasi polis. Syor utama ialah penubuhan suruhanjaya bebas aduan dan salah laku polis (IPCMC) bagi meningkatkan profesionalisme dan memastikan pematuhan undang-undang.

Cadangan ini pernah dijadikan komitmen kempen pilihan raya Pakatan Harapan pada 2018 dan 2022.

Sebaliknya, kerajaan perpaduan PH membenarkan Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) – yang diluluskan pada era pentadbiran Ismail Sabri Yaakob pada Julai 2022 – berkuat kuasa pada Julai 2023. Badan itu dilihat tidak mempunyai kuasa mencukupi.

Kes-kes dakwaan salah laku polis terus dilaporkan. Menurut laporan tahunan Suaram, seramai 203 individu dilaporkan meninggal dunia dalam dan bawah tahanan polis dari 2011 hingga 2022.

READ MORE:  Apabila perkhidmatan awam gagal rakyat yang memerlukannya

Dua puluh tahun selepas laporan Dzaiddin, perubahan yang ketara masih belum berlaku. Kematian tiga lelaki di Durian Tunggal kini menambah kepada kebimbangan terhadap trend impuniti yang dikaitkan dengan anggota polis. IPCC, yang diwujudkan oleh kerajaan PH, belum menunjukkan keberkesanan mengatasinya.

Peguam bagi keluarga tiga mangsa mengemukakan lima tuntutan kepada kerajaan. Majlis Peguam pula menggesa satu siasatan penuh dan bebas bagi memastikan segala tindakan mematuhi prosedur serta prinsip keadilan.

Perdana menteri berkata beliau telah mengarahkan ketua polis negara menyiasat kes itu secara telus dan tanpa melindungi mana-mana pihak.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, M Kumar, memaklumkan satu pasukan khas ditubuhkan untuk mengambil alih siasatan termasuk meneliti laporan polis yang dibuat keluarga.

Walaupun tindakan susulan itu dialu-alukan, timbul persoalan mengenai tahap kebolehpercayaan siasatan dalaman polis terhadap anggotanya sendiri.

Aliran menyokong gesaan siasatan bebas dan telus tetapi menegaskan usaha itu tidak memadai tanpa perubahan institusi. Aliran mahu IPCC dibubarkan kerana dianggap tidak mempunyai kuasa bermakna dan hanya melindungi pasukan polis daripada pertanggungjawaban.

Aliran menuntut kerajaan PH menunaikan janji reformasi institusi yang dibuat dalam pilihan raya umum 2022 dengan menubuhkan IPCMC sepenuhnya seperti disyorkan suruhanjaya Dzaiddin. Kegagalan berbuat demikian hanya akan menjejaskan keyakinan orang ramai terhadap profesionalisme polis.

Kerajaan PH ketika ini dilihat mempunyai ruang untuk melaksanakan reformasi institusi yang menyeluruh.

Aliran menggesa kerajaan melaksanakannya segera.

Latar belakang

Pada April 2025, Majlis Peguam menyatakan terdapat enam kes tembakan polis yang dilaporkan. Pada 2024, 35 insiden tembakan polis dilaporkan melibatkan 75 individu di 11 negeri, dengan 36 daripadanya maut. Ini menunjukkan peningkatan ketara berbanding 2023.

READ MORE:  Police reform in Malaysia: Why the IPCMC must replace the toothless IPCC now

Laporan Hak Asasi Manusia Suaram 2024 menyatakan bahawa antara Januari 2022 hingga April 2023, unit siasatan kematian dalam tahanan (USJKT) Bukit Aman menangani 32 kes – 17 kematian dalam tahanan polis dan 15 kes di lokap.

Laporan Suaram 2023 merekodkan 14 kes tembakan polis yang mengakibatkan sembilan kematian dan tiga kecederaan.

Laporan 2022 pula mencatat 46 kematian dalam tahanan polis, manakala 2021 mencatat 35 kematian dalam dan bawah tahanan, termasuk 19 yang dikaitkan dengan tembakan polis.

Jawatankuasa eksekutif Aliran
9 Disember 2025

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support our work by making a donation. Tap to download the QR code below and scan this QR code from Gallery by using TnG e-wallet or most banking apps:
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Newest
Oldest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments

Most Read

0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x