
Menjelang pilihanraya yang akan datang, negara kita sekali lagi berada di persimpangan jalan.
Sudah lama negara ini melihat terhakisnya prinsip-prinsip sebuah negara yang baik dan berdemokrasi seperti keadilan, integriti, sikap bertanggungjawab, ketelusan, dan proses membuat keputusan bersama-sama dan melibatkan semua pihak.
Prinsip-prinsip yang terhakis telah memberi kesan dari masa ke semasa kepada institusi-institusi utama negara seperti kehakiman, Suruhanjaya Pilihan Raya, polis, jabatan peguam negara, Bank Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
Lebih membimbangkan, kaum dan agama juga dipolitikkan. Semata-mata untuk keuntungan politik jangka masa pendek, ahli politik dengan sewenang-wenangnya memanipulasikan sentimen perkauman dan agama, yang berkesudahan memeca-belahkan keharmonian negara.
Sejak beberapa tahun yang lalu, negara kita dibelenggu oleh beberapa skandal kewangan di mana wang rakyat telah disalah guna: 1MDB, Felda, Tabung Haji, National Feedlot Corporation. Ini jelas sekali menunjukkan kegagalan dalam sistem semak dan imbang, dan betapa terdesaknya negara kita dalam memerlukan reformasi.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Rasuah dan penyalahgunaan dana awam berada di paras yang parah dan menjadikan Malaysia ‘terkenal’ seantero dunia. Pembaziran dana awam bermakna bantuan untuk kesihatan, pendidikan dan perumahan sosial juga berkurangan.
Dalam masa yang sama, pemberi maklumat tentang rasuah dipenjarakan manakala penerima rasuah pula dijulang. Selain itu, ketua-ketua parti pembangkang juga menjadi sasaran dan adalah membimbangkan. Beberapa tokoh utama telah dibawa ke mahkamah dan menyebabkan mereka mungkin tidak layak untuk bertanding dalam pilihan raya akan datang ini. Tokoh reformasi, Anwar Ibrahim, yang dipenjarakan juga tidak sempat berkempen jika pilihan raya diadakan sebelum Jun 2018,
Sementara itu, mereka yang menderita adalah rakyat yang dibebani oleh kenaikan kos sara hidup, GST yang menekankan, pemotongan subsidi dan hutang isi rumah yang tinggi.
Parti pemerintah telah hilang kredibiliti dan legitimasi manakala pakatan pembangkang dibelenggu oleh kontradiksi. Makanya, untuk mencapai perubahan bukanlah perkara yang mudah. Kita tahu perubahan yang diperlukan negara ini mesti datang dari pelbagai aspek termasuklah reformasi institusi yang menyeluruh.
Perubahan politik seperti yang disebut di atas memanglah sulit untuk dicapai. Misalnya, cuba kita fikirkan tentang pembahagian semula sempadan kawasan pilihanraya; usaha pakatan pembangkang untuk bergabung dengan orang yang bertanggungjawab atas kebanyakan masalah yang berlaku di negara ini; dan pertandingan tiga penjuru yang dijangkakan di kebanyakan kerusi Parlimen dan Dun. Dan sukar untuk kita maju ke hadapan jika sering dimanipulasi dan dipecahbelahkan mengikut kaum dan agama.
Sesungguhnya perjalanan ke Putrajaya adalah penuh dengan onak dan duri. Sudah pasti akan ada kegagalan dan kekecewaan namun kita mesti terus mara dan menggunakan sepenuhnya peluang yang ada.
Memang keadaan kita sekarang dan pilihan yang diberikan adalah tidak ideal. Tetapi kita harus rebut peluang ini dan undi untuk perubahan dan reformasi. Sekiranya kerajaan baru diberi kuasa, kita akan bersama-sama bertanggungjawab untuk memantau mereka. Kita mesti jelas bahawa mengundi untuk perubahan dan reformasi adalah suatu tanggungjawab sivik jangka masa panjang – dan bukan hanya memangkah pada hari pilihan raya.
Masa depan negara ini bergantung kepada kita semua. Kuasa yang ada pada undi kita boleh membuat perubahan.
Undilah untuk perubahan institusi; selamatkan negara kita.
Jawatankuasa eksekutif Aliran
17 Februari 2018
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme
Cabaran nya bagaimana mahu sampaikan mesej penting nya perubahan kepada Penduduk luar bandar yang di suap dengan propaganda pemerintah