Home Media statements UTM cemar kepelbagaian, jejaskan perlindungan perlembagaan negara

UTM cemar kepelbagaian, jejaskan perlindungan perlembagaan negara

Aliran mengecam peraturan baharu Universiti Teknologi Malaysia yang melarang unsur budaya ‘asing’, kerana ia bersifat diskriminatif dan bercanggah dengan Perlembagaan

Follow us on our Malay and English WhatsApp, Telegram, Instagram, Tiktok and Youtube channels.

Aliran melahirkan kebimbangan serius terhadap kegagalan UTM memahami bahawa garis panduan seni dan budaya terbaharunya bertentangan dengan semangat kepelbagaian dan keterangkuman yang dijamin Perlembagaan dalam masyarakat majmuk negara.

Menerusi satu pekeliling rasmi baru-baru ini, UTM mengharamkan persembahan kumpulan yang mempunyai “unsur budaya asing” daripada membuat persembahan di kampus.

UTM mendakwa istilah “budaya asing” merujuk kepada elemen budaya yang tidak selari dengan nilai institusi dan amalan budaya masyarakat di Malaysia.

Universiti itu cuba meyakinkan masyarakat bahawa istilah tersebut tidak merujuk kepada mana-mana budaya, tradisi atau komuniti dalam negara. Namun penjelasan itu jelas kabur dan tidak meyakinkan.

UTM berkata tujuan peraturan itu adalah “untuk memastikan setiap aktiviti seni dan budaya berasaskan nilai serta identiti tempatan”.

Namun, kekeliruan dan kelemahan pekeliling itu ketara apabila diteliti bersama beberapa peruntukan lain dalam peraturan tersebut.

Peraturan itu menetapkan bahawa persembahan budaya yang melibatkan lelaki dan perempuan tidak dibenarkan. Persembahan oleh kumpulan wanita pula hanya boleh ditonton penonton wanita. Malah irama muzik yang digunakan mestilah “lembut, berunsur Melayu dan bersesuaian”.

Beberapa persoalan besar timbul: siapa yang menentukan apa yang dianggap “lembut, berunsur Melayu dan bersesuaian”? Dan siapa yang memutuskan persembahan budaya mana yang memenuhi kriteria arbitrari ini?

Budaya bukan sesuatu yang statik – ia sentiasa berkembang, dibentuk oleh pelbagai pengaruh dan kreativiti.

Larangan berkaitan jantina dan pemisahan penonton ini amat membimbangkan. Ia mendiskriminasi wanita dengan mengehadkan penyertaan mereka dan peluang setara dalam seni persembahan. Peraturan ini juga boleh menyingkirkan wanita daripada terlibat dalam pementasan, drama atau persembahan yang tidak termasuk dalam takrifan “tempatan” yang sangat sempit.

Bertentangan dengan dakwaan bahawa sekatan ini hanya menjejaskan pelajar minoriti agama atau etnik, ia turut boleh menjejaskan persembahan budaya Melayu sendiri. Tarian tradisional Melayu sering menampilkan penari lelaki dan wanita di pentas yang sama. Di bawah peraturan ini, persembahan sebegitu boleh diharamkan. Persembahan budaya Melayu oleh kumpulan wanita pula mungkin dihadkan kepada penonton wanita sahaja, seterusnya mengubah sifat kebersamaan yang menjadi asas budaya tersebut.

READ MORE:  ReformARTsi: Artists call for reform

Aliran menegaskan peraturan UTM ini mencerminkan corak lebih luas yang membimbangkan – iaitu penguatkuasaan moral yang keterlaluan serta syarat ketat yang mengekang kebebasan berkarya.

Masalah lebih besar dalam pekeliling UTM – dan langkah seumpamanya – ialah implikasinya: penguatkuasaan moral tanpa batas, diskriminasi gender dan sekatan terhadap kebebasan seni untuk penggiat Muslim dan bukan Muslim. Langkah sebegini juga boleh menyingkirkan penyertaan individu dari latar belakang minoriti etnik dan agama, termasuk penggiat seni Melayu yang karyanya tidak mematuhi tafsiran sempit tersebut.

Larangan ini bercanggah secara langsung dengan dakwaan UTM bahawa ia menghormati dan meraikan perpaduan serta kepelbagaian etnik, agama dan budaya dalam komuniti kampusnya.

Aliran menggesa pentadbiran universiti menarik balik peraturan yang pincang ini dengan segera.

Jawantankuasa eksekutif Aliran
17 November 2025

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support our work by making a donation. Tap to download the QR code below and scan this QR code from Gallery by using TnG e-wallet or most banking apps:
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Newest
Oldest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments

Most Read

0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x