Home New Writers Budayakan beg kitar semula di mana-mana

Budayakan beg kitar semula di mana-mana

Sebuah beg kita semula - NAHRIZUL ADIB KADRI

Follow us on our Malay and English WhatsApp, Telegram, Instagram, Tiktok and Youtube channels.

Oleh Siti Nazziera Mokhtar

Malaysia telah mengorak langkah bagi menangani isu lambakan sisa plastik sekali guna dengan melancarkan pelan hala tuju Malaysia ke arah sifar penggunaan plastik sekali guna untuk 2018–2030.

Usaha ini dilihat sebagai titik tolak ke arah perubahan yang lebih mampan dalam pengurusan sisa pepejal.

Menurut kajian komposisi sisa pepejal yang dijalankan oleh SWCorp pada tahun 2024, rakyat Malaysia menghasilkan sebanyak 13.8 juta tan sisa plastik setahun. Angka ini bukan sahaja membimbangkan, malah meletakkan Malaysia sebagai negara kelima tertinggi di dunia dalam penggunaan plastik sekali guna.

Realiti ini mencerminkan betapa mendalamnya kebergantungan masyarakat kita terhadap plastik dalam kehidupan seharian.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad turut memaklumkan bahawa kerajaan merancang untuk menggubal satu kerangka dasar dan perundangan menyeluruh peringkat nasional bagi menangani pencemaran plastik di bawah Rancangan Malaysia Ke-13.

Langkah ini penting bagi memperkukuh dasar sedia ada serta memastikan perubahan yang lebih berkesan dapat dilaksanakan.

Salah satu punca utama yang dikenal pasti ialah sikap dan tabiat pengguna. Plastik sekali guna telah menjadi sebahagian daripada gaya hidup moden kerana ia murah dan mudah dan boleh didapati di mana-mana. Namun, kemudahan ini datang dengan harga yang tinggi terhadap alam sekitar.

Kini, kerajaan mencadangkan untuk menaikkan caj beg plastik sekali guna daripada 20 sen kepada 50 sen. Tujuan utama bukan untuk membebankan pengguna, tetapi sebagai satu bentuk ‘dorongan’ untuk mereka beralih kepada alternatif yang lebih mesra alam, seperti beg kitar semula.

Walaupun inisiatif ini telah menunjukkan hasil yang positif di pasar raya besar, namun perubahan tingkah laku pengguna di pusat penjaja dan pasar awam masih rendah. Kajian menunjukkan bahawa 62.3% pengguna masih tidak membawa beg sendiri, manakala 57.3% pengguna sanggup membayar caj 20 sen untuk mendapatkan beg plastik.

READ MORE:  Beyond the recycling bin

Ini menunjukkan wujudnya kebergantungan dan kurangnya kesedaran mengenai impak jangka panjang penggunaan plastik terhadap alam sekitar.

Lebih membimbangkan, ramai pengguna lebih bergantung kepada inisiatif peniaga seperti penyediaan beg kertas atau kotak, berbanding membawa beg sendiri.

Kebergantungan ini membuktikan perlunya pendidikan dan pendedahan berterusan kepada masyarakat tentang kepentingan peranan individu dalam penjagaan alam sekitar.

Media massa dan platform digital dilihat sebagai alat penting dalam menyebarkan maklumat, menanam nilai dan membentuk kesedaran tentang isu ini.

Kempen dan hebahan yang berterusan mampu mengubah minda dan sikap masyarakat, khususnya generasi muda yang bakal menjadi pengguna utama pada masa hadapan.

Pengguna juga menyatakan sokongan terhadap polisi yang lebih ketat dan kenaikan caj sebagai langkah berkesan untuk mengawal penggunaan plastik.

Namun begitu, inisiatif seperti ini tidak seharusnya terhad kepada pasar raya sahaja. Lokasi-lokasi seperti kedai runcit, gerai makanan, pasar malam dan pusat penjaja juga perlu diperkasakan dengan dasar dan galakan yang sama.

Untuk mencapai sifar penggunaan plastik, kita tidak boleh bersikap selektif. Penggunaan beg kitar semula harus menjadi norma baharu di semua peringkat – tanpa mengira lokasi atau jenis premis.

Semua pihak – pengguna, peniaga, penggubal dasar dan pihak berkuasa tempatan – perlu memainkan peranan masing-masing.

Sebagaimana kita boleh membiasakan diri untuk membawa telefon bimbit ke mana sahaja, tidak mustahil untuk membiasakan diri membawa beg kitar semula setiap kali keluar rumah.

Perubahan kecil seperti ini, jika dilakukan secara konsisten, akan memberikan impak besar terhadap usaha menjaga kelestarian alam sekitar negara.

Alam sekitar ini bukan warisan nenek moyang kita, tetapi pinjaman daripada anak cucu kita. Maka, tanggungjawab untuk memeliharanya bukan terletak di bahu kerajaan semata-mata, tetapi perlu digalas oleh setiap individu dalam masyarakat.

READ MORE:  Ambil tindakan tegas terhadap pedagang sisa global yang menjadikan Malaysia sebagai sasaran (Malay/English)

Langkah kecil oleh setiap individu, apabila digabungkan, mampu membawa perubahan besar kepada alam sekitar dan masa depan negara.

Dr Siti Nazziera Mokhtar merupakan felo penyelidik di Pusat Pengajian Pembangunan Ungku Aziz (UAC) di Universiti Malaya.

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support our work by making a donation. Tap to download the QR code below and scan this QR code from Gallery by using TnG e-wallet or most banking apps:
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Newest
Oldest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments

Most Read

0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x